VARIA

Forte Premier Club rai penghuni BaiRah

Forte Premier Club rai penghuni BaiRah

PARA peserta konvoi merakam gambar kenangan bersama penghuni BaiRah.


Meraikan bulan Ramadan, Forte Premier Club (FPC) telah menganjurkan konvoi ke Asrama Anak Yatim dan Anak Asnaf Baitul Rahmaniah (BaiRah), Taman Keruing, Rasa, Selangor.

Program yang dikenali sebagai Konvoi Bersamamu itu disertai oleh 30 orang ahli FPC menggunakan kenderaan jenis Kia Forte dan Kia Koup.

Para peserta berkonvoi sejauh 50 kilometer (km) dari hentian Rehat dan Rawat, Rawang Arah Utara menuju ke BaiRah dengan membawa barang-barang sumbangan.

Presiden FPC, Badril Rizal berkata, Konvoi Bersamamu bertujuan memberi sumbangan sambil meraikan golongan yang memerlukan.

Katanya, aktiviti tersebut membolehkan para peserta menghulurkan bantuan berbentuk wang ringgit dan barangan keperluan harian.

“Ini merupakan pertama kali FPC menganjurkan aktiviti konvoi berbentuk amal kebajikan. Alhamdulillah, ia mendapat respons positif daripada ahli.

Sumbangan

“Dalam Konvoi Bersamamu ini, kami berjaya mengumpul sebanyak 40 kampit beras, wang tunai RM6,000 dan barangan keperluan lain untuk diberikan kepada penghuni BaiRah,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Kesemua hasil sumbangan diserahkan kepada pengurus asrama, Abdul Rahim Yahya.

BaiRah merupakan sebuah asrama kebajikan yang menempatkan seramai 30 penghuni berumur antara tujuh hingga 17 tahun.

Menurut Badril, program sehari itu turut dimeriahkan dengan aktiviti sukaneka antara peserta konvoi bersama para penghuni BaiRah.

Jelasnya, antara permainan yang diadakan dalam acara sukaneka termasuklah pecah belon, baling belon dan tiup tepung dalam pinggan.

“Menerusi acara sukaneka ini, ia dapat mengeratkan lagi silaturahim antara peserta konvoi dan penghuni BaiRah,” katanya.


Dua penghuni BaiRah dirai sempena ulang tahun kelahiran di restoran KFC, Batang Kali.


Bersiar-siar

Peserta konvoi berbesar hati membawa para penghuni BaiRah merasai peluang menaiki kenderaan Forte dan Koup.

Para penghuni dibawa bersiar-siar menuju ke restoran makanan segera, KFC, Batang Kali yang terletak 10km dari asrama BaiRah.

Di restoran itu, para penghuni diadakan jamuan makan tengah hari berupa ayam goreng KFC yang ditaja sepenuhnya oleh peserta Konvoi Bersamamu.

Para peserta konvoi turut meraikan ulang tahun kelahiran dua penghuni BaiRah menerusi acara potong kek.

“Saya berasa sungguh puas dan gembira apabila melihat senyuman yang terukir pada wajah setiap penghuni sepanjang program ini berlangsung.

“Senyuman ini memberi gambaran bahawa Konvoi Bersamamu telah berjaya mencapai matlamatnya. Ia akan diteruskan pada masa akan datang,” ujar Badril.

Rencana Utama!»

Teruja sambut Aidilfitri di Malaysia

MUHAMMAD Rasyad, (kiri), Muhammad Adam (tengah) dan Zuhaira menyambut hari raya pertama bersama mualaf lain di Hidayah Centre Foundation sebelum berlepas ke Abu Dhabi pada hari raya kedua.

Process time in ms: 32