RUANG

Sentuhan moden kontemporari pilihan usahawan muda

Sentuhan moden kontemporari pilihan usahawan muda

PEMILIHAN fabrik langsir dengan rona keemasan pada ruang kamar menampilkan sisi mewah pada bilik tidur utama.


BERBEKALKAN impian dan cita-cita yang tinggi mendorong pemuda itu berusaha keras untuk mencapai impian memiliki sebuah kediaman mewah dan serba lengkap.

Keinginan yang tinggi dalam diri usahawan yang mengasaskan produk berasaskan kesihatan dan kecantikan di bawah syarikat Towkay Herbs Global Sdn. Bhd. itu sememangnya layak diberi pujian apabila melihat hasil yang dikecapi pada hari ini.

Kunjungan kru Jurnal ke kediaman milik Nik Md. Azuadi Nik Daud, 31, atau lebih mesra disapa Towkay Eddy di Laman Azalea, Nilai Impian, Nilai di Negeri Sembilan memberi rasa kekaguman melihat hasil yang diusahakan oleh anak muda itu.

Sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam ruang kediaman, pesona tatarias dengan sentuhan mewah menghiasi keseluruhan ruang kediaman seluas 93 meter persegi itu.

Menurut Towkay, dia baru sahaja duduk di rumah itu sejak dua bulan lalu dan mengimpikan sebuah kediaman yang digubah dengan sentuhan moden kontemporari, namun ditonjolkan sedikit sisi mewah agar tampak lebih eksklusif.

“Saya gemarkan suasana kediaman yang tampak meriah dengan menyelitkan sedikit konsep gabungan moden dan tradisional pada pemilihan perhiasan dalam rumah,” tutur pemuda yang berasal dari Ketereh, Kelantan itu.

Melihat pada pemilihan perabot dalam kediaman itu, Towkay tidak terlalu mengikut kehendak untuk menampilkan ciri mewah sepenuh­nya pada barangan dalam rumah.

Perincian


PENGGUNAAN perabot dengan reka bentuk ringkas menjadikan ruang kelihatan tidak terlalu serabut dan sempit.


Misalnya, seperti pemilihan sofa, gaya ringkas dengan penampilan moden menjadi pilihan buat Towkay untuk diletakkan pada bahagian ruang tamu.

Reka bentuknya yang ringkas dengan perincian polos tanpa corak memberikan keselesaan pada ruang agar tidak tampak terlalu serabut.

Disesuaikan dengan meja kecil daripada material kaca cukup memberi padanan sempurna pada ruang. Dari segi pemilihan warna, Towkay mengakui dirinya cukup gemarkan warna biru.

“Untuk rona biru, saya menggunakannya pada kain langsir dengan pemilihan tona biru gelap.

“Manakala sofa pula dipadankan dengan warna krim dan dipadankan dengan bantal kecil biru,” tuturnya.

Hamparan permaidani berbulu dengan sentuhan warna biru firus turut menarik perhatian kru Jurnal, tambahan pula alas tersebut mempunyai perincian kilauan bagi menampakkan sisi mewah.

Menjengah sentuhan pada meja makan, terapan gaya ringkas dengan dekorasi minimalis sudah cukup sempurna dalam menterjemahkan keinginan pemiliknya.

Tidak lengkap rasanya bagi sesebuah kediaman itu tanpa menerapkan unsur alam dengan memanfaatkan penggunaan pokok hiasan.

Melihat pada kediaman Towkay, nampak kesungguhan pada pemilik untuk menerapkan unsur kehijauan dengan menggunakan beberapa gubahan bunga yang diterapkan pada sudut kediaman.

“Saya memilih bunga orkid dan lili dengan rona putih untuk tampilkan kelainan,” jelas Towkay.

Anak mata kru Jurnal kemudiannya tertancap pada olahan kertas dinding yang mewarnai muka dinding seperti latar pada sudut televisyen.

Gaya bersahaja


PADA usia 31 tahun, Towkay mampu tersenyum puas selepas memiliki kediaman yang diimpikan pada usia muda.


Penataan gaya ala batu-bata dengan pemilihan rona coklat memberikan dimensi berbeza pada ruang tamu sekali gus menjadi titik tumpu buat tetamu yang berkunjung ke rumah.

Kertas dinding tiga dimensi (3D) yang digunakan ternyata kelihatan begitu menarik, malah nampak semula jadi jika tidak disentuh.

Bagi tidak membuatkan pemandangan muka dinding kelihatan bosan, Towkay turut mengaplikasikan penggayaan kertas dinding berona biru gelap berdekatan tangga kediaman untuk menonjolkan dimensi berbeza.

Mengenakan sentuhan dengan rekaan corak ala batik, suasana dalam kediaman terus berubah wajah lebih-lebih lagi apabila pemiliknya menggunakan warna dengan tona terang.

Menekankan aspek pencahayaan dalam kediaman, Towkay begitu teliti memilih lampu candelier dengan gaya mewah untuk membangkitkan cita rasa eksklusif yang diinginkan agar ruang kelihatan lebih menawan.

Kru Jurnal tertarik melihat sebuah lampu candelier yang digunakan apabila ia menampilkan sisi rekaan ala oriental dan dihiasi dengan corak mawar merah.

Ibarat satu kewajipan bagi penggemar hiasan dalaman, penerapan cermin bersaiz besar membantu untuk memberi ilusi pada ruang tamu agar kelihatan lebih luas dan besar.

Menjengah ke tingkat dua kediaman, ruang kosong digunakan sepenuhnya oleh pemilik untuk mewujudkan ruang tamu kedua untuk bersantai.

Pemilihan sofa dengan unsur warna tanah memberikan gaya bersahaja dan sedap mata memandang.

Pada kamar utama, Towkay menerapkan unsur keemasan dalam pemilihan fabrik pada langsir serta motif pada kertas dinding agar kelihatan lebih menyerlah.

Penggunaan perabot sederhana menjadikan ruang kelihatan lebih luas dan selesa.

Rencana Utama!»

Jana 5 kilowatt kuasa hidroelektrik

SISTEM vorteks bergantung sepenuhnya kepada pusaran air sungai berbanding konsep kitaran kincir air yang terdapat pada empangan jana tenaga lain.

GenK»

Lahirkan artis seni muda berciri usahawan

MUHAMMAD AFIQ menggunakan bilik inkubator yang disediakan kepadanya untuk berkarya.

Varia!»

TeknologiVeggie Factory pertanian masa depan

Teknologi Veggie Factory yang terdapat di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Process time in ms: 46