VARIA

Keceriaan penghuni Pusat Jagaan Baitul Hidayah

Keceriaan penghuni Pusat Jagaan Baitul Hidayah

Penghuni Pusat Jagaan Baitul Hidayah bergambar bersama wakil ISRA dan INCEIF pada majlis sumbangan dan agihan di Puchong, Selangor baru-baru ini.


Senyuman yang terpancar pada wajah anak-anak yatim Pusat Jagaan Baitul Hidayah jelas menunjukkan kegembiraan. Sumbangan berjumlah RM20,000 daripada pihak Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) dan Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) sempena sambutan hari raya Aidilfitri itu sedikit sebanyak meringankan beban pusat tersebut selain menambahkan keceriaan penghuninya.

Pengarah Eksekutif ISRA, Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin berkata, ia merupakan sumbangan kecil kedua-dua organisasi itu kepada insan-insan yang memerlukan.

“Ia juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kami untuk memastikan setiap masyarakat yang kurang bernasib baik menerima perhatian sewajarnya,” katanya sambil memberitahu bahawa sumbangan tersebut merupakan hasil usaha sama kakitangan ISRA, INCEIF dan orang ramai.

Kehadiran pertama kali ISRA dan INCEIF di Pusat Jagaan Baitul Hidayah itu sedikit sebanyak memberi satu detik perkenalan yang tidak mungkin dapat dilupakan.

Mohamad Akram berharap lebih ramai masyarakat di luar sana membantu golongan yang lebih memerlukan. Antara barangan sumbangan yang diberikan ialah bekalan asas seperti beras, minyak masak, gula, susu, beg dan pakaian.

Sementara itu, Timbalan Dekan Sekolah Pengajian Profesional INCEIF, Zainal Abidin Mohd. Tahir berkata, kehadiran pihaknya merupakan aktiviti tahunan pada bulan Ramadan bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Ringankan beban

“Kami mahu meringankan beban yang dipikul oleh rumah Pusat Jagaan Baitul Hidayah kerana umum mengetahui tugas menjaga anak-anak ini memerlukan kos yang tinggi.

“Saya mewakili pihak INCEIF terpanggil untuk membantu meringankan beban penjaga anak-anak yatim ini kerana kegembiraan mereka merupakan kebahagiaan bersama,” jelasnya

Antara penaja yang menghulurkan bantuan kepada Pusat Jagaan Baitul Hidayah ialah Mamee-Double Decker (M) Bhd., Clear Herbs Sdn. Bhd., Wanys Snacks dan Yeo’s Malaysia.

Dalam pada itu, Zainal turut menyatakan kesudian pihaknya mengeratkan lagi hubungan yang baru terjalin bersama Pusat Jagaan Baitul Hidayah pada masa akan datang bagi memastikan kebajikan mereka yang berlindung di pusat jagaan itu terbela.

“Kami ingin memastikan hubungan dengan anak-anak di pusat jagaan ini berpanjangan,” katanya.

Pusat Jagaan Baitul Hidayah mempunyai kira-kira 52 orang penghuni yang terdiri daripada anak-anak yatim, fakir miskin dan asnaf. Ia telah beroperasi selama enam tahun di Puchong.

Pada masa sama, Jurucakap Mamee, Nadia Jasmon berkata, pihaknya menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik tersebut bertujuan untuk menceriakan mereka sempena menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

“Wajah ceria anak-anak ini memberi motivasi kepada kami untuk terus komited menjadi syarikat terkemuka di Malaysia dan antarabangsa,” jelasnya.

Pengurus Baitul Hidayah, Noraini Aziz pula berkata, sumbangan tersebut dapat meringankan beban pusat jagaan tersebut bagi menguruskan anak-anak di rumah jagaan itu.

“Sebanyak RM20,000 diperlukan setiap bulan bagi menguruskan anak-anak ini,” jelasnya yang sudah dua tahun menguruskan pusat jagaan tersebut.

Pusat Jagaan Baitul Hidayah kini mempunyai tiga rumah di bawah pengurusannya termasuk asrama lelaki dan asrama perempuan. Pusat jagaan tersebut turut menyediakan pelbagai aktiviti ekonomi seperti menjual bunga hiasan, pasu dan baju terpakai sebagai salah satu cara untuk menampung kos pengurusan anak-anak di pusat tersebut.

Sementara itu, seorang penghuni Pusat Jagaan Baitul Hidayah, Nurul Aishah Busu, 15, berkata, sumbangan yang diberikan memberi seribu satu makna kepadanya dan rakan-rakan lain sempena Aidilfitri yang bakal menjelang.

“Saya amat terharu dengan keprihatinan penaja. Ia merupakan satu penghargaan yang sukar dibalas dengan wang ringgit,” jelasnya

Orang ramai yang berminat untuk menghulurkan sumbangan kepada Pusat Jagaan Baitul Hidayah boleh menghubungi Noraini di talian 013-703 4658.

Process time in ms: 16