DIVA INTERAKTIF

Giliran Balqis pula dikecam

Giliran Balqis pula dikecam


VIDEO swafoto Balqis yang memandu tanpa memakai tali pinggang keledar yang tersebar di laman sosial baru-baru ini.


DIVA sebenarnya tidak faham dengan tindakan segelintir artis kita yang sesuka hati memuat naik video yang bukan-bukan di laman Instagram masing-masing terutamanya jika tindakan itu menyalahi undang-undang.

Baru-baru ini, ada yang memberitahu Diva mengenai video yang dimuat naik penyanyi baharu yang mencipta nama menerusi program Mentor Milenia 2017, siapa lagi kalau bukan Balqis.

Video itu memaparkan keterujaan Balqis menyanyikan lagu raya sambil memandu kereta, mungkin teruja untuk pulang ke kampung halaman agaknya.

Cuma yang tidak seronok dilihat, Balqis memandu tanpa memakai tali pinggang keledar. Ternyata, tindakannya itu mengundang kritikan netizen kerana dia tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Diva hanya tertawa terbahak-bahak ketika menyaksikan video berkenaan. Bukan apa, Diva percaya ramai dalam kalangan kita yang barangkali tidak selesa memakai tali pinggang keledar ketika memandu atas pelbagai alasan tertentu.

Tetapi apabila melihat tindakan Balqis yang memuat naik video tersebut di laman sosial, bagi Diva ia bukan satu tindakan yang bijak. Pendek kata, ibarat membuka pekung di dada sendiri.

Sebelum ini, pelawak terkenal, Achey juga pernah dikecam netizen kerana membuat tindakan yang hampir sama sebelum memohon maaf di atas keterlanjurannya itu.

Sungguh mudah menjadi artis kesayangan peminat. Buat salah, lepas tu minta maaf. Peminat kesayangan pun segera memaafkan kesilapan artis kesayangan. Aduhai.

Diva: Ramai juga mengecam Raja Ilya yang sanggup menjalani pembedahan gara-gara mahu mengejar kerjaya di Hollywood. Entahlah, Diva malas nak komen.

Process time in ms: 47