PESONA

Penghidap penyakit buah pinggang semakin bertambah

Penghidap penyakit buah pinggang semakin bertambah


Hemodialisis merupakan rawatan utama bagi pesakit buah pinggang. – Gambar hiasan


BUAH pinggang atau ginjal mungkin bukan organ tumpuan apabila membincangkan penyakit kronik yang membahayakan nyawa.

Namun, perlu disedari bahawa organ penapis bahan kumuh badan itu memainkan peranan yang amat penting dalam menjaga keseimbangan beberapa fungsi badan dan organ lain.

Untuk meningkatkan kesedaran risiko penyakit buah pinggang kepada orang ramai, Hari Buah Pinggang Sedunia disambut pada setiap hari Khamis minggu kedua Mac setiap tahun.

Kempen global Hari Buah Pinggang Sedunia itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan buah pinggang kepada kesihatan secara keseluruhan dan mengurangkan risiko serta kesan penyakit tersebut.

Kempen itu turut memberi kesedaran kepada orang ramai berhubung langkah pencegahan, kesedaran dan sebagainya agar memiliki buah pinggang yang sihat.

Jika diperhatikan di sekeliling kita, secara sedar atau tidak, kita akan melihat banyak kewujudan pusat hemodialisis, tidak kira sama ada di kawasan bandar atau luar bandar.

Ia secara tidak langsung seakan-akan memberikan amaran halus kepada kita bahawa semakin ramai rakyat di negara ini menderita masalah buah pinggang dan terpaksa mendapatkan rawatan dialisis bagi meneruskan hidup yang berkualiti.

Biarpun mesin hemodialisis mungkin boleh membantu menyingkirkan sisa daripada tubuh dan mengimbangkan kadar elektrolit serta mineral, ia tidak mungkin dapat menggantikan semua fungsi penuh buah pinggang.


SENAMAN merupakan salah satu alternatif untuk kekal sihat dan cergas. – Gambar hiasan


Gaya hidup

Menurut Ketua Jabatan Nefrologi, Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan, Dr. Lily Mushahar, gaya hidup terutamanya membabitkan pemakanan amat penting bagi mengelakkan seseorang itu daripada menghidap penyakit buah pinggang.

“Dengan mengawal pemakanan, ia dapat mengurangkan risiko menghidap penyakit buah pinggang terutamanya bagi mereka yang menghidap penyakit berbahaya seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.

“Penyakit buah pinggang juga boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk dalam kalangan kanak-kanak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Jelasnya lagi, seramai 7,000 pesakit baharu dikesan di negara ini mengalami masalah buah pinggang dan perlu menjalani rawatan dialisis setiap tahun.

Beliau yang juga Pengerusi Penganjur Hari Buah Pinggang Sedunia 2017 Peringkat Kebangsaan berkata, jumlah itu menjadikan keseluruhan jumlah penghidap penyakit tersebut seramai 40,000 di negara ini.

“Berdasarkan statistik terkini, jumlah pesakit buah pinggang yang perlu dialisis bagi setiap 1,000 penduduk di negara ini adalah seramai 200 orang.

“Peningkatan pesakit ini amat membimbangkan. Berbanding 10 tahun yang lalu, hanya 3,500 pesakit baharu yang perlu dialisis dan jumlah 7,000 setahun ini adalah angka yang membimbangkan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Lily memberitahu, suatu acara kayuhan berbasikal jelajah Kangar ke Putrajaya dengan jarak perjalanan sejauh 633 kilometer yang disertai seramai 30 orang peserta telah diadakan baru-baru ini.

Katanya, kayuhan itu merupakan simbolik kepada antara usaha dilakukan pihaknya bagi memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan penyakit buah pinggang yang merupakan antara pembunuh senyap di negara ini.

“Mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang ini telah mengedarkan risalah dan memberikan ceramah kesihatan kepada orang ramai di setiap hentian semasa kayuhan itu.

“Sebanyak 15 hospital telah menjadi persinggahan kumpulan berbasikal ini. Ia turut memberi penekanan mengenai isu kesihatan berkaitan obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi kepada orang ramai,” ujarnya.

Dengan tema Penyakit Buah Pinggang dan Obesiti, acara itu juga bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat serta mengelak obesiti dalam masyarakat dengan melakukan aktiviti-aktiviti fizikal seperti berbasikal, berjoging dan pengambilan makanan yang sihat.

Process time in ms: 1922