RENCANA UTAMA

Wonderland Villas model hartanah Hong Kong

Wonderland Villas model hartanah Hong Kong


Ahli perniagaan memilih Wonderland Villas sebagai kediaman kerana percaya harganya mampu meningkat naik.


KICAUAN burung bulbul atau merbah mula kedengaran seawal pukul 5 pagi di Wonderland Villas, sebuah kompleks yang kaya dengan sejarah politik, ekonomi dan sosial di Hong Kong.

Vila itu terletak di puncak bukit di bahagian utara bandar raya tersebut.

Kompleks yang dibina pada tahun 1984 iaitu ketika Britain menandatangani perjanjian untuk menyerahkan semula Hong Kong kepada China itu merupakan salah satu reka bentuk perintis pada masa tersebut.

Ia memuatkan 22 blok pangsapuri berwarna putih lengkap dengan rumah kelab, gelanggang tenis dan kolam renang.

Harga Wonderland Villas itu mengalami fasa roller coaster iaitu meningkat tinggi, menurun dan naik semula, sekali gus menjadikan ia salah satu pasaran hartanah yang paling mahal di dunia.

Kekurangan rumah mampu milik menjadi satu isu politik utama di Hong Kong terutamanya apabila menghampiri ulang tahun ke-20 penyerahan bandar raya tersebut kepada kerajaan China pada tahun 1997.

Seorang bekas tukang jahit, Winnie Wong, 70, dan suaminya membeli sebuah pangsapuri tiga bilik tidur sebaik Hong Kong diserahkan kepada China.

Pada masa itu, sebahagian penduduk tempatan memilih untuk berhijrah keluar kerana bimbang dengan ancaman Beijing yang mempunyai pengaruh terhadap politik, sivil dan ekonomi Hong Kong.

Winnie mengakui, dia turut berasa bimbang tetapi mengambil keputusan untuk bertahan dan tidak berganjak.

“Ayah saya pernah berkata, masalah akan menjadi lebih banyak sekiranya memilih untuk melarikan diri,” katanya.

Sejak tahun 1970-an, China mula membuka pasaran ekonominya. Ia berjaya membantu mengubah landskap ekonomi Hong Kong dari hab pembuatan kepada perdagangan berorientasikan perkhidmatan ke tanah besar China.

Keputusan tepat

Keluarga Winnie merupakan contoh generasi yang membuat keputusan tepat kerana era selepas perang menyaksikan kebangkitan ekonomi di Hong Kong.

Mereka membeli pangsapuri pertama pada tahun 1970 dengan harga HK$45,000 (RM24,612) dan berpindah sebanyak tujuh kali sebelum akhirnya membelanjakan HK$7.85 juta (RM4.29 juta) untuk mendapatkan rumah di Wonderland Villas pada tahun 1997.

Hartanah berkeluasan 149 meter persegi itu kini bernilai dua kali ganda.

“Bagi generasi saya, sangat mudah untuk membeli rumah jika anda bekerja keras,” ujar Winnie.

Harga hartanah meningkat sepanjang tahun 1980-an dan 1990-an, namun mengalami kemerosotan pada penghujung tahun 1997 ketika krisis kewangan Asia.

Pada tahun 2003, ekonomi Hong Kong sekali lagi diuji apabila wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) membunuh 299 orang di bandar raya itu.

Bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi China dan kemasukan pelancong dari tanah besar ke Hong Kong telah merangsang industri runcit, sekali gus meningkatkan nilai pasaran sejak tahun 2000.

Pemain industri dan ahli perniagaan kaya memilih Wonderland Villas sebagai kediaman walaupun saiznya tidak begitu besar kerana nilai kondominium berprofil tinggi itu berpotensi meningkat.

“Daripada perspektif ekspatriat dari tanah besar China, kebiasaannya mereka akan memilih hartanah terkenal atau yang dibina di atas stesen kereta api bawah tanah apabila melabur di tempat asing.

“Ia merupakan satu bentuk pelaburan,” kata pengurus jualan hartanah tempatan, Ken Lee.

Walaupun tidak sehebat rumah moden, pada hari ini harga Wonderland Villas mampu mencecah harga HK$16 juta (RM8.75 juta). Situasi itu menyukarkan generasi muda untuk membelinya.

Satu kajian yang dijalankan oleh Organisasi Penyelidikan Demografi telah menamakan Hong Kong sebagai bandar hartanah paling mahal mengatasi Sydney, Australia di tempat kedua dan Vancouver, Kanada ketiga.

Penduduk terpaksa hidup dalam kesempitan ekoran kos perumahan yang semakin meningkat.

Beberapa penganalisis berkata, inisiatif kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak rumah baru-baru ini secara tidak langsung akan menyebabkan harganya menurun.

“Apabila lebih banyak projek dilancarkan di pasaran, pemaju perlu meletakkan harga yang lebih kompetitif,” kata penganalisis hartanah, Joyce Kwock Nomura. – AFP

Process time in ms: 47