RENCANA UTAMA

Angkasawan wanita AS pertama dalam kenangan

Angkasawan wanita AS pertama dalam kenangan


WANITA ini terus melakar sejarah menjadi wanita AS pertama melakukan misi penjelajahan ke angkasa lepas untuk kali kedua pada 5 Oktober 1984.


APABILA Sally Ride diterbangkan ke angkasa menerusi kapal angkasa Challenger STS-7 dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida, Amerika Syarikat (AS) pada 18 Jun 1983, dia bukan sahaja mencipta sejarah tersendiri buat dirinya, malah momen tersebut turut terpahat dalam sejarah negara itu.

Manakan tidak, Ride merupakan wanita AS pertama menjelajah ke angkasa lepas. Pencapaian Ride membantu mengubah persepsi tentang golongan wanita. Dia meyakinkan dunia bahawa kaum Hawa juga mampu melakukan tugas-tugas mencabar, khususnya dalam bidang aeroangkasa yang dido­minasi golongan lelaki.

Figura itu turut menjadi ikon dalam mencetuskan inspirasi kepada generasi baharu untuk berani menceburkan diri dalam apa sahaja bidang yang diminati.

Menyorot kembali kehidupan awalnya, puteri sulung kepada pasangan Dale Burdell Ride dan Carol Joyce itu dilahirkan di Los Angeles, California pada 26 Mei 1951.

Bapanya merupakan profesor pengajian sains politik di Kolej Santa Monica, manakala ibunya berkhidmat sebagai kaunselor sukarelawan di sebuah pusat tahanan wanita di Los Angeles.

Meskipun ibu bapanya tidak mempunyai latar belakang dalam bidang sains, ia tidak menghalang Ride memupuk minat untuk meneroka ilmu sains secara mendalam.


RIDE diberi peluang mengendalikan kapal angkasa Challenger STS-7 yang merupakan misi pesawat ulang alik NASA ketujuh.


Kerjaya di NASA

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Portola dan Sekolah Tinggi Westlake, Los Angeles, Ride me­lanjutkan pelajaran di Universiti Stanford dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang fizik dan bahasa Inggeris pada 1973.

Ride meneruskan pengajian peringkat sarjana dalam bidang sains pada 1975 dan seterus­nya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang fizik pada 1978.

Karier Ride dalam bidang aeroangkasa bermula selepas dia membuat permohonan untuk menyertai program di Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) setelah melihat iklan dalam akhbar pelajar universiti.

Ia adalah kali pertama NASA membuka pemohon daripada orang awam dan dalam kalangan wanita menyertai agensi tersebut.

Daripada 8,000 permohonan, wa­nita itu akhirnya terpilih sebagai salah seorang daripada 35 yang berjaya mengikuti latihan angkasawan.

Lebih membanggakan, NASA turut memilih Ride sebagai salah seorang daripada enam wanita untuk menjalani latihan penerbangan angkasa.

Menyertai NASA pada tahun 1978, Ride memulakan kerjayanya di lapangan sebagai komunikator kapsul bagi misi kapal angkasa Columbia STS-2 dan STS-3 selain membantu dalam pembangunan lengan robotik kapal angkasa berkenaan.

Ketika menginjak usia 32 tahun, wanita itu diberi peluang mengendalikan kapal angkasa Challenger STS–7 yang merupakan misi pesawat ­ulang alik NASA ketujuh.

Ia dilancarkan pada 18 Jun 1983 dan kembali semula ke Bumi kira-kira enam hari selepas itu. Sebahagian daripada misi kapal angkasa Challenger tersebut adalah bagi melancarkan satelit komunikasi untuk Kanada dan Indonesia.

Selepas misi tersebut, wanita itu terus melakar sejarah menjadi wanita AS pertama melakukan misi penjelajahan ke angkasa lepas untuk kali kedua pada 5 Oktober 1984.

Ketika menyertai misi Challenger, STS-41G selama sembilan hari, Ride sekali lagi menggunakan kepakarannya mengendalikan lengan robotik.

Misi ketiganya tertangguh berikutan kemalangan tragik kapal angkasa Challenger yang mengorbankan kesemua tujuh krunya pada 28 Januari 1986.

Susulan daripada insiden itu, Ride dipindahkan ke Washington di mana dia terbabit dalam penyiasatan tragedi kapal angkasa tersebut selain mengetuai usaha perancangan strategik pertama NASA bagi pertengahan tahun 1980-an.

Selain itu, wanita tersebut turut menghasilkan laporan berjudul NASA Leadership and America’s Future in Space.


RIDE (depan, kiri) bergambar bersama kru kapal angkasa Challenger STS-7 yang dilancarkan ke angkasa pada 18 Jun 1983.


Individu termuda

Mengambil keputusan untuk bersara daripada NASA pada 15 Ogos 1987, Ride terus menyumbang pengetahuan serta kepakarannya dengan menyertai Pusat Keselamatan Antarabangsa dan Kawalan Senjata di Universiti Stanford sebagai felo sains.

Dengan persaraannya itu, Ride menca­tatkan masa 14 hari 7 jam dan 46 minit di angkasa lepas. Dia juga memegang rekod sebagai individu termuda dalam sejarah angkasawan yang pernah berlepas ke angkasa lepas.

Ride kemudiannya menyertai Universiti California-San Diego sebagai profesor fizik dan turut dilantik sebagai Pengarah Institut Angkasa California.

Pada 2001, Ride mengasaskan syarikat sendiri dikenali sebagai Sally Ride Science yang antara lain bertujuan untuk memberi galakan kepada pelajar terutamanya remaja perempuan untuk menceburi bidang sains, teknologi, kejurute­raan dan matematik.

Bakatnya dalam bidang penulisan turut diberi pujian selepas dia berjaya menghasilkan lima buku sains kanak-kanak iaitu To Space and Back, Voyager, The Third Planet, The Mystery of Mars dan Exploring Our Solar System.

Hayat Ride berakhir pada 23 Julai 2012 selepas 17 bulan bertarung melawan penyakit kanser pan­kreas yang dihidapinya. Dia me­ninggal dunia pada usia 61 tahun di La Jolla, California.

Sebagai angkasawan wanita pertama AS, buku-buku mengenai Sally Ride banyak ditulis. Antaranya ialah Sally Ride: A Space Biography, To Space and Back, Sally Ride: First American Women in Space, Sally Ride: Space Pioneer dan Sally Ride: Shooting for the Stars.

Process time in ms: 47