RENCANA UTAMA

Syahdu Hari Ibu di tembok sempadan

Syahdu Hari Ibu di tembok sempadan


Seorang budak Mexico mendekatkan diri di tembok pemisah sempadan sambil diperhatikan dua ahli keluarganya.


Ketika ramai penduduk di dunia menyambut Hari Ibu dengan memberikan pelukan dan belaian kasih buat bonda tercinta, beberapa anak di Mexico dan Amerika Syarikat (AS) hanya berkomunikasi bersama ibu mereka di balik tembok atau pagar sempadan.

Di Tijuana, Mexico baru-baru ini, beberapa keluarga yang terpisah antara dua negara itu dilihat berhimpun di sekitar sempadan AS-Mexico untuk meraikan Hari Ibu.

Ada anak-anak di Mexico rindukan ibu mereka yang berada di AS, begitu juga golongan ibu di Mexico yang merindui anak-anak mereka di AS.

Di sempadan bahagian Mexico itu, kelihatan beberapa orang duduk atau berdiri hampir dengan tembok besi yang mempunyai lubang-lubang kecil. Mereka berinteraksi dengan ibu atau anak yang terpisah di sebalik tembok berketinggian enam meter itu.

Kanak-kanak kecil juga turut kelihatan.

Sesetengahnya hadir dengan membawa kuntuman mawar merah sebagai simbolik hadiah buat ibu atau anak masing-masing. Namun, ia tidak dapat disampaikan kerana terhalang oleh tembok.

Tambah syahdu apabila kumpulan kugiran mariaci turut hadir mengalunkan melodi cinta.

Kumpulan kugiran itu dibawa oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Border Angels yang bertanggungjawab menganjurkan program itu dengan kerjasama beberapa organisasi lain.

“Program ini cukup bermakna kerana walaupun kami terpisah daripada anak-anak atau ahli-ahli keluarga yang di sebelah sana, kami masih mempunyai cara untuk bertemu. Tidak ada sempadan kasih antara ibu dan anak,” kata seorang sukarelawan, Ixchel Solano.

AS dan Mexico mempunyai sempadan sepanjang 3,142 kilometer (km). Selama ini, 1,100km daripadanya sudah dipisahkan dengan pembinaan tembok, kawat berduri dan pagar.

Undang-undang berkaitan imigran dan lintas sempadan AS telah menyebabkan beberapa keluarga Mexico terpisah antara dua negara. Ia semakin ketat di bawah pentadbiran Presiden AS yang baharu, Donald Trump yang antiimigran.

Trump bahkan telah merancang untuk membina tembok sempadan sepanjang 1,600km yang lebih besar dan tinggi daripada tembok atau pagar sedia ada. Ia juga dikatakan tiga kali ganda lebih tinggi daripada Tembok Berlin di Jerman.

Rencana Utama!»

LOST in KL cabar adrenalin peserta

SAAT sedang cuba menyelesaikan misteri permainan, kedua-dua pengunjung ini terkejut apabila melihat kelibat hantu yang dipenuhi darah dan sedang menjerit dengan kuat.

Process time in ms: 16