DUNIA

AS tembak jatuh jet Syria

AS tembak jatuh jet Syria


AGENSI - IMEJ pada 31 Mei lalu menunjukkan dua buah pesawat jenis F-18 Super Hornet milik tentera AS.


RAQQA, Syria – Sebuah pesawat pejuang Amerika Syarikat (AS) menembak jatuh jet tentera Syria di Raqqa, selatan Syria kelmarin.

Washington berkata, jet­ ­Syria itu menggugurkan bom berhampiran tentera penentang disokong AS, manakala menurut Damsyik pula, pesawat itu ditembak jatuh semasa misi mengebom militan Daesh.

Kenyataan oleh stesen te­levisyen Syria menyatakan, pesawat tempur itu terhempas dan juruterbangnya hilang. Ia merupakan kejadian pertama jet perang Syria ditembak jatuh oleh AS sejak perang saudara di negara itu tercetus pada tahun 2011.

Menurut kenyataan tentera Syria, kejadian itu berlaku te­ngah hari kelmarin dekat sebuah kampung bernama Rasafah.

“Serangan terang-terangan ini adalah cubaan untuk melemahkan usaha tentera Syria,” kata kenyataan tersebut.

Perintah Pusat AS kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa pesawat Syria itu ditembak jatuh semasa mengebom gabungan kumpulan penentang dikenali sebagai Tentera Demokratik Syria (SDF) dekat Tabqah.

Menurutnya, tentera Syria terlebih dulu menyerang bandar Tabqah, selatan Syria yang ditawan SDF dan mence­derakan sejumlah pejuang.

Pesawat jenis SU-22 milik Syria itu ditembak jatuh semasa menggugurkan bom berhampiran tentera SDF yang disokong AS. Jet itu ditembak oleh pesawat F/A-18E Super Hornet milik AS, kata kenya­taan itu. – Reuters

Process time in ms: 16