RENCANA UTAMA

Polemik penghasilan album penuh atau single

Polemik penghasilan album penuh atau single

HANYA memerlukan kos yang minimum telah mendorong penyanyi masa kini memilih untuk menghasilkan single berbanding menerbitkan album penuh. – Gambar hiasan


Seperti mana dunia telah banyak berubah, begitu juga dengan landskap hiburan dunia. Jika dahulu, menghasilkan album penuh adalah rutin ruji kebanyakan artis di seluruh dunia, kini hal tersebut tidak lagi berlaku. Penghasilan hanya sebuah single hampir melumpuhkan bukan sahaja pasaran, tetapi juga semangat pengkarya dan penyanyi untuk mempersembahkan sebuah album penuh berisi 10 buah lagu misalnya, kepada pendengar.

Fenomena tersebut secara langsung telah mengubah ‘sistem’ penghasilan album penuh yang seharusnya menjadi pertaruhan penyanyi.

Terdapat banyak faktor yang telah membuatkan kebanyakan penyanyi memilih untuk menerbitkan single berbanding album penuh.

Hal paling utama adalah mengenai kekangan kos yang menelan belanja tinggi untuk sebuah penerbitan album.

Kemudian, trend generasi masa kini yang boleh mengakses muzik dengan mudah secara digital turun memainkan peranan penting, selain kuasa membeli sudah tidak seperti dahulu lagi.

Apresiasi dan keterujaan seseorang pendengar untuk memiliki, sekali gus menjadikan sebuah album penuh sebagai koleksi sudah tidak sehebat dahulu lagi kerana semua yang ingin dimiliki sudah mampu diperoleh dengan mudah di hujung jari.

Kos tinggi

Melihat keadaan tersebut, komposer dan penerbit tersohor, Aubrey Suwito tidak menafikan desakan landskap industri muzik tempatan turut mendorong penggiat seni lebih cenderung menghasilkan single berbanding album penuh.

Kata graduan dari Berklee College of Music, Boston, Amerika Syarikat ini, perbelanjaan besar yang diperlukan untuk menerbitkan sebuah album penuh menjadikan artis serta penggiat seni memilih ‘jalan mudah’ bagi menembusi pasaran muzik tempatan.

“Kos perbelanjaan bagi menghasilkan sebuah lagu dianggarkan sekitar RM20,000 hingga RM30,000. Jadi bayangkan berapa banyak kos apabila ia melibatkan penghasilan album penuh yang rata-rata mengandungi 10 buah lagu.

“Itu belum lagi termasuk kos pemasaran, pembikinan kulit album mahupun promosi,” ulas beliau lagi.

Biarpun tidak menentang keras penghasilan single berbanding album penuh namun, riak wajahnya jelas menunjukkan kerisauan sekiranya perkara tersebut terus dipraktikkan penggiat seni.

Menurut pandangannya, keadaan tersebut tidak hanya memberi kesan terhadap penghasilan album tetapi ia juga mempamerkan sikap profesional dan kesungguhan seseorang artis.

“Setiap pekerjaan mempunyai risiko dan pertaruhan yang perlu dilakukan agar memperoleh hasil memuaskan. Justeru tidak salah sekiranya mengeluarkan perbelanjaan tinggi.

“Biarpun masing-masing mempunyai cara tersendiri tetapi pada saya, kesungguhan seseorang artis itu dilihat berdasarkan hasil kerja dan bukannya populariti.

“Hanya dengan menghasilkan satu single dalam tempoh masa setahun, adakah itu cukup untuk menilai kredibiliti dan kemampuan artis terbabit mempersembahkan lagu daripada genre berbeza,” kata pencipta lagu Gemilang nyanyian Jaclyn Victor itu penuh tersirat.

Aubrey bagaimanapun tidak hanya menuding jari ke arah artis kerana mencetuskan tradisi penghasilan single. Sebaliknya, beliau mengharapkan penggiat seni juga perlu memainkan peranan penting demi memastikan kelestarian industri muzik tempatan.

Kerjasama


PENGHASILAN album penuh artis tempatan yang kurang menyebabkan peminat lebih tertarik membeli karya penyanyi antarabangsa. – Gambar hiasan


Katanya, beliau sedar faktor keadaan ekonomi semasa membuatkan pembeli sendiri kurang tertarik untuk membeli album penuh. Lebih-lebih lagi jika album tersebut kepunyaan artis baharu berbanding penyanyi senior yang pastinya mempunyai pengikut tersendiri.

Biarpun demikian, tegas Aubrey, penggiat seni khususnya pihak pembikin album harus berani mengambil risiko mengeluarkan modal bagi melahirkan artis berkualiti.

Fahaman modal yang tinggi dan ‘darjat’ penyanyi senior tidak harus dijadikan alasan. Sebaliknya, artis dan penggiat seni perlu saling berganding bahu bagi menghasilkan album berkualiti.

“Dalam hal ini pada pandangan saya, artis dan penggiat seni perlu bekerjasama. Benar modal agak tinggi tetapi tidak salah sekiranya berkorban.

“Saya fikir, artis menerbitkan album penuh tidak hanya tertumpu dalam bentuk fizikal, bahkan mereka juga boleh memasarkan secara digital agar lebih bersesuaian dengan perkembangan masa kini,” terang beliau bersungguh-sungguh.

Perubahan penghasilan album penuh kepada single juga secara tidak langsung memberi kesan kepada penjualan album dalam bentuk fizikal di kedai muzik.

Penawaran terhadap album penuh juga kurang berlaku dalam kalangan artis baharu, manakala artis senior pula tidak menerbitkan sepanjang tahun.

Kebanyakan artis yang telah membina profil tersendiri mengambil masa sekitar tiga hingga empat tahun sebelum muncul dengan album baharu dan dalam tempoh penantian itu hanya karya antarabangsa menjadi sasaran peminat.

Situasi itu diakui oleh pengusaha kedai muzik Outrank Music, Muhammad Fared Zakaria yang menyifatkan perkara tersebut mungkin menjejaskan pasaran album dalam bentuk fizikal pada masa hadapan.

“Hanya golongan peminat yang membeli album kesayangan artis mereka dan keadaan ini mungkin menjadikan permintaan terhadap cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) lenyap sama seperti piring hitam serta kaset.

“Sebagai peniaga, hal tersebut menjadi cabaran buat kami untuk menarik minat pembeli dan meningkatkan hasil jualan agar dapat meneruskan perniagaan,” ujarnya yang menjalankan perniagaan di Ampang Jaya, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pengurus Artis dan Repertoir Warner Music Malaysia, Mokhtaza Ahmad pula meluahkan pandangan berbeza terhadap transisi corak album penuh kepada single.

Perkembangan semasa

Menurut Mokhtaza atau mesra dipanggil Che Mokh dalam kalangan penggiat seni tempatan, tidak salah sekiranya mengikut trend semasa kerana ia tidak hanya menjimatkan kos tetapi cara itu juga dipraktikkan di pasaran muzik antarabangsa.

“Kos penerbitan sesebuah album memang menjadi salah satu faktor pendekatan melahirkan single menjadi begitu popular atau trend pemasaran lagu pada masa kini.

“Namun, kita harus berfikiran positif iaitu industri muzik dapat melahirkan berbagai-bagai genre single dan memperkenalkan lebih ramai bakat baharu dengan kos yang amat minimum jika dibandingkan penghasilan sebuah album,” ujar Che Mokh.

Kata Che Mokh lagi, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) juga telah mengiktiraf sesebuah album itu cukup sekadar lima buah lagu sahaja untuk menggalakkan lebih banyak syarikat melahirkan album, justeru hal tersebut relevan dengan trend pada masa kini.

Mengulas lanjut, beliau juga tidak menafikan penghasilan single telah memberi kesan kepada penjualan album terutama dalam bentuk fizikal sehingga mendesak banyak kedai muzik popular tempatan perlu gulung tikar.

“Penghasilan single menjadikan penggiat seni lebih tertumpu kepada pemasaran secara digital berbanding fizikal. Tidak dinafikan perkara itu mengakibatkan kebanyakan kedai muzik ditutup semenjak beberapa tahun lalu.

“Meskipun penjualan album dalam bentuk fizikal tidak serancak dahulu, ia tetap menjadi buruan dalam kalangan peminat tegar yang menginginkan bahan simpanan peribadi,” ulasnya.

Sasaran

Penyanyi kesayangan Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin juga berpendapat bahawa kos penghasilan album penuh menjadi antara kekangan utama pada masa kini.

Memulakan kerjaya sekitar tahun 1990-an, pelantun lagu Biarlah Rahsia itu memberitahu, pelaburan penerbitan album dirasakan ketara berbeza berbanding dahulu dan sekarang.

“Sama ada artis itu bergerak sendiri mahupun mempunyai label, mereka tetap memerlukan modal besar untuk mengeluarkan album penuh,” jelas penyanyi berusia 38 tahun itu.

Selain itu, Siti juga berpendapat sasaran artis masa kini yang berfikir sukar untuk menembusi saluran radio dengan mengharapkan kesemua lagu dalam album dimainkan.

“Dalam 10 buah lagu misalnya, hanya terdapat beberapa buah lagu sahaja yang kerap berkumandang di corong radio. Disebabkan itu artis mengambil keputusan menyasarkan satu single tidak hanya didengar tetapi kerap dimainkan di radio,” kata beliau.

Mengulas mengenai sasaran, beliau memberitahu keinginannya muncul dengan sebuah album penuh adalah untuk memudahkan dirinya membuat pilihan lagu bagi menjayakan persembahan atau konsert.

Beliau juga berasa bangga kerana selain dirinya, terdapat beberapa artis lain turut bertindak mengeluarkan album penuh bagi memeriahkan industri hiburan tempatan.

“Saya sedaya upaya berusaha muncul dengan album penuh kerana ingin menghidangkan lagu baharu buat peminat dan gembira melihat ramai penyanyi lain turut melakukan perkara sama,” tutur Siti yang muncul dengan album studio baharu ke-16, SimetriSiti baru-baru ini.

Rencana Utama!»

Agenda berbuka, bertarawih di masjid

ORANG ramai boleh merasai pengalaman berbuka puasa bersama pelancong di Masjid Putra, Putrajaya.

Varia!»

CJ Wow Shop penuhi keperluan pengguna

Yang HYUN (tiga dari kanan) bersama barisan penaja menunjukkan hadiah utama selepas melancarkan kempen jualan Serikan Ramadan dan Raya Bersama Wow di Seputeh, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Process time in ms: 31