NEGARA

Raya pertama Mat Dan sebagai suami

Raya pertama Mat Dan sebagai suami


MAT DAN bersama isterinya, Nadifa.


KUALA TERENGGANU – Kedatangan bulan Ramadan pada tahun ini mungkin berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya bagi figura bernama Mat Dan, iaitu personaliti televisyen berbangsa Inggeris yang fasih dengan loghat Terengganu.

Ini kerana Mat Dan atau nama Islamnya Kareef Danial, 26, buat pertama kalinya tahun ini menyambut Ramadan dan Aidilfitri sebagai seorang suami selepas melangsungkan perkahwinan bersama gadis yang berasal dari Chendering, Terengganu, Nadifa Adnan, 28, Mac lalu.

Malah sepanjang bulan Ramadan ini Mat Dan mengurangkan aktiviti seninya untuk bersama-sama isteri membuka gerai di bazar Car Food Sahur di Pantai Batu Buruk yang menyediakan menu seperti bihun goreng, kuih ropa dan brownie.

Mat Dan yang ditemui di gerai itu berkata, keputusan untuk berniaga secara kecil-kecilan pada bulan Ramadan ini bukan berniat untuk mencari keuntungan tetapi tertarik dengan konsep yang diketengahkan penganjur iaitu berniaga sambil membuat amal.

Mengulas perasaannya menyambut Syawal sebagai seorang suami pada tahun ini Mat Dan berkata, beliau bersyukur kerana tahun ini beliau tidak lagi beraya berseorangan selepas memeluk Islam tujuh tahun lepas.

“Bukanlah bermakna sebelum ini saya menyambut Syawal seorang, tapi tahun ini lebih bermakna sebab ada isteri dan sebagai peneman pada pagi Syawal. Insya-Allah pada tahun ini saya akan menyambut Hari Raya bersama keluarga mertua di Kuala Terengganu,” katanya yang tidak sabar merasai rendang daging masakan isterinya. – Bernama

Process time in ms: 78