SUKAN

Peng Soon pasang impian besar

Peng Soon pasang impian besar


PENG SOON (kiri) dan Yen Wei tewas kepada pasangan Indonesia pada aksi separuh akhir Terbuka Indonesia di Jakarta semalam.


PEMAIN beregu campuran negara, Chan Peng Soon memiliki harapan yang cukup tinggi terhadap pemain-pemain junior dalam acara tersebut pada masa akan datang.

Terbaharu, Peng Soon yang bergandingan dengan pemain muda, Peck Yen Wei melangkah ke separuh akhir kejohanan Siri Super Premier Terbuka Indonesia sebelum tewas kepada pasangan tuan rumah, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir.

Meskipun tewas, namun Peng Soon yang merupakan pemenang pingat perak Sukan Olim­pik 2016 memuji aksi yang ditampilkan Yen Wei sepanjang kejohanan tersebut selain percaya pemain berusia 21 tahun itu memiliki masa depan cerah.

“Mengenai aksi bertemu Tontowi-Lililyana, Yen Wei sudah lakukan yang terbaik dan saya sepatutnya perlu tampilkan aksi lebih bagus. Satu perlawanan yang sukar menentang juara Olim­pik tetapi dia (Yen Wei) mampu atasi tekanan.

“Pada pendapat saya, Yen Wei merupakan pemain yang sa­ngat berbakat. Apa yang boleh saya katakan dia memiliki masa depan yang sangat cerah sekiranya terus bermain seperti ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sementara itu, Yen Wei bangga dan gembira apabila berpeluang untuk bergandingan de­ngan Peng Soon dan melangkah ke separuh akhir pada Terbuka Indonesia yang dianggap berprestij.

“Banyak yang saya belajar daripada Peng Soon, terutama­nya bagaimana untuk mengawal tekanan apabila berada di dalam gelanggang. Saya fikir masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki jika mahu berada sebaris dengan pemain-pemain ternama,” ujar Yen Wei.

Peng Soon yang sering bergandingan dengan Goh Liu Ying terpaksa melupakan aksi bersama pasangannya itu apabila Liu Ying perlu berehat selama sembilan bulan selepas menjalani pembedahan bahu di Jerman, Mei lalu.

Keadaan itu turut menyaksikan Peng Soon-Liu Ying terlepas aksi pada Kejohanan Dunia di Glasgow, Ogos depan dan tempat mereka diambil alih gandingan yang sedang meningkat naik, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Selepas ini, Peng Soon akan bergandingan dengan seorang lagi pemain muda, Cheah Yee See pada Terbuka Australia yang akan bermula esok dan pemain kelahiran Pulau Pinang tersebut berharap pemain ju­niornya itu mampu menyinar.

“Sebenarnya saya tidak ada sebarang sasaran spesifik pada Terbuka Australia, namun harapan saya adalah agar pemain junior (Yee See) turun dengan keyakinan tinggi serta tampilkan aksi terbaik,” tegas Peng Soon.

Process time in ms: 15