HIBURAN

Sahara tidak jamah daging lembu 10 tahun

Sahara tidak jamah daging lembu 10 tahun


SEPANJANG Ramadan, Sahara memilih untuk melibatkan diri dengan majlis amal dan aktiviti kebajikan.


lebaran tahun ini bakal menyuntik rasa berbeza buat penyanyi veteran Sahara Yaacob. Masakan tidak, tahun ini beliau cukup teruja apabila berpeluang menyambut Aidilfitri di kediaman baharu.

Selepas kisah keperitan hidupnya mendapat perhatian ramai hampir setahun lalu, Sahara bersyukur kerana kehidupannya kini berjalan dalam keadaan baik.

Meskipun demikian, penyanyi berusia 61 tahun itu tetap tidak dapat melupakan kenangan ketika menjadi penghuni sebuah bilik stor di Hulu Langat, Selangor.

Pelantun lagu Peronda Jaket Biru itu juga mendedahkan, disebabkan kesempitan hidup beliau pernah ‘mengidam’ untuk menjamah hidangan daging lembu yang tidak pernah disentuh selama 10 tahun.

Sungguhpun rezekinya kini semakin murah, Sahara mengakui beliau harus bijak dalam pengurusan kewangan untuk meneruskan kelangsungan hidupnya.

KOSMO!: Aidilfitri hampir tiba, apakah kelainan yang dirasakan oleh Sahara pada sambutan kali ini berbanding dengan tahun sebelumnya?

SAHARA YAACOB: Alhamdulillah, pada Aidilfitri kali ini saya berpeluang untuk meraikannya di kediaman baharu yang pastinya merupakan pengalaman berbeza berbanding dahulu. Terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang telah banyak membantu untuk saya meneruskan kehidupan dengan selesa.

Bolehkah anda kongsikan aktiviti yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan?

Sepanjang Ramadan saya lebih memberi fokus kepada persembahan yang melibatkan aktiviti kebajikan. Pada saya lebih baik sepanjang bulan mulia ini kita menggandakan kebaikan.

Tambahan, melibatkan diri dengan aktiviti berbentuk kebajikan dapat mengingatkan saya untuk bersyukur dengan nikmat yang diperoleh hari ini.

Jika dahulu saya menjalani kehidupan yang sukar tetapi sekarang sungguhpun tidak terlalu mewah tetapi keadaannya lebih baik.

Apakah pengalaman yang sukar dilupakan sepanjang menjalani ibadah puasa sebelum ini?

Bercerita mengenai kesukaran hidup, orang ramai telah mengetahui keadaan saya sebelum ini. Bagaimanapun, pengalaman paling sukar untuk dilupakan adalah sewaktu saya teringin menikmati hidangan daging lembu. Pernah suatu ketika saya tidak menjamah daging lembu selama 10 tahun. Daging lembu agak mahal, jadi keinginan itu ditolak ke tepi demi memastikan perbelanjaan harian mencukupi. Waktu itu saya kerap menjamah mee segera dan roti sahaja.

Bagaimanakah persiapan anda sempena menyambut kehadiran Aidilfitri?

Syukur disebabkan banyak terlibat dengan aktiviti persembahan pentas, saya berpeluang menyediakan persiapan sambutan Aidilfitri untuk kediaman baharu lebih awal.

Biarpun begitu, saya tetap mengamalkan sikap berjaga-jaga terutama melibatkan pengurusan kewangan.

Hal ini kerana, saya perlu menyimpan wang untuk membeli kelengkapan bagi membuat persembahan seperti pakaian, kasut, pengangkutan dan alat solek.

Menjelang Aidilfitri yang bakal tiba, boleh anda kongsikan momen yang paling dirindukan?

Sebenarnya setiap kali tibanya Aidilfitri, detik yang paling dirindukan adalah beramah mesra dengan ahli keluarga. Bagaimanapun, selepas arwah ibu, Umi Kalsum meninggal dunia sekitar empat tahun lalu, sambutan Aidilfitri terasa kosong dan tidak lengkap.

Jika sebelum ini saya berpeluang untuk menyediakan hidangan raya bersama ibu tetapi kini segalanya dilakukan sendiri. Sekarang hanya sanak-saudara menjadi tempat saya bermanja berkongsi kasih sayang.

Process time in ms: 47