DUNIA

Nelayan Iran mati ditembak

Nelayan Iran mati ditembak

REUTERS - IMEJ rakaman sistem televisyen litar tertutup menunjukkan seorang lelaki bersenjata memasuki bangunan Parlimen Iran pada 7 Jun lalu.


TEHERAN – Seorang nelayan Iran mati akibat ditembak pengawal pantai Arab Saudi yang mendakwa dia menceroboh perairan negara itu, kata Kementerian Dalam Negeri Iran sekali gus mencetuskan ketegangan antara dua negara seteru ber­kenaan.

“Dua bot nelayan (Iran) berada di Teluk Parsi dan kemudian tersesat akibat ombak besar. Pengawal pantai Arab Saudi berkata bahawa bot-bot itu memasuki perairannya dan menembak mati seorang nelayan,” kata Ketua Hal Ehwal Sempadan di Kementerian Dalam Negeri, Majid Aghababaie dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tidak jelas sama ada bot nelayan itu memasuki perairan Arab Saudi, manakala pihak berkuasa Iran masih menyia­sat fakta kes ber­kenaan.

“Biarpun bot itu telah memasuki perairan Arab Saudi, pasukan pengawal pantai tidak mempunyai kuasa untuk melepaskan tembakan,” kata Majid.

Agensi berita rasmi Iran, Irna kemudian memetik kenyataan Majid sebagai berkata, salah sebuah bot nelayan itu telah hilang.

“Kami tidak menerima sebarang berita mengenai sebuah bot nelayan kami,” katanya.

Insiden itu berlaku ketika ketegangan antara Arab Saudi dan Iran me­ningkat susulan serangan berkembar ke atas Parlimen dan makam pemimpin Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini di Teheran pada 7 Jun lalu.

Serangan itu mengakibatkan 17 orang terbunuh.

Kumpulan militan Daesh mengaku bertanggungjawab tetapi pasukan Pengawal Revolusi Iran mendakwa bahawa Arab Saudi terlibat dalam serangan itu.

Insiden terbaharu itu turut berlaku ketika rantau Teluk berdepan krisis diplomatik paling buruk sejak beberapa tahun lalu.

Pada awal bulan ini, Arab Saudi dan beberapa sekutunya memutuskan hubungan dengan Qatar kerana mendakwa negara jirannya itu menyokong kumpulan pelampau termasuk yang disokong oleh Iran.

Bagaimanapun, Qatar menafikan dakwaan tersebut. – AFP

Process time in ms: 47