PESONA

Sahida mahu pelajar jadi usahawan

Sahida mahu pelajar jadi usahawan

SAHIDA (tengah) mahu pelajarnya bergelar usahawan dan mempunyai pendapatan tersendiri hasil daripada menjahit langsir.


BERGELAR seorang jurutera di sebuah syarikat swasta, Sofiah Kamaruzaman, 35, teruja apabila mendengar mengenai slot berhubung kelas jahitan langsir yang disiarkan di sebuah stesen radio tempatan.

Segmen tajaan di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim.fm) itu didengari ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja.

Walaupun dia langsung tidak mempunyai asas dalam bidang jahitan, namun entah mengapa hati wanita itu berkobar-kobar untuk menyertainya. Apatah lagi apabila ustazah yang berbicara dalam segmen itu meminta para pendengar melaksanakan solat istikharah sebelum mengikuti kelas jahitan langsir kendaliannya.

“Kali pertama mendengar slot tersebut, hati saya seolah-olah ditarik untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kelas yang ditawarkan. Ia seperti magnet yang menarik besi. Selepas berbincang dengan suami dan mendapat keizinannya, saya terus mendaftarkan diri untuk kelas di Shah Alam, Selangor,” kata Sofiah mengimbas semula mengenai pengalaman tujuh tahun lalu.

Tambahnya, dengan hanya mengikuti satu kelas jahitan langsir kendalian Ustazah Sahida Said dari Al Mujahid Trading pada 2010 menggunakan wang pemberian suaminya, dia berjaya memperoleh ilmu yang bermanfaat sekali gus berpeluang menambah pendapatan.

“Alhamdulillah, hingga kini tempahan menjahit langsir sentiasa ada. Malah, saya mampu meraih pendapatan sehingga lima angka sebulan jika rajin mengambil tempahan.

“Secara jujurnya, saya merasakan kelebihan ustazah kerana kita boleh nampak keikhlasannya sewaktu mengajar. Malah, tidak mustahil kejayaan anak-anak muridnya adalah disebabkan keberkatan ilmu yang diajar,” tutur Sofiah, anak kelahiran Lubok Cina, Melaka.

Kelas Jahitan Langsir Al Mujahid diasaskan oleh Sahida, 48, bermula pada tahun 2000. Sebelum itu, Sahida banyak mengambil upah menjahit pakaian seperti baju kurung dan baju Melayu.

Bagaimanapun, disebabkan beberapa masalah yang dihadapi seperti sukar mengikut kehendak pelanggan dan mengambil masa yang lama untuk mendapatkan pelanggan selain upah jahit yang rendah, Sahida nekad mencuba sesuatu yang baharu.

“Untuk itu, saya bermohon pada Allah agar memberi petunjuk bagaimana mendapatkan pendapatan lumayan dengan cara yang halal. Entah bagaimana Dia mengurniakan ilham untuk saya menjahit langsir. Masa yang digunakan singkat, namun upahnya sangat lumayan.

Formula sendiri


MOHD. SHAIFUL (kanan) gigih mencuba pelbagai teknik jahitan langsir yang diperkenalkan oleh Sahida di dalam kelasnya.


“Alhamdulillah, dengan kemahiran menjahit yang dimiliki, saya berjaya mendapatkan pelanggan pertama. Dalam tempoh seminggu menyiapkan tempahan langsir, saya menerima bayaran RM2,800. Dari situ saya terus berazam menjadikan ia sebagai sumber pendapatan utama,” ujar Sahida.

Bergelar ibu kepada lima cahaya mata yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan, Sahida mengakui kebanyakan rekaan langsir dicipta dengan teknik dan formula tersendiri walaupun dia sendiri pernah mengikuti kursus jahitan langsir.

“Boleh dikatakan hampir kesemua formula jahitan langsir diilhamkan ketika saya mengajar anak murid di dalam kelas dan bengkel yang dianjurkan. Ia satu kurniaan dari Allah. Saya mengajar bukan kerana hobi tetapi mahukan pelajar saya menjadi usahawan berjaya di dunia dan akhirat,” katanya.

Justeru, sebelum menerima seseorang pelajar, Sahida akan menasihatkan mereka supaya melakukan solat istikharah.

“Ketika mengajar, saya sering menekankan kepada pelajar agar sentiasa menjaga hak Allah seperti solat pada awal waktu, membaca al-Quran dan menghadiri majlis ilmu. Hidup tanpa berlandaskan agama, maka ia tiada makna buat kita sebagai hamba-Nya,” lembut nada Sahida berbicara mengenai niatnya dalam mendidik pelajar.

Menurut Sahida, Kelas Jahitan Langsir Al Mujahid lebih menumpukan pada formula yang tepat dan teknik menjahit yang pantas. Malah, pelajar tidak perlu membawa kain atau peralatan menjahit kerana semuanya disediakan di dalam kelas.

Kuasai


SALAH satu paten langsir yang dijahit dalam kursus jahitan langsir kendalian Sahida.


Antara kaedah yang dipraktikkan ketika mengajar ialah teknik jahitan tanpa menggunakan jarum peniti yang ternyata lebih menjimatkan masa. Selain itu, Sahida turut mengajar kaedah menjahit menggunakan mesin dan tanpa mesin kepada para pelajar.

“Semasa dalam kelas, saya akan mengajar mereka dengan sepenuh perhatian seperti cara mengira penggunaan kain bagi setiap paten langsir, cara menggunting dan menjahit dengan cepat.

“Melalui kaedah ini, walaupun ada pelajar yang datang dengan sifar pengetahuan tentang jahitan, mereka pasti mampu menguasai kemahiran menjahit langsir dengan baik,” katanya.

Pelajar yang datang menimba ilmu dengan Sahida bukan sahaja golongan wanita, bahkan lelaki juga menunjukkan minat.

Mohd. Shaiful Bahari Mohamad Som, 45, misalnya, merupakan pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selepas diajak oleh isterinya, Noor Sazaliza Mansur, 42, untuk belajar bersama.

“Sebenarnya sebelum pencen, kami ada mengikuti kursus dalam bidang jahitan di Kolej Komuniti. Ia termasuklah menjahit langsir dan telekung. Justeru, apabila ‘berguru’ pula dengan ustazah, kami sangat berpuas hati kerana ilmu yang dikongsi sedikit berbeza dengan apa yang telah dipelajari.

“Selain itu, bahan-bahan untuk menjahit langsir semuanya ustazah sediakan dan ia berkualiti tinggi. Paling penting, ustazah menekankan bahawa jahitan perlu kemas,” kata Mohd. Shaiful yang kini menetap di Seri Manjung, Perak dan mempunyai tempahan tetap menjahit langsir setiap bulan.

Sementara itu, eksekutif teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta di ibu negara, Saliyani Mohd. Samsudin, 45, memberitahu, dia mula mengikuti kursus menjahit langsir bersama Sahida pada tahun 2012.

“Memang mudah untuk belajar dengan formula dan teknik yang ustazah berikan. Mula-mula, saya hanya menjahit langsir untuk rumah sendiri, lama-kelamaan banyak pula tempahan diterima membuatkan saya teruja melakukan aktiviti itu sebagai cara menambah pendapatan sampingan,” ujarnya.

Kini, hampir 17 tahun selepas penubuhan Al Mujahid Trading, Sahida mempunyai beribu-ribu pelajar yang datang berguru dengannya.

Salur dana


ANTARA contoh paten langsir yang dijahit.


Kejayaan itu hakikatnya turut disusuli dengan matlamat Sahida membantu menyalurkan dana dalam pembinaan masjid-masjid dan madrasah-madrasah oleh tuan gurunya hasil daripada perniagaan yang dijalankan.

Dalam kalangan pelajarnya, kesemua mereka telah menetapkan sebanyak 20 peratus daripada nilai upah yang diterima dalam tempahan menjahit langsir, akan disalurkan bagi tujuan tersebut.

“Sejujurnya, impian saya dalam bidang ini adalah untuk melahirkan usahawan yang mampu membantu fisabilillah dalam menegakkan syiar Islam kerana itulah matlamat utama saya ketika memulakan perniagaan ini.

“Oleh itu, saya akan terus mengajar selagi ada jihad fisabilillah untuk dibantu. Apabila mengenangkan ulama tidak pernah berhenti berdakwah dalam mengajak manusia mengenal Allah, maka saya juga akan teruskan usaha mencari dana untuk membantu mereka,” ungkapnya menutup bicara.

Process time in ms: 31