TERKINI

Sabah rancang wujud hab halal

Sabah rancang wujud hab halal

19/06/2017 1:21pm


Anifah (dua dari kiri) dan Arifin menyampaikan sumbangan hari raya kepada 500 mualaf di Dewan Pekan Membakut di sini hari ini.


BEAUFORT - Kerajaan Negeri merancang membangunkan hab halal khususnya yang melibatkan industri makanan laut seiring dengan kelebihan negeri itu yang kaya dengan hasil lautan.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Arifin Arif berkata, kewujudan hab halal itu turut melibatkan usaha dalam memastikan setiap restoran mendapatkan sijil pengesahan halal bagi premis masing-masing.

Menurut Arifin, sebuah ekspo hab halal juga akan dianjurkan dalam masa terdekat melibatkan pemain dalam industri perikanan negeri.

"Kita berusaha untuk menjadikan Sabah sebagai hab halal terutama membabitkan sumber hasil laut kerana negeri ini sememangnya terkenal dengan hasil laut.

"Pada peringkat awal, kami merancang untuk mengadakan ekspo makanan laut halal. Pelaksanaan hab halal sebahagian daripada usaha kerajaan negeri menyediakan sumber makanan halal untuk semua pihak," katanya.

Tambah Arifin, kerajaan negeri juga bakal menjalinkan kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah dan kementerian berkaitan untuk mewujudkan hab halal di negeri ini

Terdahulu beliau merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut menyampaikan sumbangan hari raya kepada 500 mualaf di Dewan Pekan Membakut di sini hari ini.

Hadir sama,  Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman yang juga merupakan Ahli Parlimen Kimanis. - K! ONLINE

Process time in ms: 31