RENCANA UTAMA

Bancuhan kanji dimakan dengan lauk-pauk

Bancuhan kanji dimakan dengan lauk-pauk



PERUT Nur Shafina Azlan, 20, bagaikan berlagu riang. Lauk-pauk masakan kampung kegemarannya sudah siap terhidang di atas lapik yang diperbuat daripada daun mengkuang. Sesekali anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu menjengah ke dapur bertanyakan kepada neneknya, Dayang Habsah Awang Piut, 68, sama ada hidangan utama sudah siap dimasak ataupun belum.

Sebaik melihat kelibat neneknya yang berbaju kurung rona ungu keluar dari dapur membawa semangkuk plastik berisi sajian yang paling dinanti-nantikan, bibir Nur Shafina menguntum senyuman.

Remaja bertubuh genit itu pantas mengaut sajian berwarna putih jernih seperti gam itu lalu dipintal menjadi bebola kecil menggunakan kayu penyepit yang dikenali sebagai candas.

Ganti nasi

Kemudian, pintalan bebola di hujung kayu tersebut dicelup ke dalam lauk ikan masak ampap sebelum menelannya. Dia mengulangi kaedah yang sama cuma kali ini dicicah pula dengan lauk batang keladi masak asam.

“Inilah ambuyat. Sejenis makanan tradisional Sabah yang popular dalam kalangan masyarakat kami, Melayu-Brunei. Lazimnya, kami menikmati ambuyat bagi menggantikan nasi terutamanya ketika berbuka puasa, makan tengah hari atau makan malam. Saya mula menikmati makanan ini seawal usia sembilan tahun.

“Dengan adanya ambuyat, sekurang-kurangnya hidangan iftar dapat dipelbagaikan. Lagipun hidangan ruji ini sama seperti nasi kerana dimakan bersama lauk-pauk kampung dan ulam memandangkan rasanya tawar, tidak masam dan tidak pahit,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Tarap, Bongawan, Sabah.

Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bongawan itu, biarpun zaman kian moden, namun ahli keluarganya masih menikmati ambuyat menggunakan candas yang diperbuat daripada pokok rumbia atau buluh.

“Sesetengah orang menikmati ambuyat menggunakan garpu tetapi kami tetap memilih candas kerana proses mencedok dan memintal lebih mudah. Lagipun ambuyat cepat melekat pada kayu penyepit berbanding garpu.

Candas

“Jika diperhatikan, candas rupanya seakan-akan kayu penyepit, cuma hujungnya bersambung dan bentuk seperti huruf V,” ujarnya. Kayu penyepit berkenaan boleh dibeli di gerai pasar minggu atau pasar besar yang menjual tepung sagu.

Ambuyat merupakan makanan tradisional masyarakat Brunei, Bisaya, Bajau, Dusun, Kadazan, Kedayan dan Sino. Ia diperbuat daripada sagu. Mengambil kiraan berat 100 gram, sagu kering mengandungi 94 karbohidrat, 0.2 protein, 10 gram kalsium, 1.2 gram zat besi, vitamin dan mineral dalam jumlah kuantiti yang kecil.

Bagi memberi keseimbangan pada pola pemakanan maka ambuyat dinikmati bersama hidangan sampingan seperti ikan, ayam dan sayur-sayuran.

Pada zaman Perang Dunia Kedua sekitar tahun 1941 ketika penjajahan tentera Jepun, penduduk di Brunei dan Kepulauan Borneo sukar memperoleh beras. Sebagai alternatif, mereka menggunakan sagu iaitu sejenis kanji yang diambil dari bahagian tengah batang pokok rumbia. Pokok rumbia terbahagi kepada dua jenis iaitu Metroxylon Rumpii (batang berduri) dan Metroxylon Sagu (batang tidak berduri).

Di Sabah, pokok rumbia ditanam secara meluas di kawasan berpaya terutamanya di pantai barat Sabah seperti di Beaufort, Kuala Penyu, Papar dan Penampang. Bagaimanapun, keluasan kawasan penanaman pokok tersebut dilihat semakin berkurangan disebabkan pembangunan.


AMBUYAT lebih mudah diceduk menggunakan candas sebelum dicicah bersama lauk kegemaran pengguna.


Menumpah

Menyentuh mengenai penyediaan ambuyat, Dayang Habsah memberitahu, meskipun caranya mudah tetapi ia memerlukan kemahiran dan teknik yang betul.

“Dalam kalangan masyarakat Melayu-Brunei, kami memanggilnya menumpah ambuyat kerana menumpah merujuk pada proses menuang air panas yang mendidih ke dalam bekas berisi tepung sagu.

“Tepung sagu itu digaul bersama air panas mendidih sehingga ia kembang, kenyal, melekit seperti gam yang berwarna jernih. Pastikan sebatian ambuyat tidak terlalu pekat atau cair supaya mudah menelannya,” ujar Dayang Habsah sambil melakukan proses menumpah ambuyat dengan bantuan adiknya, Dayang Mastum Awang Piut, 60.

Jelas nenek kepada 17 orang cucu itu, sebelum menyediakan ambuyat, dia akan memasak lauk-pauk terlebih dulu kerana proses menumpah ambuyat tidak mengambil masa yang lama.

Di rumahnya, anak-anak dan cucu Dayang Habsah gemar menikmati ambuyat bersama lauk wajib seperti ikan masak ampap iaitu sejenis juadah tradisi masyarakat Sabah, ikan bakar dan air asam serta rebung masak lemak.

Selain itu ambuyat juga enak dinikmati bersama sambal belacan, sayur paku pakis, sayur terung dan ikan masin goreng.

“Ambuyat enak dimakan ketika berbuka puasa kerana ia membantu mengembalikan tenaga selepas seharian berpuasa. Selain pada bulan Ramadan, masyarakat kami turut menyajikan ambuyat pada majlis perkahwinan dan kenduri-kendara,” ujarnya.

Dalam pada itu, cef di restoran D’Place Kinabalu, Kota Kinabalu, Sabah, Sandra Paut, 25, memberitahu, dunia masakan juga tidak terkecuali daripada terkena tempias gelombang pemodenan. Menurut anak kelahiran daerah Sipitang, Sabah itu, ambuyat lazat dinikmati dengan rendang daging, halia liar atau tuhau masak asam pedas bersama ekor lembu, acar nanas, kari ayam ataupun nangka masa lemak.

Di D’ Place Kinabalu, pelanggan yang ingin merasai keenakan sajian ambuyat berpeluang menambah lauk-pauk seperti rebung dan pucuk ubi masak lemak, umbut dan pucuk ubi masak lemak atau nangka masak lemak.

“Set ambuyat yang dijual pada harga RM58.90 yang turut disajikan bersama acar nanas, ulam-ulaman, bambangan, tuhau sambal goreng ikan masin, sambal belacan dan pemanis mulut,” katanya yang mengusahakan restoran berkenaan bersama rakannya, Lisa Thien dan Steven Ong.

Sandra memberitahu, pihaknya kerap mengambil stok sagu daripada penjual dan pengusaha sagu di sekitar daerah Beaufort dan Kuala Penyu. Di Sabah, kedua-dua daerah tersebut cukup terkenal sebagai lubuk tepung sagu disebabkan penanaman pokok rumbia secara meluas.


TEPUNG sagu yang digunakan untuk menghasilkan ambuyat diperoleh dari bahagian tengah batang pokok rumbia.


Jualan

Peniaga tepung sagu, Rusiah Lamidin, 45, mengakui daerah Beaufort dan Kuala Penyu sering menjadi tumpuan peniaga dan pengusaha makanan membeli bekalan tepung sagu.

Dia yang hampir tiga dekad berniaga tepung sagu di Pasar Besar Beaufort, Beaufort, Sabah menjual tepung sagu seberat 700 gram pada harga RM2 dan RM5 untuk tepung sagu seberat 2 kilogram.

“Lazimnya, pada bulan Ramadan dan menjelang Syawal peniaga makanan membeli tepung sagu untuk menghasilkan produk biskut sagu, kuih talam sagu, roti atau ambuyat.

“Namun, jualan sagu pada hari ini tidak serancak dahulu berbanding sedekad lalu. Kekurangan tenaga kerja di ladang dan sebahagian besar penduduk tempatan terutamanya generasi muda yang tidak berminat mengusahakan perusahaan sagu antara punca kepada masalah ini,” katanya.

Rencana Utama!»

Teruja sambut Aidilfitri di Malaysia

MUHAMMAD Rasyad, (kiri), Muhammad Adam (tengah) dan Zuhaira menyambut hari raya pertama bersama mualaf lain di Hidayah Centre Foundation sebelum berlepas ke Abu Dhabi pada hari raya kedua.

Process time in ms: 32