VARIA

UFS anjur seminar untuk penjaja bazar Ramadan

UFS anjur seminar untuk penjaja bazar Ramadan


NOR HISHAM (kiri) dan Nusrat semasa gimik pelancaran Karnival Seminar Bazar Ramadan MPSJ di Taman Puchong Indah, Selangor baru-baru ini.


Syarikat barangan pengguna, Unilever menerusi bahagian perkhidmatan makanannya, Unilever Food Solutions (UFS) membantu meningkatkan kemahiran penyediaan makanan kepada peniaga-peniaga bazar Ramadan di sekitar Subang Jaya, Selangor dengan mengadakan satu seminar baru-baru ini.

UFS melalui programnya, Chefmanship Akademi (CA) bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam penganjuran seminar itu yang berlangsung selama tiga hari.

Pada seminar berkenaan, para peniaga berpeluang mendengar taklimat mengenai keselamatan makanan, pengiraan kos makanan serta pengurusan sisa makanan daripada seorang cef profesional.

CA adalah sebahagian daripada Rancangan Kehidupan Lestari Unilever dengan matlamat meningkatkan tabiat kesihatan, kesejahteraan dan kesihatan di Malaysia. Sejak dimulakan pada tahun 2013, ia telah berkolaborasi dengan pelbagai pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sebelum ini, ia cuma mempunyai modul berkenaan keselamatan makanan dan pengiraan kosnya, namun buat pertama kali di seminar itu, mereka memperkenalkan modul pengurusan sisa dan lebihan makanan untuk menangani masalah pembaziran.

Ketua UFS Malaysia, Nusrat Parveen berkata, pihaknya telah menerima maklum balas positif daripada modul-modul sedia ada dan seiring masalah pembaziran yang sering berlaku, modul baharu iaitu pengurusan sisa dan lebihan makanan diperkenalkan.

“Berdasarkan data daripada Instititut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, pembaziran makanan oleh rakyat Malaysia berjumlah 8,000 tan sehari dan kebanyakannya masih bersih serta boleh dimakan.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan pembaziran makan sedunia berjumlah 1.3 bilion tan, bernilai RM4.4 trilion setahun dan cukup untuk memberi makan kepada tiga bilion orang,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran karnival seminar yang berlangsung di Dewan Serba guna MPSJ, Taman Puchong Indah.

Turut hadir, Yang Dipertua MPSJ, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Nusrat berkata, menerusi seminar itu, peniaga dan penjaja bazar Ramadan diberi kesedaran tentang trend terkini dalam industri penyediaan makanan.

“Menerusi CA, UFS menyasarkan supaya kesihatan orang ramai tidak terjejas bila membeli makanan dari luar.

“Para penyedia makanan perlu faham. Jangan kerana inginkan kesenangan dan keuntungan semata-mata, aspek kebersihan makanan sanggup diabaikan. Kebiasaannya, orang ramai mengunjungi bazar Ramadan,” katanya.

UFS ialah bahagian perkhidmatan makanan Unilever. CA pula merupakan program inisiatif global UFS yang menghimpunkan kepakaran cef-cef profesional di seluruh dunia untuk membantu meningkatkan kemahiran pengusaha-pengusaha makanan. Terdapat empat orang cef Malaysia yang menyertai UFS.

Pada Ramadan ini, selain bekerjasama dengan MPSJ, UFS menerusi program CA telah bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam membabitkan 400 penjaja.

Sebelum ini, mereka pernah bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Daerah Hulu Selangor.

Stailo!»

Angkat seni fesyen di rantau Asean

Khampee LAKSANOSURANG (dua dari kanan) dari Thailand ketengahkan rekaan pakaian menggunakan elemen batik selatan Thailand.

Process time in ms: 47