PESONA

Amal konsep pot luck pada Aidilfitri

Amal konsep pot luck pada Aidilfitri



MEMORI terpijak pelita pada malam raya ketika kanak-kanak masih segar dalam ingatan Ili Zawani Ismail, 30.

Ketika itu, keluarga Pengarah Urusan Naturalife Solution Sdn. Bhd., (NSSB) dan pengedar Farmasi Colour Cosmetic (FCC) Asia Tenggara tersebut menetap di Miri, Sarawak.

FCC yang mendapat pengiktirafan halal dunia dan boleh dibawa solat dihasilkan daripada minyak dan ekstrak buah buahan serta sayuran manakala pembuatannya dilakukan oleh masyarakat Islam di Istanbul, Turki.

FARMASI (panggilan di pasaran antarabangsa) atau lebih dikenali sebagai FCC di Malaysia telah berada di pasaran dunia sejak 1950 tetapi hanya memasuki pasaran Malaysia pada 2008.

“Pada malam itu, saya bersama adik-beradik dan jiran bermain di luar rumah. Kalau tidak silap saya, waktu itu saya baharu darjah dua.

“Akibat terlalu asyik bermain, saya tidak sedar kaki terpijak pelita yang sudah terpadam apinya. Akibat daripada kejadian itu, kaki saya berlubang dan berdarah teruk. Mujur luka saya tidak perlu dijahit,” katanya ketika ditemui di pejabatnya yang terletak di Subang, Selangor baru-baru ini.

Anak kedua daripada tiga adik-beradik itu mempunyai seorang kakak, Ili Ruzana Ismail, 31 dan adik lelaki, Johan Arif Ismail, 26.

Bercerita lanjut, Ili Zawani yang dilahirkan di Klang, Selangor memaklumkan, Syawal adalah antara bulan yang dinantikan terutamanya setelah bergelar isteri kepada Mohd. Aminurasyid Mohd. Fauzi dan ibu kepada Aydeen Muhammad, setahun empat bulan.


Antara produk kecantikan keluaran Farmasi Colour Cosmetic.


Sambal goreng

Tuturnya, terdapat banyak perbezaan menyambut hari raya ketika bujang dan setelah berumah tangga.

“Jika dahulu saya hanya perlu kemas barang-barang peribadi yang ingin dibawa pulang ke kampung tetapi setelah ada keluarga, barang-barang mereka menjadi keutamaan saya.

“Lagi-lagi apabila anak masih kecil, semua barang perlu diangkut sama dan tidak ada benda yang boleh tertinggal,” katanya yang akan menyambut Aidilfitri di kampung ayahnya di Teluk Panglima Garang, Banting, Selangor terlebih dahulu sebelum berangkat ke rumah keluarga mertua di Johor Bharu, Johor.

Saban tahun, beberapa minggu sebelum Syawal, Ili Zawani bersama sanak-saudara dan adik-beradik akan pulang ke Banting lebih awal untuk berbincang serta mengagihkan tugas masing-masing.

Misalnya, mereka akan berbincang mengenai hidangan apa yang ingin dimasak dan dibawa pada hari raya nanti.

Ini kerana mereka sekeluarga sudah biasa mengamalkan konsep pot luck supaya tidak membebankan datuk dan nenek untuk menyediakan juadah.

“Selalunya kami semua akan bahagikan menu siap-siap seperti keluarga mak cik bawa kuah kacang dan nasi impit, keluarga pak cik pula bawa rendang dan yang lain-lain boleh bawa juadah pilihan mereka.

“Pada tahun ini, saya mungkin akan membawa sate atau sambal goreng tempe jawa.

“Namun, nenek tetap akan memasak resipi istimewanya iaitu ayam masak kicap pada setiap tahun. Menu itu menjadi seperti makanan tradisi kami setiap kali Syawal tiba,” jelasnya.

Kemeriahan Aidilfitri semakin dirasai pada pagi Syawal apabila semua sanak saudara berkumpul. Pada pagi itu, lauk-pauk dan kuih raya semuanya sudah terhidang.

Ili Zawani memberitahu, bersalam-salaman memohon keampunan antara satu sama lain selepas menunaikan solat sunat hari raya merupakan rutin keluarga pada setiap tahun.

Rumah sendiri

Bermula daripada yang tua sehingga ke paling muda. Duit raya juga akan diagihkan bersama.

“Pada saat bersalaman, akan ada yang menangis sedih dan gembira. Selesai bersalaman, kami akan mengambil gambar kenang-kenangan sebelum semuanya terjah ke meja makan untuk menikmati juadah.

“Selepas tengah hari, baru kami akan melawat saudara-mara yang tinggal di kawasan berhampiran. Dalam sehari, dekat empat hingga lima buah rumah kami kunjungi.

“Berbeza pada zaman kecil, adakalanya sehingga lapan buah rumah tetapi kini tidak lagi kerana ada antara datuk dan nenek saudara telah meninggal dunia,” katanya yang menggemari masakan sambal goreng tempe jawa.

Bagi Ili Zawani, Aidilfitri adalah waktu untuk setiap Muslim dan Muslimah meraikan hari itu dengan penuh kenangan, kemeriahan serta mengeratkan silaturahim.

Jika berkesempatan, dia akan mengunjungi semua rumah saudara-maranya termasuk keluarga di Johor Bharu.

Menurut Ili Zawani, sambutan di Johor lebih meriah kerana kebanyakan daripada mereka sebaya dengannya berbanding di sebelah Banting yang lebih ramai kanak-kanak. Mereka akan menghabiskan masa sekurang-kurang tiga hari di sana.

Ili Zawani yang mempunyai pendidikan dalam bidang akaun daripada Oxford Brookes Universiti, England turut meluahkan rasa teruja apabila tahun ini merupakan kali pertama mereka akan menyambut hari raya di rumah sendiri di Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor.


Ili ZAWANI (kanan) berbincang dengan salah seorang kakitangan.


“Nak cakap mengenai persiapan hari raya di rumah baharu, saya sangat teruja kerana semua perabot, langsir dan perhiasan rumah memang kami beli baharu.

“Saya ada merancang untuk membuat rumah terbuka tetapi lihat keadaan dahulu kerana saya sedang hamil empat bulan. Risau jika tidak mampu mengurus dan melayan tetamu nanti,” katanya.

Wanita itu juga pernah menyambut Aidilfitri di Perth, Australia pada 2011 semasa adik lelakinya menyambung pelajaran di sana.

Menariknya, ramai masyarakat terutamanya pelajar di sana seronok berkunjung ke rumah terbuka untuk menikmati juadah hari raya.

“Masyarakat tempatan di sana memang tertunggu-tunggu ketibaan hari raya, mereka suka berkumpul dan meraikannya bersama rakan Islam yang lain. Kami pergi sana pada musim sejuk tetapi kami tetap memakai pakaian raya,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai tema hari raya pada tahun ini, Ili Zawani berkata, dia akan memakai warna sedondon hijau zamrud.

Halal

Melihat sikap Ili Zawani yang begitu teratur, tegas dan cantik sesuai dengan jawatan yang disandangnya.

Jenama ini merupakan jenama antarabangsa dan syarikat saya, NSSB merupakan pengedar tunggal bagi pasaran Malaysia, Singapura serta Brunei.

“Syarikat NSSB telah ditubuhkan sejak tahun 2005 tetapi tidak aktif sehingga saya memulakan perniagaan menjual FCC,” katanya yang mempunyai kakitangan seramai 32 orang.

Menyentuh tentang solekan pada Aidilfitri ini, Ili Zawani berkata, setiap solekan mempunyai tujuan yang tersendiri dari segi mood dan majlis yang dihadiri.

“Sudah tentu solekan yang kami utamakan bagi meraikan Aidilfitri adalah solekan yang semula jadi dan bersahaja tanpa menukar rupa seseorang wanita.

“Namun, ia dapat menambahkan lagi seri wajah mereka dengan membina segala kenangan yang akan di bawa sepanjang hayat.

“Semua Muslimah boleh memakai produk-produk kami tanpa rasa ragu kerana produk kami adalah halal dan sesuai untuk semua Muslimah menjalankan ibadah mereka sepanjang Aidilfitri dengan senang hati,” jelasnya.

Process time in ms: 31