RUANG

Rumah kampung konsep moden

Rumah kampung konsep moden

SUDUT santai menonton televisyen kediaman mengetengahkan konsep monokrom.


PERJALANAN yang mengambil masa hampir satu jam dari Kuala Lumpur ke Kampung Rinching Hilir, Selangor, tidak terasa tatkala kenderaan yang dipandu membelok masuk ke sebuah kawasan perkampungan.

Rimbunan pokok-pokok rendang yang berada di kiri dan kanan jalan membuatkan kami terpukau seketika.

Keindahan panorama tersebut secara tidak langsung berjaya membuatkan kami melupakan seketika kesibukan kerja.

Biarpun sudah memasuki minggu kedua sambutan Hari Raya Aidilfitri, namun bahang keme­riahan perayaan tersebut masih dapat dirasakan sebaik terpandang beberapa orang kampung sibuk memasang pelita di luar halaman rumah mereka.

Melihatkan situasi tersebut, pe­rasaan teruja kru Jurnal untuk menjenguk kediaman milik pasangan suami isteri, Hardanila Mohd. Said, 30, dan Mohd. Hanif Jusoh, 30, semakin membuak-buak.

Sangka kami, rumah yang dihuni oleh pemilik Ube Catering Services ini pastinya dibina daripada kayu, seperti kediaman kebanyakan penduduk sekitar.

Bagaimanapun, telahan tersebut meleset sebaik terpandang sebuah rumah banglo putih bersaiz sederhana besar yang tersergam indah dari arah hujung jalan.


DEKORASI ringkas dengan pantulan cahaya kuning dipilih untuk melengkapkan ruang makan.


Tanah pusaka

Kunjungan kami ke kediaman tersebut disambut mesra oleh Hardanila.

Sambil mengiringi langkah kaki kru Jurnal masuk ke dalam ruang tamu, wanita yang mesra disapa Dila itu menerangkan serba ringkas mengenai sejarah kediamannya.

“Tanah ini sebenarnya merupakan tanah pusaka yang berusia lebih 40 tahun.

“Ia diberikan oleh ayah kepada kami suami isteri. Pada asalnya, tanah yang berkeluasan 4,000 meter persegi ini merupakan tempat saya bersama 11 orang adik-beradik yang lain dibesarkan.

“Bagaimanapun, selepas mereka berpindah ke Nilai, Negeri Sembilan, ayah mewasiatkan tanah ini kepada saya untuk didiami,” jelasnya.

Menurut Dila, dia dan suami kemudian menjalankan proses pengubahsuaian dengan mendirikan sebuah rumah untuk didiami oleh mereka empat beranak.

“Kami mengambil masa selama dua tahun untuk menjalankan proses pengubahsuaian. Biarpun keadaan luar kediaman ini tampak moden, namun hampir 30 peratus daripada rumah ini mengekalkan kediaman asal milik ibu dan ayah.

“Contohnya seperti siling rumah dan beberapa dinding batu yang masih dikekalkan,” jelasnya.

Menurut Dila, kediaman yang menelan belanja hampir RM100,000 untuk kos pengubahsuaian itu mengetengahkan konsep moden.

“Sebenarnya, saya sukakan sesuatu yang ringkas, sederhana dan kemas.

“Keadaan itu menyebabkan saya memilih konsep moden untuk ke­seluruhan kediaman.

“Ini kerana, konsep tersebut bukan sahaja ringkas dan begitu dekat dengan diri saya, malah tidak terlalu sarat untuk dipandang,” jelasnya.


WARNA-WARNA lembut menjadi pilihan Dila untuk digunakan pada bilik anak-anaknya.


Potongan moden

Akui Dila, proses pengubah­suaian dan dekorasi yang mendapat sentuhannya seratus peratus itu merupakan hasil tunjuk ajar rakan-rakan yang dikenalinya di laman sosial.

Cerita wanita ini lagi, dia mengambil masa selama dua tahun untuk menjalankan proses dekorasi keseluruhan kediaman.

Ini kerana, kesemuanya dilakukan secara berperingkat-peringkat. Lebih-lebih lagi apabila lokasi kediamannya yang terletak agak jauh dari kedai perhiasan.

Biarpun begitu, wanita itu tidak menjadikan jarak sebagai alasan untuk tidak menghias kediaman tersebut.

Ini kerana, dia akan meminta bantuan daripada pembeli peribadi dan adiknya dalam merealisasikan rumah impiannya itu.

“Menghias kediaman merupakan satu perkara yang sangat pen­ting

“Ini kerana, kediaman merupakan tempat bermula dan ber­ak­hirnya kehidupan harian seseo­rang. Setelah penat seharian bekerja, kita pasti mahu kembali ke tempat yang cantik dan menenangkan.

“Disebabkan itu, walau sibuk mana sekalipun, saya tetap akan mencuri masa untuk mengemas dan juga menghias rumah ini,” jelasnya.

Walaupun mendakwa kediaman tersebut ringkas dan dihias mengikut cita rasanya yang tersendiri, namun rumah yang dilengkapi dengan empat bilik tidur itu tetap mempunyai kelas tersendiri.

Ini kerana, penggunaan warna-warna pastel dan tanah yang dioles pada dinding bahagian dalam kediaman berjaya menonjolkan sisi eksklusif.

Lebih-lebih lagi apabila wanita ini menggabungkan rona biru pekat yang dijadikan langsir pada ruang tamu kediaman. Padanan warna kontras pada kediaman tersebut berjaya mewujudkan suasana tenang dan ceria pada bahagian ­ruang tamu.

Melihatkan susun atur dan pemilihan perabot di kediaman itu, jelas menunjukkan wanita tersebut begitu bijak dan teliti memilih barangan yang bersesuaian dengan kediamannya.

Pemilihan set kerusi dengan potongan moden berjaya membangkitkan aura eksklusiviti yang tersendiri.

Biarpun mahukan sesuatu yang ringkas dan sederhana, namun Dila tidak mengabaikan soal dekorasi kediaman.

Selain menggunakan pokok-pokok segar di segenap penjuru ruang sebagai penyeri, Dila turut menggantung beberapa lukisan abstrak dan kata-kata hikmah pada dinding kediaman.

Bagi menonjolkan lagi keunikan ruang tersebut, Dila menggunakan lampu cahaya kuning untuk menerangi tempat tinggalnya.

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 47