STAILO

Songket sutera, emas dan kapas buatan tangan

Songket sutera, emas dan kapas buatan tangan

DARI kiri: Nadiah, Ilham, Liyani dan Nur Hayyati meneraju Butik Che’ Kuala Lumpur sejak lima tahun lalu.


SEBAGAI anak sulung lelaki, Ilham Latiff, 39, memikul tanggungjawab besar untuk memimpin legasi perniagaan warisan keluarga setelah tertubuhnya Butik Che’ Kuala Lumpur sejak lima tahun lalu.

Butik tersebut yang menjual pelbagai busana tradisional dan songket tenunan asli Kelantan mempunyai peminatnya tersendiri kerana ia dihasilkan 100 peratus menggunakan tangan.

Menurut Ilham selaku Pengarah Che’ Kuala lumpur, keluarganya telah membuat tenunan songket turun-temurun sejak lima dekad dahulu di Kampung Tikat, Kota Bharu, Kelantan.

“Arwah nenek dan ibu, Wan Rahimah Wan Ismail, 65, menjalankan kerja-kerja menenun songket di rumah secara kecil-kecilan. Ia merupakan rutin golongan wanita di kampung tersebut untuk menambah pendapatan keluarga.

“Namun, sejak akhir-akhir ini bilangan mereka yang mengusahakan tenunan songket semakin berkurangan dan tidak meriah seperti dahulu,” ceritanya ketika ditemui Kosmo! di Butik Che’ Kuala Lumpur, Jalan Jelatek 2, Taman Keramat Permai, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, nama butik tersebut diambil sempena gelaran yang dipanggil oleh mereka adik-beradik kepada ibu iaitu Che.

Ujar anak sulung kepada lima beradik itu, idea penubuhan butik ini tercetus bagi merealisasikan impian ibu mereka untuk memiliki butik sendiri yang menempatkan busana warisan keluarga terutamanya songket Kelantan.

“Ibu mempunyai minat yang mendalam terhadap songket dan batik. Dia juga suka mengumpul fabrik-fabrik tersebut untuk dijadikan koleksi peribadi.

Persefahaman


Bekerja bersama adik-beradik mengeratkan lagi hubungan mereka sekeluarga.


“Sehubungan itu, butik ini turut menjual koleksi-koleksi simpanan ibu yang berusia lebih 20 tahun. Songket Kelantan ini sangat istimewa kerana ia tidak lapuk ditelan zaman,” tutur bapa kepada empat orang anak itu.

Butik tersebut diusahakan bersama kelima-lima adik-beradik yang mempunyai tugas serta peranan masing-masing.

Akui Ilham, dia tidak mempunyai masalah bekerja bersama adik beradik bahkan hubungan mereka bertambah erat dan persefahaman antara mereka memudahkan urusan perniagaan itu.

Songket yang dijual di Che’ Kuala Lumpur menggunakan benang emas, sutera dan kapas. Ia merupakan hasil kerja tangan warga Kampung Tikat, Kota Bahru Kelantan.

“Kami amat menitikberatkan kualiti dan keaslian fabrik songket Kelantan supaya hanya produk terbaik dijual kepada pelanggan.

“Semua produk yang dijual di Che’ Kuala Lumpur dibuat secara tradisional dan kerja tangan sepenuhnya bagi mengekalkan keasliannya,” katanya yang berpegang kepada prinsip jujur dan amanah.

Harga songket yang dijual di butik itu bermula dari RM500 hingga RM15,000 bergantung kepada saiz, material yang digunakan dan kerumitan corak.

Dek kerana nilainya yang tinggi, ia menjadi cabaran terbesar buat Ilham untuk meyakinkan pelanggan membeli songket asli buatan tangan.

Eksklusif

Sedangkan harga tersebut setimpal dengan kerumitan penghasilan setiap helai kain songket. Tambahan pula, bahan-bahan asasnya sangat mahal.

Dia yang merupakan generasi ketiga menjalankan perusahaan tersebut menjelaskan, songket Kelantan banyak menggunakan motif klasik dan flora seperti bunga kuntum, pucuk rebung serta bunga tabur.

Memandangkan harganya yang agak mahal dan mempunyai nilai eksklusif, pelanggan Che’ Kuala Lumpur majoritinya adalah kelas atasan serta orang kenamaan.

Ia selalu dipakai pada acara istimewa, majlis rasmi, perkahwinan dan pada musim perayaan.

Sementara itu, pengurus Che’ Kuala Lumpur, Liyani Latiff, 32, berkata, butik itu memberi fokus kepada busana dan seni kraf songket tradisional negeri Kelantan yang ditempatkan di bawah satu bumbung.

Berpegang kepada slogan Tenunan Asli, Sanjung Tradisi, butik itu bukan sahaja menjual kain tenunan songket bahkan menyediakan telekung solat sulaman tangan, perkakasan tembaga seperti tepak sirih, kaki lilin, mangkuk tempat bara dan pahar.

“Turut disediakan jubah lelaki dan perempuan, baju kurung, Melayu, songkok, samping, tudung tenunan sutera serta kapas

“Kami juga menjual batik cap dan lukis buatan tangan dari Terengganu,” jelas pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Utara Malaysia itu.

Permintaan


CHE’ Kuala Lumpur terletak di Jalan Jelatek 2, Taman Keramat Permai, Kuala Lumpur.


Liyani anak ketiga daripada lima beradik memberitahu, item yang paling mendapat permintaan tinggi di butik itu ialah songket, tudung dan batik.

Ibu kepada dua orang cahaya mata itu memberitahu, tempahan kain songket hendaklah dibuat antara tiga hingga empat bulan lebih awal.

Seorang lagi adik Ilham iaitu Nadiah Latiff, 30, yang merupakan anak keempat daripada lima beradik, berharap butik itu maju pada masa akan datang dan orang ramai lebih menghargai hasil tenunan songket.

“Kami turut berkongsi ilmu dengan pelanggan tentang keistimewaan tenunan songket buatan tangan serta menjelaskan mengapa harganya lebih mahal berbanding fabrik lain.

“Pada masa sama, kami ingin mewujudkan kesedaran kepada orang ramai supaya menghargai warisan tradisi ini agar tidak pupus,” ulasnya yang berperanan dalam pemasaran dan perhubungan awam di butik tersebut.

Ujar Nadiah, kenangan paling manis bagi dirinya ialah apabila orang ramai mengenali serta menerima produk warisan itu. Bagi memantapkan lagi perjalanan syarikat, mereka turut membuat penjenamaan semula butik tersebut dengan menukar nama daripada Che’ Collection kepada Che’ Kuala Lumpur.

Mereka turut merancang untuk membuka cawangan baharu dan menembusi pasaran luar negara seperti di Eropah agar pakaian tradisi ini turut dikenali di peringkat global.

Rencana Utama!»

Kaedah dorsal slit selamat, cepat sembuh

Di negara ini, kebiasaannya kanak-kanak lelaki dikhatankan ketika berumur antara tujuh hingga 12 tahun. – Gambar hiasan

Varia!»

Khidmat pertapa popular di internet

TOON (kiri) mengikat tali pelindung di anggota badan pelanggannya.

Process time in ms: 47