GENK

Kreativiti peserta hasilkan lukisan dinding

Kreativiti peserta hasilkan lukisan dinding



BERPAYUNGKAN sinaran matahari, Mandy Koh Yi Ning, 20, dengan penuh tumpuan melakar lukisan di atas sebuah dinding yang berketinggian hampir tiga meter.

Setelah selesai proses lakaran, pelajar Kolej Saito itu memilih beberapa jenis warna untuk mewarnakan lakarannya.

"Ini kali pertama saya melukis mural di atas dinding yang besar. Saya begitu gembira dan teruja kerana diberi peluang untuk turut serta dalam menjayakan projek lukisan mural ini.

"Melukis mural bersaiz besar seperti ini bukan satu tugas yang mudah. Namun, saya berbangga kerana berjaya mencabar diri untuk melakukannya," jelas pelajar jurusan hiasan dalaman itu.

Tambahnya, ia sedikit sebanyak memberi peluang kepadanya untuk mempamerkan kreativiti dalam bidang lukisan.

Seramai 23 peserta dan pelukis tempatan diberi peluang oleh rangkaian kafe ternama, Starbucks untuk menyertai projek lukisan mural Show Your Flavor baru-baru ini.

Dinding sepanjang 70 meter di restoran Starbucks Pandu Lalu di Jalan Ampang, Kuala Lumpur itu menjadi lokasi projek tersebut.

Setiap pelukis diberi ruang khas untuk mereka mengeksperesikan bakat dan kreativiti masing-masing.


LUKISAN bertajuk The Sun and The Moon telah dihasilkan oleh Mandy Koh dan Carmel Ho.


Bagi Mandy Koh, dia hanya mengetahui mengenai projek itu menerusi pensyarahnya.

"Pensyarah saya yang memberitahu saya mengenai projek ini. Dia juga yang meyakinkan saya dan seorang lagi rakan, Carmel Ho Kar Wei, 21, untuk menyertainya.

"Bagi saya, peluang ini hanya datang sekali dan ia tidak patut dilepaskan begitu saja," jelasnya.

Tambahnya, bukan mudah untuk menyiapkan lukisan mural bersaiz besar itu kerana ia merupakan kali pertama dia berbuat demikian.

Jelas Mandy Koh, lukisan yang mereka hasilkan itu bertajuk The Sun and The Moon.

"Kami memilih untuk melukis separuh bulan dan separuh matahari yang digabungkan menjadi satu lukisan. Gabungan dua warna iaitu terang dan gelap digunakan untuk menghasilkan lukisan ini," jelasnya.

Dalam pada itu, bagi Carmel Ho, dia begitu gembira apabila berpeluang menjadi sebahagian daripada peserta yang terlibat dalam projek tersebut.

Tatapan umum


SETIAP peserta diberi ruang khas untuk menzahirkan karya mereka.


Menurutnya, melalui program itu, dia dapat berkongsi pendapat mengenai hasil lukisan bersama peserta lain.

"Melalui projek ini, saya juga berpeluang mengenali peserta-peserta lain yang mempunyai minat sama dengan saya.

"Selain menambah kenalan, projek ini juga sedikit sebanyak dapat mengeratkan lagi hubungan antara kaum kerana peserta yang terlibat datang daripada pelbagai bangsa," jelasnya.

Projek lukisan mural itu merupakan kerjasama antara Starbucks dan pengeluar cat Dulux di bawah syarikat AkzoNobel yang bertujuan untuk memberi peluang kepada pelukis tempatan menonjolkan bakat mereka.

Dalam pada itu, Pengurus Kanan Perhubungan Awam Starbucks Malaysia dan Brunei, Salleharon Ahmad berkata, inisiatif yang dilakukan pihaknya itu menjadi platform terbaik untuk individu berbakat berkarya.

Menurutnya, apa yang lebih penting ialah hasil-hasil karya mereka akan menjadi tatapan umum yang melalui lokasi itu.

"Setiap pelukis diberi ruang khas untuk mereka menzahirkan kreativiti masing-masing mengikut tema yang ditetapkan.

"Kami sangat berbangga melihat kesungguhan setiap pelukis yang terdiri daripada pelbagai latar belakang itu.

"Walaupun projek ini diadakan pada bulan puasa, mereka menyelesaikan lukisan masing-masing dengan bersungguh-sungguh," jelasnya.

Tambahnya, setiap karya merupakan hasil daripada buah fikiran mereka sendiri.

Salleharon menjelaskan, projek seumpama itu sedikit sebanyak memberi kesan positif kepada peserta untuk mengembangkan bakat mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

"Ramai individu yang berbakat dalam menghasilkan lukisan mural di luar sana. Namun, kekurangan tempat untuk berkarya menghalang mereka daripada menonjolkan bakat masing-masing.

"Dengan ruang dan peluang yang Starbucks berikan ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu mereka untuk berkarya dan mempersembahkan hasil-hasil karya mereka untuk tatapan umum," katanya.

Peluang kedua


PESERTA bergambar bersama selepas selesai majlis perasmian projek lukisan mural itu.


Dalam pada itu, Muhammad Hasif Azizan, 26, berkata, dia berasa bangga kerana diberi peluang kedua untuk bekerjasama dengan Starbucks selepas projek Doodle It pada tahun lalu.

"Jemputan kali ini membuatkan saya lebih teruja. Projek ini bukan sahaja melibatkan mereka yang profesional tetapi individu tiada pengalaman turut diberi kesempatan untuk berkarya.

"Jadi, ini merupakan peluang keemasan bagi saya dan peserta lain untuk menonjolkan bakat serta kreativiti masing-masing," jelasnya.

Dalam masa yang sama, Starbucks juga tidak ketinggalan menjemput wakil Kosmo! untuk menyertai projek lukisan mural itu.

Wartawan Kosmo! Muhammad Iqbal Mohd. Zazuli, 25, menganggap, peluang untuk terlibat sama dalam projek lukisan mural itu tidak harus dilepaskan begitu saja.


KEBANYAKAN peserta yang terlibat dalam projek lukisan mural itu adalah generasi muda.


"Saya langsung tiada pengalaman melukis mural dan ini kali pertama saya berbuat demikian.

"Pada mulanya perasaan gementar dan tidak yakin hadir dalam diri, namun setelah rakan sekerja yang turut serta menghasilkan lukisan ini memberi semangat, rasa bimbang itu terus hilang.

"Ini merupakan pengalaman baharu yang saya peroleh dalam hidup. Jika ada lagi program sebegini pada masa hadapan, saya ingin menyertainya," jelasnya.

Dalam pada itu, Iqbal menambah, untuk menyiapkan lukisan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah.

Baginya, cabaran utama melukis mural bersaiz besar itu adalah untuk menyiapkan ia tepat pada masanya.

"Kami bermula dari pagi hingga ke malam untuk menyelesaikannya. Selain itu, projek tersebut juga dilakukan pada bulan puasa dan ia memang menguji kesabaran saya.

"Namun, setelah melihat hasil lukisan yang telah siap, penat lelah ketika menyiapkannya hilang begitu saja," katanya.

Rencana Utama!»

Koleksi berjenama, vintaj resipi kejayaan Buntil

kedai Buntil yang diusahakan oleh Sting dan Adnan ini terletak di Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.

Varia!»

Yoga gaya hidup baharu di Myanmar

THU ZAR sanggup meninggalkan kerjaya sebagai peguam demi kecintaannya terhadap senaman yoga.

Process time in ms: 62