HIBURAN

Kesederhanaan Syawal Janna Nick

Kesederhanaan Syawal Janna Nick

BERAYA DI KEDAH - Akan pulang beraya di kampung halaman di Sungai Petani, Kedah, Janna berkata, sambutan hari rayanya pada tahun ini berlangsung secara sederhana.


KEMERIAHAN menyambut kedatangan Syawal yang dijangka dirai pada Ahad ini semakin dirasai seluruh umat Islam.

Bagi setiap orang, tahap keterujaan dan persediaan bagi meraikan hari raya berbeza-beza. Ada yang menyambutnya secara meriah, malah tidak terkecuali yang selesa mengamalkan sikap sederhana dalam persiapan lebaran.

Apa yang penting adalah kesempatan pulang menyambut hari kemenangan umat Islam itu di kampung halaman dan meluangkan masa bersama keluarga tercinta.

Bagi pelakon Janna Nick, sambutan lebarannya pada tahun ini dilakukan dengan kadar yang cukup sederhana. Ia berikutan sepanjang Ramadan, jadualnya terikat dengan tuntutan tugasan.

Raya sederhana

Selesai menjalani penggambaran drama Dia sebanyak 60 episod untuk siaran TV3, barulah dia berpeluang pulang ke kampung halamannya di Kedah untuk sambutan lebaran.

“Untuk sambutan raya pada tahun ini, persiapan biasa-biasa sahaja kerana saya sangat sibuk dengan penggambaran. Begitupun, saya masih berpeluang menyambut sambutan Hari Raya Aidilfitri di kampung.

“Pada kebiasaan, saya dan keluarga agak jarang memakai pakaian sedondon semasa hari raya kerana masing-masing sibuk di dapur. Jadi, tiada masa untuk memakai pakaian cantik sebab akhirnya akan sibuk di dapur juga.

“Malah, adik-beradik ibu saya semuanya perempuan. Mereka akan sibuk di dapur dan mengemas rumah. Justeru itu, keluarga kami tiada tradisi memakai pakaian sedondon dan bersalam-salaman pada pagi raya seperti yang sering dilakukan orang lain,” ujarnya yang akan bercuti selama seminggu.

Kongsi pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner itu lagi, antara juadah wajib acap kali sambutan hari raya merupakan mihun sup utara, kuah kacang, lemang dan rendang.

Bahkan, perkara yang disukai ketika menyambut lebaran adalah tradisi berkunjung ke rumah saudara-mara dan jiran tetangga.

Kuruskan badan


PENGURUSAN - Janna (dua dari kiri) artis terbaharu menyertai syarikat pengurusan Laugh Out Loud Entertainment bersama (dari kiri) Fikri, Intan Sarafina, Rozita Che Wan, Aaisyah Dhia Rana dan Dafi.


Sejurus bercuti raya, Janna akan kembali sibuk di set penggambaran sebuah drama bersiri berjudul Coffee Prince arahan Michael Ang.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, dia berkongsi cabaran yang terpaksa dilakukannya dengan mengurangkan berat badan demi memenuhi tuntutan watak dalam drama tersebut.

Katanya, dia perlu mendapatkan bentuk badan seperti seorang lelaki kerana wataknya dalam drama adaptasi daripada drama Korea tersebut menuntutnya menyamar menjadi lelaki.

“Dalam drama terbaharu ini, saya akan memegang watak sebagai seorang perempuan yang menyamar menjadi lelaki. Saya telah diminta untuk menguruskan badan sebanyak 10 kilogram (kg) supaya dapat menghilangkan bentuk badan perempuan,” katanya yang berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 3kg setakat ini.

Kongsi Janna lagi, sebolehnya dia tidak mahu mengamalkan senaman kerana bimbang otot-otot badan akan mula kelihatan. Apa yang diamalkannya untuk menguruskan badan adalah mengamalkan minum susu dan buah kurma.

“Saya sudah mula mengurangkan berat badan sejak awal puasa lalu dengan mengamalkan minum susu dan buah kurma ketika bersahur. Walaupun sepanjang puasa jadual kerja saya padat sehingga hilang banyak tenaga tetapi tip yang diamalkan sejak setahun lalu memang berkesan. Pernah juga saya terlupa untuk minum, terus seharian rasa lapar dan tidak bermaya.

“Cabaran yang perlu dilalui sepanjang bulan Ramadan adalah terdapat banyak jemputan berbuka puasa. Untuk diri sendiri, saya memang boleh kawal diri daripada makan berlebihan. Bagaimanapun, tidak elok pula kalau sekadar datang dan tidak makan kerana bimbang akan menyinggung tuan rumah,” katanya dalam nada berseloroh.

Enggan layan

Meskipun sedang menjalani ibadah puasa, namun ia tidak dapat mengelakkan Janna daripada terpalit dalam kontroversi selepas dikritik oleh peminat gara-gara memuat naik gambar swafoto ketika berada di masjid.

Tindakan tersebut mendapat kecaman daripada peminat yang rata-rata kurang senang dengan tindakan pelakon drama Syurga Nur itu yang dilihat seperti menunjuk-nunjuk.

Tidak terkesan dengan tohmahan, baginya itu semua adalah perkara yang tidak perlu diperbesarkan kerana dia tidak melakukan apa-apa kesalahan melainkan hanya bergambar.

“Saya pakai telekung, bukannya pakai bikini di dalam masjid. Jadi, perkara ini tidak patut dijadikan isu langsung. Lagipun saya hanya mengambil gambar untuk mempromosi bisnes terbaharu yang saya usahakan, bukannya ada niat lain yang tidak baik.

“Kadang-kadang saya ada juga membalas komen-komen negatif tersebut dengan cara baik. Tujuan saya hanya untuk memberi penjelasan kepada mereka. Itu lebih baik daripada saya sekat atau tutup ruangan komen. Nanti ia akan jadi lebih bermasalah.

“Saya tidak peduli apa sahaja yang orang cakap sebab mereka berhak berkata apa sahaja selagi ia tidak mengaibkan atau menjatuhkan maruah saya dan keluarga,” tutupnya.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 47