INFINITI

Bakteria bantu proses geologi permukaan bumi

Bakteria bantu proses geologi permukaan bumi

Perbandingan tanah yang dicampur dengan formula Bio-vege-grout (kiri) menjadi lebih padat dan kukuh berbanding struktur asal.


PADA pagi itu, Muhammad Izzat Mohd. Hanafiah, 28, melangkah penuh hati-hati merentasi denai sempit menuju ke bukit yang terletak berhampiran Tasik Kenyir di Kuala Berang, Terengganu.

Hujan yang turun pada sebelah malam menyebabkan laluan itu menjadi becak dan menyukarkan perjalanan pelajar Sarjana Kejuruteraan Sivil dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) tersebut.

Kedua-dua belah tangannya menjinjing dua tong yang masing-masing mengandungi 15 liter cecair yang dinamakan Bio-vege-grout.

Sejam kemudian, Muhammad Izzat tiba di satu kawasan cerun yang tampak gondol dan terhakis. Tanpa berlengah, dia mengeluarkan sejenis alat yang dipanggil Resistivity Survey untuk mengukur tahap kerosakan tanah di kawasan itu.

“Secara ringkas, alat ini berperanan sebagai pengimbas bagi mendapatkan maklumat seperti kadar kelembapan tanah, aliran dan aras air dalam tanah serta tahap kepadatan tanah.

“Setelah data-data itu diperoleh, baru kami boleh memulakan kerja-kerja memulihkan tanah di kawasan yang telah dikenal pasti,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di kampus Uniten, Kajang baru-baru ini.

Bio-vege-grout merupakan inovasi sekumpulan penyelidik dari Uniten yang diperbuat daripada sayur-sayuran terbuang bagi memperbaiki struktur tanah yang terhakis dan mengawal kejadian runtuhan cerun.

Persoalannya, bagaimana sejenis bahan berasaskan sayur-sayuran seperti Bio-vege-grout dapat membantu mengawal masalah ekologi yang dianggap serius seperti hakisan dan tanah runtuh?

Tumbuh subur

Ketua Penyelidik, Prof. Madya Dr. Rohayu Che Omar menjelaskan, inovasi itu merupakan gabungan penyelidikan dalam bidang geologi persekitaran, kejuruteraan awam dan mikrobologi.

Pengarah Institut Tenaga dan Infrastruktur Uniten itu berkata, cecair Bio-vege-grout kaya dengan kandungan beberapa jenis bakteria baik yang dapat meningkatkan kekuatan tanah.

“Mengguna pakai konsep geologi semula jadi, bakteria seperti Bacillus subtilis dan Sporosarcina pasteurii akan bertindak balas dengan mikrob di dalam tanah serta mengikat komposisi dalaman tanah supaya lebih kuat dan kukuh.

“Kehadiran bakteria itu juga membolehkan tumbuh-tumbuhan seperti rumput dan paku pakis tumbuh subur di kawasan tanah yang terdedah.

“Tumbuhan penutup bumi berperanan mengurangkan impak titisan hujan daripada terus jatuh ke permukaan tanah, sekali gus melambatkan proses hakisan tanah,” tuturnya.

Bercerita lanjut, pihaknya mendapatkan bekalan sayur-sayuran terbuang daripada pasar borong dan petani di kawasan berdekatan. Ada yang diperoleh secara percuma dan ada juga yang dibeli dengan harga murah.

Menurut Rohayu, tinjauan di Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan, Selangor mendapati, kira-kira satu tan sayur-sayuran busuk atau tidak laku dibuang pada setiap hari .

“Angka itu pasti bertambah jika jumlah buangan sayur-sayuran di premis menjual barangan basah seperti pasar tani, pasar raya dan kedai runcit digabungkan.

“Dalam hal ini, setiap 25 kilogram sayur dapat menghasilkan sekitar 50 hingga 75 liter cecair Bio-vege-grout. Mengikut nisbah bagi setiap sekilogram tanah, hanya lima peratus daripada kawasan bermasalah perlu disuntik cecair itu,” ujarnya.

Begitupun, tidak semua sayur-sayuran sesuai digunakan untuk tujuan itu. Buat masa ini, sayur kangkung dan bayam yang didapati kaya dengan ferum telah dipilih untuk diproses menjadi Bio-vege-grout.

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu menjelaskan, dia pernah mencuba bahan mentah seperti lobak tetapi ia terlalu berasid dan hanya sesuai diaplikasikan untuk tanah daripada jenis tertentu.

Baginya, kaedah pembuatan Bio-vege-grout agak ringkas. Melalui proses penapaian, sayur-sayuran yang dikumpul dimasukkan ke dalam tangki bertutup tanpa perlu menambah bahan asing dan dibiarkan selama sebulan.

“Selepas sebulan, 90 peratus daripada sayur-sayuran akan bertukar menjadi air. Selebihnya akan menjadi mendapan dan boleh dikitar semula untuk ditabur di atas permukaan tanah yang ingin diperbaiki,” katanya.

Dia berkata, produk itu telah diuji dan sesuai digunakan kepada hampir kesemua jenis tanah seperti tanah pasir, tanah liat dan tanah gambut.

Selain diguna pakai untuk pengukuhan dan penstabilan cerun, ia juga dapat meningkatkan prestasi sifat kejuruteraan tanah bermasalah seperti meningkatkan kekuatan batuan pasir atau sedimen yang lemah atau mudah terurai.

“Kami juga menghasilkan simen daripada kacang panjang. Caranya sama seperti kaedah membuat Bio-vege-grout dalam bentuk cecair. Bezanya, hanya hasil mendapan daripada air kacang panjang akan diambil.

Pertandingan inovasi

“Dalam satu pertandingan inovasi di Korea Selatan tahun lalu, juri telah menghempas batu pasir yang diperkukuhkan dengan produk ini ke lantai dengan kuat. Ia tidak pecah, sekali gus melayakkan kami memenangi pingat emas,” ceritanya teruja.

Menjelaskan kaedah penggunaan bahan itu, Rohayu berkata, ia akan dimasukkan ke dalam tanah melalui saluran paip plastik polivinil klorida (PVC) yang akan dicucuk pada permukaan tanah.

Proses berikutnya adalah menutup kawasan yang disuntik dengan Bio-vege-grout dengan buah petola yang dikeringkan dan dijahit menjadi kepingan geotekstil semula jadi. Perubahan tanah pada tahap terbaik dapat dilihat dalam tempoh 21 hari.

“Kaedah biasa yang digunakan untuk memperbaiki cerun runtuh adalah dengan menyimen permukaan terlibat dan menutupnya dengan kanvas. Ada juga yang membina sangkar batu untuk menghalang gelongsoran tanah.

“Kelemahan sistem itu ialah, air hujan tidak dapat menembusi permukaan bumi dan dikhuatiri menyebabkan banjir kilat. Struktur tanah juga tidak diperbaiki secara menyeluruh,” katanya.

Dia berkata, Uniten turut bekerjasama dengan pihak Jabatan Kerja Raya, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Tenaga Nasional Berhad bagi menguji keberkesanan kaedah tersebut selain mendapat sokongan dana.

Sementara itu, rakan penyelidik merangkap Pensyarah Institut Tenaga Infrastruktur Uniten, Intan Nor Zuliana Baharuddin berkata, projek itu melibatkan 12 kawasan cerun yang berisiko mengalami kejadian tanah runtuh.

“Antaranya di Jeli, Gua Musang (Kelantan), Kuala Kangsar, Ipoh (Perak), Chendering (Terengganu) dan Cameron Highlands (Pahang). Panjang kawasan terjejas yang dipulih dianggarkan lima hingga 10 meter.

“Cabaran utama ialah berjalan kaki memasuki kawasan akses terhad berkecerunan antara 60 hingga 70 darjah yang tidak membenarkan kehadiran kenderaan. Ia bagi meminimumkan aktiviti yang boleh mengancam struktur tanah,” katanya.

Intan Nor Zuliana berkata, masa yang diambil untuk menyiapkan satu-satu projek ialah selama seminggu. Adakalanya, tugas-tugas membaik pulih dilakukan dengan bantuan kontraktor daripada agensi yang bekerjasama dengan mereka.

Process time in ms: 47