PESONA

Ambil air, nutrien secukupnya sepanjang Ramadan

Ambil air, nutrien secukupnya sepanjang Ramadan


CUBA lakukan senaman ringan terutamanya selepas berbuka untuk penghadaman yang baik.


Bulan Ramadan merupakan bulan ke sembilan dalam takwim Islam. Umat Islam akan berpuasa dari subuh sehingga senja, dan amalan ini dilakukan selama 30 hari pada bulan tersebut.

Disebabkan berpuasa hanya makan pada waktu berbuka dan sekali lagi semasa bersahur maka fokus utama pemakanan perlu tertumpu kepada pengambilan air dan makanan yang kaya dengan nutrien.

Menurut Presiden Persatuan Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Rajbans Singh, mengekalkan air yang cukup adalah penting kerana penyahhidratan atau kekurangan air biasa berlaku di negara yang panas dan lembap seperti Malaysia.

Katanya, tanda-tanda penyahhidratan sederhana adalah seperti pening kepala, keletihan dan kesukaran memberi tumpuan manakala penyahhidratan yang teruk boleh menyebabkan kebingungan dan kemungkinan pengsan.

“Mereka yang berpuasa perlu minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari dari waktu berbuka hingga bersahur. Pilihan yang ideal ialah air tetapi sup, buah-buahan dan sayuran yang kaya dengan air seperti tomato, timun, salad, tembikai dan oren juga boleh diambil kira.

“Elak daripada minum terlalu banyak air soda ataujus buah kerana minuman ini mengandungi tahap gula yang tinggi dan akan merangsang paras insulin anda terutamanya semasa waktu subuh. Ini kemudiannya akan menyebabkan hipoglisemia dan meningkatkan rasa lapar,” tuturnya.


PENGAMBILAN makanan berasaskan sup adalah pilihan ideal bagi mereka yang berpuasa.


Pemakanan

Air teh dan kopi juga bertindak sebagai diuretik dan menyebabkan anda kehilangan lebih banyak air dan meningkatkan penyahhidratan. Elak juga daripada mengambil makanan yang masin kerana ini boleh menyebabkan rasa dahaga.

Tambahnya, perkara seterusnya yang penting ialah pemakanan. Nutrien utama terdiri daripada vitamin, mineral, asid lemak penting, asid amino penting dan karbohidrat kompleks yang membekalkan tenaga dan air.

“Semasa berbuka puasa, pilihlah minuman, buah, sup dan bubur dan elakkan daripada mengambil makanan berlemak atau yang mempunyai kandungan gula yang tinggi.

“Buah-buahan kering seperti kurma, aprikot, buah tin, kismis dan prun adalah pilihan yang sesuai kerana kumpulan ini mengandungi gula semula jadi dari segi tenaga, mineral, serat dan nutrien lain,” ujarnya.

Tambah beliau, selepas berbuka, pastikan makanan yang diambil seimbang dan mengandungi karbohidrat kompleks, buah, sayur, tenusu, kekacang, bijirin, daging, ikan, ayam dan telur.

Beliau turut mengesyorkan senaman atau aktiviti aktif seperti berjalan kaki pada bulan Ramadan terutamanya selepas berbuka puasa.

“Anda boleh berjalan kaki ke masjid. Berjalan membantu penghadaman dan boleh menurunkan berat badan. Anda juga mungkin menerima undangan makan. Anda perlu memilih dan elak daripada makan keterlaluan. Amalkan prinsip pemakanan yang digariskan di atas,” katanya lagi.

Tidur adalah penting dan cuba dapatkan sekurang-kurangnya enam hingga tujuh jam kerana kekurangan tidur boleh menyebabkan stres dan meningkatkan kortisol yang boleh membawa kepada masalah kesihatan yang lain.

Sekiranya merasakan tidak dapat memakan semua nutrien yang diperlukan dalam tempoh waktu yang singkat ketika berbuka, bolehlah mengambil vitamin dan mineral tambahan untuk melengkapi keperluan nutrien anda.

Process time in ms: 31