HIBURAN

Mawi tenang kurang popular

Mawi tenang kurang popular

Tradisi - Mawi dan Ekin mahu anak mereka, Cahaya Malaika memahami erti Syawal dengan mendedahkannya kepada tradisi saling bermaafan serta berkumpul seisi keluarga di hari raya.


Penampilan Mawi hari ini cukup berbeza dengan sosok lelaki anak Felda yang pernah dilihat khalayak lebih 10 tahun lalu. Sewaktu itu, dia hanya seorang jejaka kurus yang membenarkan sahaja tubuh badannya disarungkan dengan pakaian pinjam atau menjual suaranya sehingga mampu mencapai tiga persembahan dalam sehari. Dia sendiri, agak tidak bijak berbasa-basi, malah kebanyakan soalan yang dilemparkan wartawan kepadanya dijawab acuh tidak acuh.

Itu Mawi yang dahulu. Mawi sewaktu zaman terkena kejutan budaya kerana menjadi fenomena selepas menyertai Akademi Fantasia (AF) pada musim ketiga. Hari ini, Mawi kelihatan jauh lebih matang, bersedia, menghadam terlebih dahulu soalan media dengan lebih baik sebelum menjawab persoalan melalui penilaian pemikirannya tersendiri. Malah, penampilannya yang kini berjambang dan mempunyai rambut, membuang jauh imej ‘budak botaknya’ dahulu.

“Saya simpan jambang ini sebenarnya kerana menjayakan watak Azhar dalam filem Munafik 2. Namun, selepas tamat penggambaran terasa sayang pula untuk buang. Jadi saya mahu kekalkan imej seperti ini buat masa sekarang,” ujar Mawi.

Pertemuan kami pada kali ini tidak mahu membicarakan tentang karier nyanyiannya. Semua khalayak tahu Mawi merupakan produk AF yang paling menjadi fenomena suatu ketika dahulu.

Memiliki deretan lagu hit termasuk Aduh Saleha, karier nyanyian Mawi juga tidak pernah berhenti. Cukup terkenal dengan hit Kalah Dalam Menang hasil kolaborasinya bersama pengarah dan pelakon terkenal, Syamsul Yusof, semua orang tahu Mawi sememangnya seorang penyanyi.

Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu, beliau mempunyai pekerjaan lain dalam industri yang menjadi penyambung kelangsungan hidup buatnya sekeluarga. Selepas sudah tidak lagi menjadi kegilaan, sudah juga tidak terlalu padat dengan undangan nyanyian, Mawi mencorak perjalanan kariernya dengan lebih tersusun. Dia memiliki sebuah rumah produksi di bawah label MW Entertainment yang melahirkan banyak program bersifat kerohanian dan beberapa produk komedi yang begitu dekat dengan jiwanya.

Menurut Mawi, minatnya dalam bidang pengarahan bermula apabila dia sering menjalani penggambaran dan perlahan-lahan mencambahkan rasa suka dalam dirinya tanpa diduga.

“Dunia seni ini luas dan saya lihat kerusi pengarah itu sebagai satu cabang baharu yang boleh diterokai untuk memperbanyakkan ilmu selain daripada menyanyi sahaja.

“Saya masih baharu dalam bidang pengarahan. MW Entertainment baru ditubuhkan pada tahun 2015. Justeru secara automatik, masih banyak lagi yang perlu dipelajari agar tidak menghasilkan karya yang sekadar melepaskan batuk di tangga,” tuturnya yang tidak mempunyai masalah bergelar penyanyi,pelakon dan pengarah dalam masa yang sama kerana ia dibuat dengan kerelaan serta keikhlasan hati.

Anak kelahiran Felda Taib Andak, Johor tersebut memanjangkan bicara mengenai pemilihan naskhah komedi dan kerohanian yang menjadi fokus kebanyakan produk terbitan rumah produksinya. Kata Mawi, walaupun berada dalam dunia hiburan namun melalui naskhah sedemikian, beliau meraih peluang berdakwah buat masyarakat umum.

“Saya fikir setiap daripada kita mempunyai cara tersendiri dalam menyampaikan sesuatu perkara. Saya mahu menjadikan naskhah-naskhah yang diterbitkan oleh MW Entertainment sebagai produk yang mampu memberi manfaat kepada semua.

“Sebagai contoh, setiap naskhah yang dihasilkan memberi fokus untuk menarik perhatian generasi muda untuk belajar tentang Islam daripada karya tersebut walaupun ia sekadar cerita-cerita lawak.

“Saya mahu berdakwah secara santai supaya ia mudah diterima oleh semua orang,” ujarnya yang sememangnya diketahui umum memiliki pengetahuan agama yang luas sejak menyertai AF tidak lama dahulu.

Antara produk yang telah diterbitkan Mawi adalah Kembara di Bumi Mikraj bersama Mawi pada tahun 2015 yang menyaksikan dia menjelajah ke Palestin dan terkini, sitkom Oh My Pondok yang menyentuh tentang pengisian asas Islam dan disiarkan di Astro Oasis setiap hari Selasa pada pukul 9.30 malam.

Antara telefilem dan drama yang pernah diarah serta diterbitkan oleh Mawi ialah Rock Sangkut, Novel Fana, Seruan Pulau Nami, Pak Nil Ibu Kirim Salam dan Jiwa Kacau.

Makbul

Menyelusuri masuk dalam kehidupannya kini yang dilihat lebih tenang dan sederhana, pantas lelaki itu tersenyum.

Mawi menyifatkan kehidupannya kini yang tenang dan bahagia di samping isteri Nora’ Asikin Rahmat atau Ekin, 38, dan anak mereka, Cahaya Malaika, 5, adalah doa yang pernah dititipkan kepada Tuhan sewaktu ombak kemasyhuran masih deras melanda hidupnya.

“Saya pernah berdoa kepada Allah agar kembalikan semula hidup saya yang normal seperti sebelum zaman AF kerana saya sudah tidak tahan hidup diperhatikan peminat tanpa henti.

“Aura Mawi World mengambil masa tiga tahun untuk surut dan sekarang saya lega apabila Tuhan makbulkan doa saya untuk hidup seperti orang biasa serta bebas ke sana sini,” katanya sambil tertawa kecil.

Ekin yang setia mendengar di sisi turut bersetuju dengan pendapat suaminya yang tiada masalah menjalani kehidupan sederhana dan serba ringkas berbanding dahulu.

Katanya, Mawi juga kelihatan lebih tenang dan mampu bekerja dengan lebih baik sebaik sahaja fenomena yang dicetuskan suaminya beralih kepada artis baharu lain.

“Memang ada yang mengatakan saat Mawi World sudah pudar, itu adalah zaman kejatuhan suami saya sebagai seorang anak seni. Sebenarnya tumpuan peminat beralih kepada artis lain, itu sahaja dan ia adalah perkara normal dalam dunia hiburan.

“Populariti Mawi datang tidak diundang dan pemergiannya juga bukan kerana keterpaksaan. Apa yang penting, Mawi masih kekal dalam industri dan boleh berkarya tanpa sebarang masalah,”ujarnya yang banyak menyaksikan jatuh bangun suaminya sepanjang bergelar anak seni.

Mawi kemudian menambah, menjadi popular atau nombor satu bukanlah hal yang akal kekal selama-lamanya. Dia sendiri sudah memperingatkan diri tentang hal itu.

“Hal ini kerana perjuangan sebenar seorang artis bukanlah menduduki tangga paling atas, tetapi untuk mengekalkan nama dalam industri,” katanya serius.

Kenangan raya

Diajak berbicara mengenai sambutan Aidilfitri, Mawi pantas mengimbas kenangan raya yang paling tidak boleh dilupakannya sepanjang bergelar seorang artis.

Katanya yang pernah membintangi filem Magika, sambutan Aidilfitri menjadi istimewa sewaktu awal kemunculannya sebagai artis yang menyaksikan rumah terbuka yang diadakan di kediaman orang tuanya di Felda Taib Andak, Kulai, Johor telah diserbu hampir 50,000 orang.

Ternyata bercerita tentang kenangan di zaman kegemilangan mampu mengundang tawa dan keseronokan pada wajah lelaki ini tatkala mengimbas semula momen-momen tersebut.

Apabila diusik adakah dia merindui zaman tersebut, Mawi hanya tersenyum nipis sambil mengakui ada masanya dia teringat juga namun ia sekadar satu perasaan yang singgah sebentar sahaja.

“Biasalah, benda-benda yang manis dan indah itu pasti akan dirindui. Kadangkala, memang saya tiba-tiba terbayangkan saat popular dahulu tetapi hanya setakat itu sahaja dan saya kembali semula ke alam nyata,”katanya kemas menutup bicara.

Process time in ms: 31