TERKINI

Miliki rokok seludup, dua lelaki didenda RM68,000

Miliki rokok seludup, dua lelaki didenda RM68,000

19/05/2017 3:14pm


Muhammad Faisal (kiri) dan M. Jamil ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini.


SEREMBAN - Dua lelaki masing-masing didenda RM45,000 dan RM23,000 oleh dua Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas setiap mereka mengaku bersalah memiliki dan mengangkut pelbagai jenis rokok kretek dan rokok putih yang dilarang import.

Tertuduh, M. Jamil Amin, 54, dan Muhammad Faisal, 31, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Zaki Abd. Rahman dan Majistret K.B. Elena Hong Tze Lan.

Berdasarkan pertuduhan, M. Jamil didakwa memiliki 1,980 paket rokok putih dan kretek pelbagai jenama, bernilai RM3,081.60 di sebuah rumah di Taman Dusun Setia di Seremban pada pukul 11.30 pagi, 15 Mei lalu.

Sementara itu, Muhammad Faisal, seorang warga Indonesia didakwa terlibat mengangkut 1,300 paket rokok putih dan kretek pelbagai jenama bernilai RM2,285.60 menggunakan kereta jenis Proton Wira di bahu jalan Persiaran Dato Wan di Seremban pada pukul 5.40 petang, 15 Mei 2015.

Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Amirul Syafiq Mahadi mengemukakan pendakwaan ke atas M. Jamil mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda sehingga 20 kali nilai barang atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Muhammad pula didakwa mengikut Seksyen 135 (1)(e) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih 20 kali nilai barang atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. - K! ONLINE

Process time in ms: 46