HORIZON

Menjejak keindahan Bukittinggi

Menjejak keindahan Bukittinggi


Pemandangan indah Kampung Sungai Landia yang dirakam dari kawasan tinggi.


Pantun ini dikatakan hasil nukilan Presiden Republik Indonesia yang pertama, Sukarno atau lebih dikenali sebagai Bung Karno ketika melawat Minangkabau pada tahun 1948.

Tertarik untuk menyelami maksud yang tersirat di sebalik pantun tersebut, saya bersama tujuh lagi rakan telah mengambil keputusan untuk menyertai satu program lawatan selama empat hari tiga malam ke bumi Minang pada pertengahan Mac baru-baru ini.

Kami memilih Kota Bukittinggi sebagai lokasi penginapan sepanjang berada di sana. Bukittinggi yang sinonim dengan nama Jam Gadang terletak di Sumatera Barat, kira-kira 137 kilometer dari Kota Padang.

Disebabkan kami tiba pada waktu senja, tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan selain singgah di beberapa buah gerai menjual cenderamata.

Aktiviti kembara di tanah Minangkabau hanya bermula pada hari kedua. Seawal pukul 8 pagi, kami bergerak ke Tasik Maninjau yang terletak di daerah Agam, kira-kira 40 kilometer dari Bukittinggi.

Perjalanan kami dengan menaiki van yang dipandu Pak Dani, 30, melalui beberapa buah kampung seperti Kota Gadang dan Matur.

Kota Gadang merupakan perkampungan pertanian sawah padi berlatarbelakangkan Gunung Singgalang. Pokok padi di sana tidak bermusim dan ditanam di kawasan sawah berpetak tingkat.

Di kampung itu juga terdapat banyak rumah peninggalan zaman Belanda yang masih utuh dan menjadi milik penduduk setempat.

Namun menurut Pak Dani, kebanyakan rumah tersebut tidak berpenghuni kerana ramai pemiliknya keluar merantau sama ada ke wilayah lain di Indonesia atau ke negara-negara lain untuk bekerja.

Kami juga dimaklumkan, penduduk di kampung tersebut mempunyai kemahiran dalam seni pertukangan tangan. Ia terbukti apabila kunjungan kami ke sebuah rumah yang terletak di tengah sawah mendapati pemiliknya menjual pelbagai jenis cincin, loket, gelang, rantai dan cenderamata yang diperbuat daripada perak.

Persinggahan kami di perkampungan itu tidak lama dan perjalanan diteruskan agar dapat sampai di Tasik Maninjau mengikut masa yang telah dirancang.

Dalam perjalanan itu, kami singgah di sebuah gerai di Kampung Sungai Landia yang menjual jual kain tenunan dan kraf tangan daripada kulit sapi seperti tali pinggang, beg, kasut dan baju kalis hujan.

Menariknya, barangan yang dijual tiada harga tetap, sebaliknya urusan jual beli ditentukan berdasarkan rundingan antara pembeli dan penjual.

Selain itu, panorama di kawasan tersebut juga sungguh memukau. Apa tidaknya, dari kejauhan, kami dapat melihat pemandangan deretan rumah di lereng bukit, sawah padi yang menghijau selain sebuah masjid dengan kubah yang berkilat-kilat akibat pantulan cahaya matahari.

Kami meneruskan perjalanan dan singgah pula di Puncak Lawang sebelum menuju ke tepian Tasik Maninjau.

Dari Puncak Lawang, kami menikmati keindahan Tasik Maninjau dengan berlatarbelakangkan air tasik yang membiru.

Kami bertuah kerana cuaca pada hari berkenaan sangat baik, sekali gus membolehkan kami merakam gambar sebanyak-banyaknya.

Panjang Tasik Maninjau dianggarkan 20 kilometer dengan keluasan kira-kira lapan kilometer. Kedalaman tasik itu pula dikatakan setinggi Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur.

Belerang


KEINDAHAN Tasik Maninjau berlatarbelakangkan gunung-ganang dan air tasik yang membiru dapat dilihat dengan jelas dari Puncak Lawang.


Di beberapa tempat tertentu di tasik tersebut terdapat air membuak-buak kesan daripada belerang panas. Diceritakan juga bahawa tasik ini terbentuk akibat ledakan gunung berapi kira-kira 52,000 tahun dahulu.

Berdasarkan cerita mitos, satu masa dulu ada sebuah gunung berapi bernama Gunung Tajau di kawasan tersebut.

Di kawasan kaki gunung itu pula terdapat kawasan perkampungan dengan salah sebuah rumah didiami oleh 10 orang adik-beradik yang terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang perempuan bernama Sani.

Oleh sebab-sebab tertentu, cinta Sani dengan sepupunya bernama Giran tidak direstui oleh ahli keluarga. Mereka difitnah melakukan perbuatan sumbang lalu dicampakkan ke kawah gunung berapi Tajau.

Setelah dicampak, gunung berapi Tajau meletus lalu mengubah landskapnya menjadi tasik yang kini dinamakan Tasik Maninjau. Sembilan adik-beradik Sani pula dikatakan telah menjadi ikan.

Sejauh mana kebenaran cerita tersebut, kami sendiri tidak tahu.

Kembara ke Tasik Maninjau diteruskan dari Puncak Lawang menuju ke kawasan pinggir tasik dengan melalui beberapa selekoh bahaya.

Selekoh ini diberi nama kelok 44 disebabkan keadaannya yang curam dan mempunyai 44 selekoh dengan setiap satunya diletakkan papan tanda tertera nombor.

Apa yang menarik perhatian saya ialah di bahu jalan setiap selekoh turut dipacak papan tanda tertera nama-nama Allah. Jadi, secara tidak langsung kami turut sama berzikir memuji kebesaran Ilahi.

Selepas kira-kira 25 minit menuruni bukit, kami tiba di pinggir Tasik Maninjau. Sebaik melihat keindahan tasik terbentang di depan mata, wajah ahli rombongan yang sebelumnya kelihatan tidak bermaya akibat kepenatan mula bertukar ceria.

Pak Dani membawa kami melalui sebatang jalan berturap ke arah hilir tasik bagi memberi peluang mengambil gambar di sudut yang terbaik sepuasnya.

Pengembaraan di Tasik Maninjau turut membawa kami melawat rumah kelahiran ulama terkenal iaitu Hamka di Cagar Budaya yang kini dijadikan muzium di Kampung Sungai Batang Maninjau.

Ketibaan kami disambut oleh Bapak Hanif Rasyid iaitu cucu kepada Hamka.

Selaku pengetua di muzium tersebut, beliau memberitahu, kebanyakan pelawat terdiri daripada ahli budayawan dan pelajar institusi pengajian tinggi yang datang untuk mengkaji kehidupan Hamka yang telah dikategorikan sebagai salah seorang ulama dan penulis tersohor di Nusantara.

Di muzium tersebut, buku-buku dan hasil karya Hamka disimpan rapi di dalam almari. Gambar-gambar beliau bersama keluarga dan sahabat handai juga turut dipamerkan di satu sudut untuk tatapan pengunjung.

Kami juga dibenarkan melihat dan mengambil gambar di satu bilik kecil yang dikatakan tempat Hamka dilahirkan pada tahun 1908.

Menjawab satu soalan tentang novel bertajuk Tenggelamnya Kapal Van der Wijck, Bapak Rasyid memberitahu novel tersebut berkait-rapat dengan kehidupan Hamka pada usia remaja.

Membeli-belah

Menurutnya, watak Hayati dalam novel tersebut ialah isterinya dan Zainuddin pula adalah Hamka sendiri.

Selepas puas meneliti sejarah Hamka, kami pulang semula ke Bukittinggi mengikuti jalan yang sama. Sebelum sampai di hotel, kami sempat menikmati hidangan kopi dan kuih tradisional masyarakat Minang yang dikenali sebagai kuih bika talago di Kampung Koto Baru.

Pada hari ketiga lawatan pula, kami menghabiskan masa dengan aktiviti membeli-belah di Kelok 9, Payakumbuh yang terletak kira-kira 60 kilometer dari Bukittinggi.

Kelok 9 bukanlah destinasi pelancongan tetapi merupakan jalan selekoh berbahaya yang dibina di antara dua jurang bukit pada masa dulu. Kini, di tempat yang sama telah dibina enam jambatan di antara bukit tersebut dengan panjangnya dianggarkan 2.5 kilometer.

Siap dibina pada tahun 2013, jalan itu kini menjadi laluan utama ke Daerah Pekan Baru dan Dumai. Pemandangan yang terhidang di situ sememangnya sukar didapati tempat lain.

Program pada waktu petang hari ketiga di Kota Padang amat padat dengan aktiviti membeli-belah di sekitar Bukittinggi. Ternyata mutu kain tenunan, songket dan sulamannya berkualiti tinggi sehingga menjadi kegilaan ramai pembeli.

Rencana Utama!»

Peluang miliki tanah, rumah sukar ditolak

DARI KIRI: Mat, Heng Bung dan Appachi melihat gambar-gambar lama peneroka asal di Muzium Felda Lurah Bilut.

Horizon!»

Smurfs ubah kehidupan penduduk Juzcar

Salah satu patung watak animasi Smurfs yang menghiasi kampung Juzcar, Sepanyol.

Varia!»

Penjajahan secara kawalan jauh

KEHARMONIAN dan keamanan negara perlu dijaga dengan baik demi masa depan generasi akan datang. – Gambar hiasan

Process time in ms: 31