DUNIA

Letupan tadika di China ragut lapan nyawa, 65 orang cedera

Letupan tadika di China ragut lapan nyawa, 65 orang cedera


ORANG ramai berhimpun di lokasi letupan di sebuah tadika di daerah Fengxian, wilayah Jiangsu, China semalam.- AGENSI


BEIJING – Satu letupan menggegarkan sebuah tadika di timur China kelmarin, membunuh sekurang-kurangnya lapan orang dan mencederakan puluhan yang lain, lapor agensi berita Xinhua.

Letupan berlaku di pintu ­masuk sekolah berkenaan, kata polis di bandar Xuzhou dalam satu kenyataan.

Gambar tersebar di internet menunjukkan kuasa letupan kuat itu mengakibatkan pakaian orang ramai koyak, manakala seorang wanita dilihat memeluk anaknya yang menangis.

Menteri Keselamatan Awam, Guo Shengkun mengarahkan siasatan segera bagi mengenal pasti punca letupan, lapor Xinhua.

Beliau mengerahkan timbalannya ke lokasi kejadian bagi me­lakukan siasatan.

Bagaimanapun, akhbar Global Times dan China Youth Daily memetik beberapa saksi sebagai berkata, letupan di daerah Fengxian itu berpunca daripada tong gas di sebuah gerai makanan berhampiran tadika tersebut.

“Sekurang-kurangnya lapan orang maut, manakala 65 ­mangsa cedera,” Xinhua memetik bebe­rapa pegawai sebagai berkata.

“Dua orang meninggal dunia di lokasi kejadian dan enam lagi semasa dirawat,” kata mereka.

Laporan media online memetik seorang pemilik premis perniagaan sebagai berkata, dia terdengar bunyi kuat pada pukul 5 petang (waktu tempatan) dan mendapati letupan berlaku di pintu masuk tadika berkenaan pada jarak 100 meter dari kedainya.

Terbaharu, pihak berkuasa China mengesahkan bahawa letupan berpunca daripada bom buatan sendiri, manakala penye­rang maut dalam kejadian itu.

Kementerian keselamatan awam menyatakan dalam satu kenyataan bahawa suspek me­rupakan seorang pemuda ber­umur 22 tahun yang mengalami masalah kesihatan.

Dia menyewa sebuah bilik berhampiran tadika itu.

Polis menemui peralatan membuat bom di dalam bilik suspek dan perkataan bermaksud bunuh, mati dan musnah di din­dingnya. – AFP

Rencana Utama!»

Teruja sambut Aidilfitri di Malaysia

MUHAMMAD Rasyad, (kiri), Muhammad Adam (tengah) dan Zuhaira menyambut hari raya pertama bersama mualaf lain di Hidayah Centre Foundation sebelum berlepas ke Abu Dhabi pada hari raya kedua.

Process time in ms: 32