VARIA

Menilai perpaduan umat Islam pada akhir zaman

Menilai perpaduan umat Islam pada akhir zaman

QATAR mempunyai 2.6 juta penduduk yang mencatatkan 80 peratus daripadanya ialah pendatang asing dari India dan Bangladesh.


KETENANGAN pada pertengahan Ramadan 2017 tiba-tiba berkocak dalam kalangan orang Islam apabila mendengar berita pergolakan terbaharu di Asia Barat.

Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, Bahrain, Mesir, Yemen, kerajaan Libya Timur, Mauritania dan Senegal mengambil tindakan memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar.

Selepas keamanan lenyap dari bumi Iraq, Libya, Syria, Yaman, kini pergolakan yang menggugat umat Islam merebak pula ke rantau yang dikenali sebagai Teluk.

Qatar ialah negara kecil di Semenanjung Arab bersempadan hanya dengan Arab Saudi.

Mempunyai 2.6 juta penduduk, Qatar masih negara Arab walaupun lebih 80 peratus penghuninya adalah pendatang asing terutama dari India dan Bangladesh.

Negara kecil ini mempunyai pendapatan per kapita paling tinggi di dunia hasil khazanah gas asli dan petrol. Lebih tinggi daripada Arab Saudi dan Kuwait

Qatar juga dikenali kerana memiliki syarikat penerbangan gergasi Qatar Airways dan stesen TV Al Jazeera.

Diguling

Negara kecil itu juga merupakan negara Arab pertama yang akan menganjurkan kejohanan bola sepak Piala Dunia pada tahun 2022.

Ini semua faktor yang boleh menyebabkan Qatar dicemburui oleh lain-lain negara. Namun alasan yang diumumkan kenapa hubungan diplomatik diputuskan ialah Qatar memberi bantuan kepada Hamas dan Ikhwanul Muslimin, dua pertubuhan militan Islam yang aktif di Palestin dan Mesir. Kedua-duanya sangat anti-Israel.

Hamas adalah kumpulan serpihan yang lahir daripada gagasan Ikhwanul Muslimin untuk berjuang membebaskan Palestin daripada pencerobohan dan penaklukan Israel.

Ia dianggotai sepenuhnya oleh orang-orang Sunnah Wal Jamaah atau ringkasnya Sunni. Kelahirannya tidak disenangi oleh Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang dianggotai oleh rakyat Palestin pelbagai agama.

Hamas melaksanakan perjuangan militan yang lebih keras tanpa kompromi terhadap Israel. Ikhwanul Muslimin pernah memenangi pilihan raya dan menubuhkan kerajaan di Mesir pada tahun 2012, tetapi akhirnya digulingkan oleh tentera dan diharamkan.

Kedua-duanya dicop sebagai kumpulan pengganas bukan sahaja oleh Amerika dan Barat, tetapi juga beberapa negara Islam khususnya di Asia Barat.

Perkembangan terbaharu yang melibatkan Qatar ini menunjukkan betapa lemahnya perpaduan Islam pada akhir zaman ini.

Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa umat baginda pada akhir zaman sangat ramai, tetapi ibarat buih yang mudah berkecai apabila dialun ombak.

Ombak itu kini bukan sahaja bergelombang dari luar, malah beralun dari dalam sesama sendiri. Kenapa boleh jadi begini sedangkan kita adalah umat agama yang Allah reda? Kita sepatutnya mendapat pertolongan Allah.

Sejak tumbangnya empayar Othmaniah, umat Islam tidak bangkit lagi walaupun Allah mengurniakan kekayaan yang melimpah ruah di banyak negara Arab melalui hasil petrol dan gas.

Kekayaan itu sepatutnya digunakan untuk memperkukuh dan memperkuatkan ummah sejagat.

Namun apa yang nyata ialah kekayaan itu lebih digunakan untuk mempamer kemewahan termasuk berlumba-lumba membina bangunan pencakar langit.

Pada setiap Ramadan umat Islam juga berlumba khatam Quran untuk mengutip pahala sebanyak mungkin.

Apakah kita hanya bertadarus tanpa taddabur iaitu memahami dan mengupas dengan mendalam maksud firman Allah di dalam kitab-Nya itu?

“Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Dia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.”-‘Ali-Imran:160

Pemimpin

Nampaknya firman Allah hanya dibaca untuk mencari pahala individu, bukannya untuk kemenangan ummah.

Berdasarkan firman-Nya, kunci untuk mendapatkan pertolongan Allah terletak pada kekuatan iman kerana orang yang beriman sahaja benar-benar berserah diri (tawakkal) kepada-Nya.

Tanpa iman walau sekuat mana sekalipun ibadat seseorang, dia akhirnya akan kecundang dan mudah beralih penyerahan diri kepada makhluk-Nya (taghut).

Mungkin taghut itu dalam bentuk pemimpin sebuah negara kufar yang lebih gagah. Jika taghut itu yang lebih ditakuti daripada Allah, maka itulah tanda bahawa seseorang itu tidak beriman walaupun pada zahirnya dia sangat Islam.

Antara punca terhakisnya iman ialah bertambahnya sifat wahan iaitu cintakan dunia dan sangat takut mati. Apakah kemewahan telah menyebabkan penebalan sifat wahan para pemimpin dan umat Islam zaman sekarang ?

Lalu menipis atau terus lenyap iman mereka. Lalu, penyerahan diri serta sifat takut tidak lagi kepada Allah, tetapi kepada taghut.

Pada hujung Ramadan 2017 ini marilah kita berazam, berdoa dan berusaha memperkukuh iman. Juga doakan agar negara Malaysia dipimpin orang beriman supaya kita terus mendapat pertolongan dan perlindungan Allah.

Process time in ms: 47