RENCANA UTAMA

Makan hati bersuamikan lelaki playboy

Makan hati bersuamikan lelaki playboy


NALURI wanita yang mudah terguris membuatkan Intan tawar hati terhadap suaminya, Rizal selepas dua kali kecurangannya terbongkar. – Gambar hiasan


HATI seorang wanita memang sukar untuk dipujuk kembali, walaupun sifat wanita itu zahirnya dilahirkan lemah lembut dan bersopan santun.

Namun, hati wanita mana yang tidak hancur apabila kasih sayang yang dicurahkan kepada insan bergelar suami dipersiakan begitu sahaja gara-gara kehadiran insan ketiga dalam keluarga.

Bukan tidak pernah diberi peluang kepada si suami untuk berubah, namun hasilnya tetap sama sehingga timbul rasa muak dan jemu untuk hidup bersama lagi.

Bercerita lebih lanjut, Intan (bukan nama sebenar), 30, kini sudah tawar hati untuk meneruskan mahligai yang dibina sejak enam tahun lalu gara-gara kecurangan suaminya yang mempunyai pe­rempuan simpanan.

“Sejak dari zaman universiti lagi kami berkenalan dan sememangnya dia sangat terkenal dan digilai ramai ketika zaman belajar,” tutur Intan yang mempunyai seorang cahaya mata.

Ketika sama-sama masih me­nuntut di salah sebuah universiti di utara tanah air, Intan salah seorang daripada puluhan wanita yang menaruh hati kepada Rizal (bukan nama sebenar), 32, kerana tertarik dengan perwatakan lelaki itu yang sememangnya menjadi pujaan ramai gadis.

Melayan

Mungkin ditakdirkan jodoh mereka bersama, Intan dan Rizal kemudiannya menjalinkan hubu­ngan sebagai pasangan kekasih sehinggalah masing-masing menamatkan pengajian dan mengambil keputusan untuk berkahwin.

Mengahwini Rizal, Intan berasa sungguh beruntung kerana dia berjaya memiliki seorang suami yang tidak kurang tampannya, selain mempunyai kerjaya sebagai ahli farmasi di salah sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Sewaktu mula-mula mereka mengambil keputusan untuk berkahwin, Intan sememangnya tahu Rizal mempunyai ramai rakan perempuan, malah lelaki itu juga gemar melayan mana-mana wanita yang ingin mendekatinya.

“Tipu kalau saya tidak cemburu, namun saya berpendapat, selepas berkahwin nanti pasti dia akan berubah kerana telah bergelar suami,” tutur Intan.

Tahun pertama perkahwinan mereka, Intan dan Rizal melayari bahtera alam rumah tangga mereka dengan begitu bahagia lebih-lebih lagi selepas Intan disahkan hamil anak sulung.

Keadaan itu menguatkan lagi keyakinan Intan terhadap Rizal bahawa lelaki itu tidak mungkin akan curang apatah lagi ketika dia bakal bergelar bapa.

Namun, sangkaan itu ternyata meleset. Manakan tidak, Intan mendakwa, semasa usia kandu­ngannya memasuki fasa empat bulan, dia perasan akan perubahan sikap suaminya apabila gemar keluar pada waktu malam walaupun sedar isterinya dalam keadaan sarat hamil.

“Rahsia terbongkar apabila adik ipar saya sendiri mengadu apabila ternampak abangnya bermesra bersama seorang wanita di dalam kereta,” tutur Intan.

Intan bertanyakan perkara tersebut kepada Rizal, tanpa ba­nyak berdalih dia mengaku apa yang dilihat oleh adiknya sendiri.

Luluh hati Intan, namun kerana sayangkan Rizal dan anak yang dikandung, wanita itu memberi peluang kepada suaminya tambahan pula lelaki itu berjanji untuk tidak mengulangi kesalahannya.

Sehinggalah Intan selamat melahirkan puteri kesayangannya, Rizal sekali lagi mengulangi kesilapan serupa apabila hu­bungannya dengan rakan sekerja pula terbongkar.

Tidak berubah

Perkara itu terjadi apabila Intan terbaca mesej yang dihantar oleh suaminya kepada wanita itu menerusi WhatsApp dengan kata-kata cinta seperti hubungan pasangan kekasih.

“Dua kali hati saya dihancurkan kerana sifat suami yang gemar melayan wanita.

“Saya sangkakan perangai buruk sejak di zaman universiti itu akan berubah selepas berumahtangga, namun ternyata saya silap,” kata Intan.

Sukar untuk wanita itu membuat keputusan sama ada berbincang atau menuntut penceraian demi anak tunggalnya.

Namun, buat masa ini, hatinya kecewa apabila Rizal masih berpe­rangai lama dan tidak pernah berubah. Walaupun diberitahu sekadar rakan sekalipun, hati wanita yang rapuh tetap akan membayangkan perkara yang bukan-bukan.

“Sepatutnya Rizal perlu tahu statusnya sebagai suami dan bapa kepada seorang cahaya mata.

“Saya masih sayangkan dia dan berharap suatu hari nanti dia akan berubah,” ujar Intan.

Process time in ms: 63