VARIA

Breeze bekal air bersih

Breeze bekal air bersih

Penduduk kampung turut membantu memasang sistem penapisan air.


Sebagai sebahagian komitmen ke arah kehidupan yang lestari, Breeze Malaysia (Breeze) dengan kerjasama Global Peace Foundation (GPF) telah menyediakan akses bekalan air bersih kepada 1,050 penduduk di Sabah baru-baru ini.

Ia hasil daripada Kempen Rawatan Air yang telah dijalankan pada tahun lalu apabila Breeze berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM50,000. Daripada setiap pembelian pencuci pakaian Breeze, RM1 telah didermakan untuk kempen ini.

Sumbangan yang dikutip telah digunakan untuk pemasangan sistem penapisan air bersih di Kampung Nalasaran, Kampung, Padang, Nabawan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sepulut baru-baru ini.

Lebih 23 sistem penapisan air bersih telah dipasang di kesemua kawasan tersebut bagi memanfaatkan 385 orang penduduk kampung dan lebih 700 orang pelajar SMK Sepulut.

Pengarah Pemasaran Unilever (Malaysia) Holdings Sdn. Bhd., Vincent Chong berkata, air merupakan keperluan penting dalam kehidupan harian manusia.

“Anda akan terkejut apabila melihat masih ada orang yang tidak mendapat bekalan air minuman yang bersih. Pihak Breeze ingin membantu komuniti-komuniti ini untuk mendapat bekalan air yang dirawat, selamat dan bersih untuk diminum.

“Kami berterima kasih kepada pengguna Breeze dan GPF kerana berkongsi misi kami bagi mewujudkan kehidupan mapan dan bekerjasama memacu perubahan berterusan untuk masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Sebelum ini, penduduk-penduduk kampung berkenaan hanya bergantung kepada bekalan air dari puncak bukit untuk kegunaan harian. Para penduduk menggunakan paip buatan sendiri untuk menyalurkan air dari puncak bukit ke kampung mereka.


Su Thye (depan tujuh dari kiri) yang juga mewakili pihak Breeze, menyerahkan sistem penapisan air kepada penduduk Kampung Nalasaran dan Kampung Padang di Nabawan, Sabah baru-baru ini.


Musim hujan

Pada musim hujan, kualiti air akan bertambah teruk apabila ia dicemari dengan kotoran dan serpihan-serpihan batu kecil ketika mengalir melalui paip.

Sementara itu, bagi sekolah berasrama, para pelajar SMK Sepulut terpaksa mendapatkan bekalan air di sungai berdekatan. Berikutan kekurangan air terawat, pelajar-pelajar terpaksa membeli air minuman di mesin layan diri di kantin sekolah.

Seiring dengan pemasangan ini, Breeze dan GPF turut menyediakan sesi latihan bersama penduduk tempatan mengenai penggunaan dan cara-cara menyelenggara penapis air bersih tersebut.

“Untuk penduduk di penempatan ini, mereka terpaksa berpuas hati dengan sumber air yang disalurkan tanpa mengira kualiti dan keselamatannya. Pada kebiasaannya, golongan wanita terpaksa membawa baldi berat yang dipenuhi air untuk kegunaan harian. Minum air yang tidak dirawat akan membawa pelbagai risiko penyakit bawaan air seperti taun dan cirit-birit.

“Maka, dengan menyediakan sistem penapisan air bersih, ia sudah tentunya boleh meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan sosial mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif GPF, Dr. Teh Su Thye.

Katanya, reka bentuk sistem penapisan air bersih ini ringkas dan senang digunakan. Ia tidak memerlukan bekalan elektrik dan dilengkapkan dengan sejenis katrij untuk menyingkirkan 99 peratus partikel, bakteria dan serpihan mikrob untuk menghasilkan antara 70,000 hingga 100,000 liter air yang bersih, ditapis yang boleh bertahan beberapa tahun.

Seorang penduduk Kampung Padang yang dikenali sebagai Sidin Andin berkata, penduduk kampung berdepan dengan isu ketiadaan air bersih sejak beberapa tahun lalu.

“Kini, kami memiliki penapis air yang baharu dan tidak perlu risau lagi. Terima kasih Breeze dan GPF kerana membantu kami,” katanya.

Process time in ms: 47