TERKINI

Kanak-kanak lelaki maut jatuh pangsapuri

Kanak-kanak lelaki maut jatuh pangsapuri

19/05/2017 11:10pm




GOMBAK - Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas dipercayai terjatuh dari Pangsapuri Mawar, Selayang dekat sini petang tadi.

Dalam kejadian pada pukul 1.40 petang itu, mangsa, Muhammad Nazirul Nasyat Mat Isa, 9, maut selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, mayat mangsa ditemui oleh orang awam yang membuat panggilan kecemasan mengatakan terdapat kanak-kanak lelaki jatuh dari Blok A pangsapuri itu.

“Berdasarkan maklumat, Muhammad Nazirul dikatakan sedang berkejaran dengan seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dari tingkat sembilan hingga tingkat 10.

“Rakannya memasuki rumah ketika sampai di tingkat 10 tetapi mangsa tidak dapat dipastikan pergi ke mana sehingga dijumpai di bawah blok itu namun telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui dari tingkat berapa mangsa jatuh dan bagaimana kejadian itu berlaku namun tiada saksi yang nampak kejadian itu.

“Mangsa maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan serius pada bahagian belakang kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

“Polis mengklasifikasikan kejadian ini sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih diteruskan,” ujarnya. - K! ONLINE

Process time in ms: 1016