VARIA

Projek residensi enam buah negara

Projek residensi enam buah negara

ARTIS menterjemah persekitaran di sekeliling studio hos mereka pada hamparan karya kreatif untuk tatapan pengunjung.


SEBAGAI badan induk pengembangan seni tempatan, Balai Seni Negara (BSN) sentiasa komited untuk memperjuangkan legasi kreatif hasil karya anak tempatan dan antarabangsa.

BSN menjadi platform terbaik kepada barisan artis berbakat sama ada amatur atau profesional untuk mempamerkan hasil karya mereka kepada umum.

Bukan sahaja dapat menghiasi kornea mata pengunjung dengan ketelitian rembesan idea para artis, setiap lukisan atau arca yang dipamerkan itu juga terkandung mesej yang sarat dengan pengajaran sekiranya simbolik pada setiap motif diperhalusi.

Bertempat di Galeri 2A BSN baru-baru ini, satu pameran seni berjudul Barehands Volume 1 telah diadakan.

Ia merupakan sebuah projek residensi yang membariskan seramai 28 orang artis daripada enam negara iaitu Malaysia, Jordan, Taiwan, Indonesia, Jepun dan Filipina.

Kekuatan


ANTARA koleksi lukisan catan yang dipersembahkan oleh artis projek residensi.


Menurut Pengerusi Projek merangkap Kurator Pameran, Juhari Said, projek residensi Barehands Volume 1 yang memasuki edisi kelima penganjuran itu melibatkan penyertaan enam buah studio residensi yang bertindak sebagai hos iaitu Akaldiulu, Pantau Iraga, Studio MIA, Studio Tikus, Studio RAG dan Studio 22.

"Kesemua 28 orang artis daripada enam buah negara dibahagikan kepada kumpulan kecil mengikut subjek kekuatan masing-masing, misalnya penghasilan arca berasaskan kayu atau lukisan bercirikan abstrak.

"Mereka akan ditempatkan di salah sebuah studio yang mengambil bahagian dan memenuhi keperluan seni masing-masing selama tempoh tertentu antara dua hingga empat minggu sehingga karya itu siap," ujarnya sewaktu ditemui Kosmo! pada Majlis Perasmian Pameran Barehands Volume 1 di Lobi Galeri BSN, Kuala Lumpur baru-baru ini.


KARYA Transfiguration nukilan Ambie memaparkan wajah manusia tanpa identiti sebagai simbolik kesaksamaan.


Tambah Juhari yang juga merupakan pemilik Akaldiulu, artis residensi akan berkampung di studio hos dan berkarya menggunakan bahan-bahan yang banyak terdapat di sekeliling mereka. Antara artis yang bernaung di bawahnya ialah Anees Maari dari Jordan. Anees mengetengahkan karya berbentuk arca ukiran kayu.

Seorang lagi artis yang turut mengambil bahagian ialah Ambie Abano dari Filipina.

Karya Ambie banyak memaparkan elemen feminisme atau kesaksamaan gender kerana menurutnya, perbezaan jantina tidak seharusnya wujud dalam masyarakat terutamanya merendahkan wanita yang dianggap komuniti kelas kedua.

Kali ini, Ambie mempersembahkan beberapa karya hebat termasuk sebuah naskhah media campuran Woodcut dan sutera berjudul Transfiguration.


ARCA turut dipamerkan pada pameran Barehands Volume 1 Galeri BSN, Kuala lumpur baru-baru ini.


Ia merupakan lukisan bermotifkan himpunan wajah manusia tanpa identiti dalam rona monokrom dan dicetak pada helaian sutera sebelum dihamparkan pada susunan kayu bagi membentuk permukaan bertekstur.

Pameran yang julung-julung kali diadakan itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Persekutuan Jawatankuasa Artis Asia Malaysia, Dr. Choong Kam Kow.

Turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa.

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 250