PESONA

Sukan menyatukan guru, ibu bapa dan anak-anak

Sukan menyatukan guru, ibu bapa dan anak-anak


Lebih 6,00O orang peserta termasuk guru, ibu bapa dan murid-murid Tadika LC membanjiri padang Setia Oval Lawn, Setia Alam baru-baru ini.


TEPAT pukul 7.30 pagi, Nurul Azlina Mohd. Ismail, 39, bersama-sama anaknya, Ikhwan Rayyan Hafiz Husni Hafiz, 6, sudah terpacul di padang Setia City Oval Lawn, Setia Alam, Shah Alam, Selangor.

Walaupun acara sukan hanya bermula pada pukul 8.30 pagi, ibu dan anak yang berasal dari Shah Alam itu datang awal ke lokasi tersebut.

Lebih 6,000 orang peserta termasuk guru, ibu bapa dan murid-murid dari Tadika Little Caliphs (LC) cawangan Kelang, Bandar Rimbayu dan Shah Alam menyertai hari sukan sempena program Super Khalifah Karnival 2017 baru-baru ini.

Tujuan Nurul Azlina datang awal ke lokasi adalah untuk melihat gelagat orang ramai dan merasai kemeriahan sebelum acara hari sukan itu bermula.

“Program seumpama ini merupakan satu bentuk riadah untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Pada masa sama, ia menjadi satu permulaan yang baik untuk saya dan anak meningkatkan kekuatan dan stamina diri,” katanya ketika ditemui Kosmo!

Tambah Nurul Azlina, sebelum itu, pihak Tadika LC telah memaklumkan aktiviti tersebut lebih awal.

“Saya fikir ia adalah satu langkah yang baik untuk mengeratkan lagi silaturahim kami. Pada masa sama, pihak ibu bapa dapat lebih mengenali guru-guru dan rakan-rakan anak mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, senyuman jelas terpancar pada wajah Ikhwan Rayyan Hafiz apabila berjaya menamatkan acara lari dalam guni. Walaupun terpaksa beraksi dalam suasana panas terik, dia dan ibunya kelihatan sangat teruja menyertai pertandingan berkenaan pada awal bulan Mei lalu.

Seronok


Perarakan masuk perbarisan dengan beberapa kanak-kanak memakai pakaian beragam.


“Saya sangat seronok kerana dapat mencuba pelbagai aktiviti yang disediakan. Ini pertama kali saya mencuba pelbagai permainan di sini,” tutur Ikhwan Rayyan Hafiz.

Bagi bapa kepada empat orang anak, Mohamad Hasan Muzir, 33, pula, dia menyifatkan karnival tersebut memberi peluang kepadanya dan anak-anak menyertai pelbagai acara sukan yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.

“Karnival ini sangat unik kerana membabitkan banyak acara permainan tradisional dan sukan sunah Rasulullah SAW.

“Ia secara tidak langsung mendedahkan murid-murid tadika tentang permainan yang pernah popular ketika saya kanak-kanak dahulu,” katanya.

Mohamad Hasan memberitahu, pendidikan awal seperti tadika atau prasekolah merupakan elemen penting dalam memberikan pendedahan sekali gus menjadi platform terbaik bagi mempersiapkan kanak-kanak sebelum melangkah ke alam persekolahan.

“Maka tidak hairan setiap ibu bapa tanpa mengira latar belakang pasti mahu anak masing-masing untuk mendapatkan pendidikan awal itu selari dengan peredaran tahap pendidikan murid yang kian berkembang maju dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Pengurus Program Karnival, Khairil Anwar Abdul Rahman, objektif utama acara berkenaan adalah untuk memperkasakan generasi Islam alaf ke-21 yang sihat mental, fizikal, emosi dan rohani.

“Program ini adalah selari dengan misi Tadika LC untuk menyuburkan aktiviti sihat kepada anak-anak serta untuk memperkukuhkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak.

Perkasa ummah


Penglibatan ibu bapa dan anak-anak dalam sukan mampu mengeratkan lagi hubungan di antara mereka.


“Melalui sukan dan aktiviti fizikal sekeluarga ini juga secara tidak langsung dapat membina ummah yang perkasa,” katanya.

Jelasnya lagi, program yang bertemakan Desa Tercinta itu diharapkan dapat menanam rasa kecintaan, semangat kesukanan dan mengaitkan kepada kebesaran Allah dengan setiap aktiviti yang disusun.

“Pihak urus setia telah menyediakan pelbagai aktiviti kekeluargaan termasuk Forum Sembang Santai bertajuk Pedofilia dan Pornografi: Selamatkah Anak-anak Kita?, sukan rakyat, pameran dan bazar jualan untuk disertai oleh orang awam.

“Alhamdulillah, ia mendapat sambutan yang menggalakkan dengan lebih 8,000 orang pengunjung, peserta dan ibu bapa terlibat dalam karnival yang berlangsung selama dua hari ini,” ujarnya.

Process time in ms: 16