STAILO

Gaya kasut serlah personaliti

Gaya kasut serlah personaliti



Menelurusi hidup sebagai seorang kembar bukan suatu perjalanan yang mudah.

Dikurniakan pula raut wajah yang kelihatan seiras, membuatkan orang sekeliling turut menghadapi kesukaran.

Acap kali terdengar ucapan maaf daripada rakan sepermainan mereka yang tersilap memberi sapaan.

Sejak di bangku sekolah lagi, mereka sudah terbiasa dengan perkara demikian.

Pelbagai cabaran yang ditempuh pasangan kembar, Nur Ainaa Husna Ghazali, 19, dan Nur Iman Husna Ghazali, 19.

Bagaimanapun, kata Nur Ainaa Husna, walaupun memiliki rupa paras seiras, perwatakan dengan adik kembarnya jauh berbeza.

“Saya lebih gemar menjalani aktiviti lasak seperti mendaki bukit berbanding Nur Iman Husna yang lebih bersifat lemah lembut.

“Bahkan, sejak kecil lagi kami menunjukkan minat yang berbeza antara satu sama lain biarpun memiliki rupa paras yang sama.

“Justeru, pada pendapat saya, perbezaan personaliti itu seharusnya dihargai dan bukannya dibanding-bandingkan. Percayalah pada diri anda,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! pada majlis pelancaran kempen Crocs Come As You Are di pusat beli-belah Suria KLCC, Kuala Lumpur..

Kempen tersebut dianjurkan di peringkat global oleh peneraju kasut kasual inovatif, Crocs.

Ia merupakan kempen yang menggalakkan luahan keunikan peribadi menerusi penggayaan kasut yang pelbagai.

Kempen tersebut dianjurkan bersempena pelancaran Koleksi Crocs Summer/Spring 2017 baru-baru ini.

Bahkan, Crocs turut mengumumkan pembukaan rasmi butik berkonsep terbaharu di pusat beli-belah berkenaan.

Butik berkeluasan 88 meter persegi itu menampilkan koleksi Crocs Spring/Summer 2017 terkini yang terdiri daripada clog ikonik dengan gaya baharu seperti sandal, loafer, kasut kanvas, wedges, kasut tumit tinggi dan flip flop.

Kesemua produk tersebut direka dalam pelbagai warna dan grafik cetak yang menarik untuk memenuhi cita rasa semua.

Bahkan, setiap produk ikonik itu menepati dan berkesan menyerlahkan lagi gaya individu.

Koleksi Crocs Summer/Spring 2017 membolehkan pelanggan untuk meluahkan keunikan dan gaya mereka.

Sebagai jemputan untuk berkongsi identiti uniknya, Crocs memeriahkan kempen tersebut bersama selebriti dan duta jenama Crocs, iaitu pelakon Hollywood, Drew Barrymore; ahli gusti profesional, John Cena; penyanyi kumpulan Korea Girls’ Generation, Yoona Lim dan Super Junior M, Henry Lau.

Inspirasi

Kempen tersebut diteruskan sepanjang tahun 2017 dengan hashtag media sosial #ComeAsYouAre.


Selebriti Sazzy Falak (tengah) bersama model menunjukkan koleksi baharu Crocs.


Menurut Cena, kempen Come As Your Are adalah medium terbaik untuk meraikan keunikan dan memberi inspirasi kepada individu untuk berasa selesa dengan diri sendiri.

“Crocs telah melancarkan kempen mengagumkan yang berpaksikan keupayaan untuk berhadapan dengan perbezaan dalam diri individu.

“Walaupun kita berbeza dari segi personaliti namun setiap peribadi individu itu saling melengkapi dalam masyarakat.

“Mesej utama dalam kempen ini adalah supaya kekal selesa menjadi diri sendiri sambil menjalani kehidupan seharian tanpa perlu risau,” ujarnya menerusi video kempen komersial Crocs Come As You Are.

Bersempena musim panas ini, Crocs turut melancarkan dua koleksi bergaya baharu iaitu Swiftwater dan Isabella.

Crocs Swiftwater telah direka untuk mereka yang menggemari penampilan sporty dan serba guna.

Versatiliti koleksi kalis air tersebut membolehkan seseorang untuk bebas bergerak ke mana jua tidak kira sama ada dari bandar ke denai, taman ke tasik mahupun studio ke jalanan.

Selesa

Ia dipertingkatkan dengan alur flex tapak luar yang sesuai untuk mereka yang atletik, bercita-cita tinggi dan gemarkan cabaran.

Bagi koleksi Crocs Isabella pula, ia mengambil pendekatan yang lebih feminin, berwarna-warni dan lembut.

Sandal yang bertali dan bergaya itu selesa untuk dipakai sepanjang hari kerana ringan namun dalam masa sama tahan lasak.

Selain mudah dipakai, ia mempunyai gaya yang praktikal, menyeronokkan dan kreatif.


Butik berkonsep Crocs terletak di pusat belibelah Suria KLCC, Kuala Lumpur.


Tali lut sinar lembut terasa selesa pada kaki semasa dipakai ditambah pula dengan teknologi Crocs Comfort ikonik, Croslite untuk keselesaan pada setiap langkah.

Bagi mereka yang mahu bersiap untuk temu janji istimewa, Isabella turut membawakan variasi kasut tumit tinggi iaitu Isabella Block Heel.

Ia mempunyai tali fleksibel dengan pengikat pada bahagian buku lali bagi membolehkan kaki anda terlekap dengan selamat.

Cantik dihiasi jalinan tali, tumit setinggi 50 milimeter itu menawarkan sedikit ketinggian tanpa menjejaskan zon selesa seseorang wanita.

Sebagai rekod, lebih 350 juta pasang kasut telah dijual di lebih 90 buah negara sejak Crocs ditubuhkan pada tahun 2002.

Inovasi

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Pinang Medical Supplies (PMS) Sdn. Bhd. Teh Teong Ei berkata, Crocs sentiasa menghasilkan inovasi dan mewujudkan reka bentuk yang kreatif, bergaya serta berpegang teguh kepada dirinya.

“Kempen Crocs Come As You Are bukan sahaja menggalakkan orang ramai untuk meraikan keunikan mereka, tetapi juga memberi inspirasi kepada kami untuk tidak membataskan diri sendiri.

“Pembukaan butik Crocs berkonsep baharu di Suria KLCC adalah sebahagian daripada strategi kami untuk mengekalkan kedudukan yang kukuh di pasaran Malaysia.

“Perkembangan pesat ini mewujudkan satu lagi peluang menarik untuk Crocs terus membawa keselesaan, keseronokan, warna dan inovasi ke pasaran dunia,” ujarnya yang menjadi pengedar rasmi untuk Crocs di Malaysia.

Dengan pembukaan tersebut, Crocs berkembang kepada 22 butik dan dua outlet seluruh Malaysia.

Crocs merupakan peneraju dalam kasut kasual inovatif untuk kegunaan lelaki, wanita dan juga kanak-kanak.

Setiap rekaan produk Crocs berteknologi tinggi dengan aplikasi material lembut, selesa untuk dipakai, serta tahan lasak walaupun ia ringan.

Process time in ms: 31