DUNIA

Iran lancar peluru berpandu ke Syria, balas serangan Daesh

Iran lancar peluru berpandu ke Syria, balas serangan Daesh


AGENSI - GAMBAR yang disiarkan stesen televisyen Al-Jazeera menunjukkan peluru berpandu yang dilancarkan oleh Iran kelmarin.


TEHERAN – Pasukan tentera elit Pengawal Revolusi Iran melancarkan sejumlah peluru berpandu ke Syria kelmarin sebagai membalas dendam ke atas serangan maut di Teheran yang didakwa dilakukan oleh militan Daesh.

Ia merupakan serangan peluru berpandu pertama oleh Iran dalam tempoh 30 tahun, sejak Perang Iran-Iraq pada tahun 1980 hingga 1988, lapor media tempatan.

Serangan itu dibuat beberapa jam selepas pemimpin agung, Ayatollah Ali Khamenei dalam satu kenyataan di laman webnya, berikrar bahawa Iran akan menye­rang musuhnya sebagai penghormatan kepada keluarga mangsa termasuk mereka yang terbunuh di Syria dan Iraq.

Peluru berpandu itu dilancarkan dari barat Iran merentasi sempadan ke wilayah Deir Ezzor di timur laut Syria dan menyasarkan ‘pangkalan pengganas’.

Pengawal Revolusi Iran dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web Sepahnews memberitahu, peluru berpandu itu bertujuan membalas dendam serangan Daesh di Teheran pada 7 Jun lalu.

“Peluru berpandu jarak sederhana dilancarkan dari wilayah Kermanshah dan Kurdestan, manakala sejumlah besar pengganas terbunuh dan senjata mereka musnah,” kata kenyataan sama.

Televisyen Iran menunjukkan rakaman peluru berpandu itu dilancarkan ke udara pada waktu malam.

Pada 7 Jun lalu, seorang lelaki bersenjata dan pengebom bunuh diri menyerang kompleks Parlimen dan makam pemimpin revolusi Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini di Teheran yang membunuh 17 orang.

Militan Daesh mendakwa bertanggungjawab melakukan sera­ngan tersebut. – AFP

Process time in ms: 31