VARIA

Kampung Ujung medan popular ikan bakar

Kampung Ujung medan popular ikan bakar

IKAN bakar menjadi kegemaran pelancong asing.


‘Selamat datang ke Pusat Kulinari Kampung Ujung, Labuan Bajo, Manggarai Barat’.

Itulah tulisan yang tertera pada papan tanda di hadapan pintu masuk Kampung Ujung bagi menyambut kedatangan pelancong asing yang ingin merasai keenakan ikan bakar segar sambil melihat keindahan matahari terbenam.

Pelancong juga dapat menyaksikan pelbagai aktiviti yang dijalankan di Pelabuhan Labuan Bajo dari kampung tersebut.

Dari satu sudut, seorang pelancong asing yang begitu leka dilihat sedang menghabiskan hidangan ikan kerapu bakar, sotong bakar, sambal pedas berserta pelbagai jenis sayuran termasuk terung goreng, timun, kacang panjang dan daun kemangi.

Ketika ditanya mengenai sambal pedas yang dimakan, Tom menjawab, dia tidak mempunyai masalah untuk menikmati masakan pedas yang menjadi kegemaran penduduk Indonesia.

Kebiasaannya, masyarakat benua Eropah tidak begitu menggemari sambal pedas.

Meskipun belum mandi dan mempunyai kulit kemerah-merahan ekoran berjemur terlalu lama di bawah pancaran matahari, Tom tetap ke Kampung Ujung untuk menikmati keenakan ikan bakar.

Sebelum itu, Tom baru sahaja melakukan lawatan ke Pulau Padar dan kemudian ke Pulau Komodo bagi melihat kehidupan haiwan komodo sebelum ke Pantai Ungu untuk melakukan aktiviti snorkel.

Peniaga


Ikan segar yang baru didaratkan menjadi pilihan peniaga ikan bakar.


Sementara itu, seorang pengusaha restoran di Kampung Ujung, Astri berkata, kedai-kedai makanan di kampung itu sentiasa dipenuhi pelancong pada setiap malam.

Jelasnya, walaupun deretan kedai di Kampung Ujung kelihatan buruk dan usang, ia tidak menghalang kedatangan pelancong untuk menikmati hidangan di gerai tersebut.

“Pelancong asing gemar menikmati ikan bakar di Kampung Ujung kerana kesegaran ikan yang dibeli setiap hari di pasar sebelum dibakar pada waktu malam.

“Peniaga hanya menjual ikan bakar segar yang dibeli di pasar pada waktu pagi. Jika ikan ini tidak habis dijual pada waktu malam, ia akan dijadikan ikan masin keesokan hari,” katanya.

Deretan kedai makanan di Kampung Ujung yang memenuhi sepanjang Jalan Ir. Sukarno-Hatta Labuan Bajo kebanyakannya menyajikan menu utama berupa ikan bakar dan ikan kuah asam yang menjadi pilihan ramai pengunjung.

Pelanggan juga ditawarkan beberapa pilihan hidangan lain seperti ayam goreng dan nasi goreng.

Penduduk setempat juga menjual pelbagai jenis hasil tangkapan laut antaranya, ikan kerapu, ikan merah, ikan bawal, sotong dan udang segar.

Pelbagai jenis jus buah turut dijual seperti jus limau, jus avocado dan jus tembikai.

Tambah Astri, sebahagian besar pelancong yang menjamu selera di Kampung Ujung gemar memilih menu ikan bakar, namun kebanyakannya turut menyukai ikan goreng.

“Jika pelanggan ramai, kami mampu menjana pendapatan sehingga Rp6 juta (RM1,945) semalaman dan ketika pelanggan kurang, pendapatan kami sekitar Rp3 juta (RM972),” jelasnya.

Menurut seorang lagi peniaga ikan bakar, Ahmad, keadaan langit yang mempunyai rona warna merah ketika matahari terbenam menarik perhatian pelancong untuk bergambar.

“Ini merupakan kelebihan Kampung Ujung. Meskipun gerai di sini kurang bersih, usang dan keadaan jalan raya tidak memuaskan, ia tidak menghalang kedatangan pelancong.

“Sebahagian besar pelancong asing datang ke Kampung Ujung kerana ingin menikmati hidangan ikan bakar dan melihat keindahan laut serta pelabuhan,” ceritanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pelancongan Kabupaten Manggarai Barat, Theodorus Suardi berkata, perniagaan makanan yang diusahakan oleh penduduk setempat telah memberi impak positif terhadap perkembangan ekonomi di Labuan Bajo dan Pulau Komodo dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Kemudahan


PELBAGAI jenis ikan segar ditawarkan kepada pengunjung di Pusat Masakan Kampung Ujung.


Kebiasaannya, pelancong akan menikmati hidangan ikan bakar di Kampung Ujung bermula pada pukul 5 petang hingga lewat malam.

Menurut Theodorus, hampir semua warung di Kampung Ujung tidak dilengkapi dengan kemudahan air bersih yang sempurna.

“Masalah ini sudah dihadapi oleh penduduk di Manggarai Barat sejak sekian lama dan turut menyukarkan aktiviti harian mereka,” katanya.

Masyarakat di Manggarai Barat terpaksa menggunakan sumber air bersih dari kawasan pergunungan di Kepulauan Flores bagi meneruskan kehidupan harian.

Namun, keadaan air bukit yang terlalu laju sering kali menyebabkan paip-paip yang dipasang penduduk pecah.

Struktur jalan raya di kawasan Pelabuhan Labuan Bajo juga disifatkan kurang sempurna dan sering menghasilkan debu kotor sehingga mengganggu kawasan gerai ikan bakar di Kampung Ujung.

Bagaimanapun, tidak semua lokasi gerai makanan di Kampung Ujung dikategorikan sebagai kotor dan usang.

Terdapat banyak gerai makanan yang bersih dan mewah seperti restoran Bajo Bay, Cafe Altomoro, Tree Top serta Cafe in Hit yang menyajikan pelbagai makanan dan minuman bercirikan Barat serta tempatan.

Justeru, Theodorus memberitahu, pihaknya akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur dalam usaha membangunkan sektor ekonomi dan pelancongan di Labuan Bajo serta Pulau Komodo.

Pulau Komodo telah disenaraikan oleh Kementerian Pelancongan Indonesia sebagai antara 10 lokasi pelancongan terbaik di negara republik berkenaan.

Rencana Utama!»

Jana 5 kilowatt kuasa hidroelektrik

SISTEM vorteks bergantung sepenuhnya kepada pusaran air sungai berbanding konsep kitaran kincir air yang terdapat pada empangan jana tenaga lain.

GenK»

Lahirkan artis seni muda berciri usahawan

MUHAMMAD AFIQ menggunakan bilik inkubator yang disediakan kepadanya untuk berkarya.

Varia!»

TeknologiVeggie Factory pertanian masa depan

Teknologi Veggie Factory yang terdapat di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Process time in ms: 47