GENK

Aiman Abu Bakar intai Las Vegas

Aiman Abu Bakar intai Las Vegas

Kemenangan dalam pusingan pertama Ferlenski Boxing Rise of Heroes di Makati, Manila pada 29 April lalu semakin mengukuhkan nama Aiman.


SEJAK di bangku sekolah, pemilik nama Aiman Hisyam Abu Bakar atau nama komersialnya Aiman Abu Bakar sudah cukup terbiasa dengan sukan tinju.

Ibunya, Afida Ahmad, begitu menggemari bintang tinju Amerika Syarikat, Muhammad Ali dan mula menggalakkan anaknya menceburi sukan itu sejak berumur tujuh tahun lagi.

Selain dorongan keluarga, lelaki berketinggian 170 sentimeter dengan berat 66 kilogram ini turut menggilai watak Rocky Balboa yang dilakonkan oleh pelakon Sylvester Stallone menerusi francais filem tinju popular, Rocky.

Anak bongsu daripada empat orang adik-beradik ini menjadikan petinju dari Panama, Roberto Duran dan Arturo Gatti dari Itali sebagai idola dalam sukan tinju.

Namun, obsesi Aiman dalam sukan itu pada usia yang agak muda tidak dapat dikembangkan secara profesional.

Hal ini kerana sukan tinju di Malaysia pada waktu itu masih kurang mendapat perhatian atlet profesional mahupun khalayak.

“Disebabkan kekurangan fasiliti dan jurulatih, saya terpaksa melupakan hasrat untuk bergelar ahli tinju profesional buat sementara waktu.

“Tetapi saya masih aktif dengan melibatkan diri dalam sukan bola sepak bagi memenuhi masa senggang,” ujar pemuja Roberto Duran itu memulakan bicara.

Biarpun mewakili Negeri Sembilan dalam Liga Super Malaysia selama dua tahun, minat Aiman terhadap sukan tinju tidak pernah luntur.

Akui pemuda berusia 25 tahun itu, dia pernah beberapa kali dimarahi oleh jurulatih bola sepak pasukannya kerana kerap berlatih tinju ketika sedang dalam proses latihan.

“Saya bermain bola sepak kerana ingin kekal aktif, bukan disebabkan minat yang mendalam terhadap sukan kegemaran rakyat Malaysia itu. Dari situ, saya mula sedar yang sukan bola sepak bukan untuk saya.

Antarabangsa

“Justeru, pada tahun 2014, saya mengambil keputusan untuk terbang ke Manila, Filipina bagi memulakan karier sebagai petinju profesional,” kata Aiman yang sengaja memilih negara tersebut kerana banyak kemudahan gimnasium tinju ada di sana.

Prolog kelana Aiman di negara orang boleh dikatakan berjalan dengan agak lancar.

Setibanya di Manila, jejaka kelahiran Kuala Lumpur itu singgah di Boxing Gym yang terletak di Makati dan bertemu dengan seorang petinju profesional bernama Jonel Alibio.

Perkenalan dengan Alibio bukan sahaja memberi pengalaman berbeza tentang dunia tinju, malah turut membuka lembaran baharu terhadap karier tinjunya di peringkat antarabangsa.

“Ketika bertemu dengan Alibio buat kali pertama, dia sempat menguji teknik perlawanan saya di atas gelanggang.

“Tetapi, ujian tersebut terpaksa dihentikan kerana saya berjaya menumbuk tubuhnya tepat pada sasaran.

“Alibio kagum dengan apa yang dilihat dan membuat keputusan untuk membawa saya ke gimnasium tinju lain yang lebih baik bagi memulakan latihan sebenar,” ujarnya.

Debut Aiman sebagai petinju profesional bermula menerusi kejohanan World Boxing Council (WBC) pada 2 Disember 2015 yang berlangsung di Highway Hills Integrated School Gymnasium, Manila.

Ironi, kemunculan yang mungkin dianggap kurang penting bagi kebanyakan orang di sana pada waktu itu turut menjadi saksi terhadap kemenangan perdananya di gelanggang tinju antarabangsa.

Sejak momen bersejarah itu, dia terus memacu karier tinju di Filipina dan memenangi tiga lagi perlawanan dengan satu daripada lawannya ditewaskan secara knock-out (KO).

Legasi


MINAT Afida terhadap petinju tersohor dunia, Muhammad Ali, menjadi pencetus terhadap obsesi Aiman terhadap sukan tinju sejak kecil.


Terbaharu, petinju kategori featherweight itu berjaya menumpaskan lawannya, Roy Lagrada, juga secara KO dalam perlawanan tinju Ferlenski Boxing Rise of Heroes yang berlangsung di Makati Cinema Square Boxing Arena, Makati, Manila pada 29 April lalu. Ia menjadikan rekod Aiman cemerlang dengan lima kemenangan tanpa kalah.

Ditanya mengapakah dia begitu cekal untuk mengukir nama sebagai petinju profesional di negara orang, Aiman terus mengukirkan senyuman.

“Sukan tinju profesional sangat kurang di Malaysia. Jika ada pun, kebanyakannya adalah peringkat amatur yang dilatih untuk acara sukan besar. Jadi, saya terpaksa terbang ke Manila kerana negara tersebut merupakan ‘sarang’ buat sukan tinju di Asia Tenggara.

“Tambahan pula, skor setiap perlawanan yang direkodkan di Manila akan dihubungkan dengan badan tinju dunia. Ia bukan sahaja memudahkan proses pengiraan markah secara global, tetapi membuka peluang untuk saya mengembangkan sayap ke sana,” ujar Aiman yang sudah lama memasang impian untuk beraksi di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS).

Menurut pangkalan data petinju, BoxRec.com, Aiman merupakan salah seorang daripada 11 petinju profesional dunia kelahiran Malaysia dan kini berada pada rangking ke-527 daripada 1,542 petinju dunia.

Akui pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam di Kolej IACT, Petaling Jaya, Selangor ini, hatinya tidak pernah betah untuk melupakan Malaysia, tanah tumpah darahnya walaupun banyak masa dihabiskan di Manila bagi menjalani latihan dan menyertai kejohanan.

“Benar, perancangan saya lima tahun akan datang adalah untuk merangkul gelaran juara dunia dan meningkatkan jumlah perlawanan. Tetapi, ia tidak bermakna saya boleh melupakan negara kelahiran sendiri.

“Saya berhasrat untuk menurunkan ilmu dan pengalaman yang ada kepada generasi muda agar legasi tinju di negara ini dapat dikembangkan dalam skala yang lebih besar,” tutup Aiman.

Process time in ms: 47