VARIA

Lenyapnya bangunan bersejarah di Ho Chi Minh

Lenyapnya bangunan bersejarah di Ho Chi Minh

Gambar pemandangan atas sebuah rumah kolonial Perancis yang masih kekal di Ho Chi Minh.


SAIGON atau kini dikenali sebagai Ho Chi Minh cukup gah dengan keunikan dan keindahan bangunan era kolonial sehingga menjadi latar belakang kepada novel terkenal, The Quiet American karya Graham Greene.

Bagaimanapun, ia hampir lenyap disebabkan pemodenan apatah lagi status Vietnam kini yang diiktiraf sebagai negara paling pesat membangun di Asia Tenggara.

Pada masa ini, pengunjung ke bandar raya itu disajikan dengan panorama kren-kren pembinaan yang berselerakan di ruang udaranya.

Seperti juga kebanyakan penduduk tempatan lain, pekerja pejabat Tran Trong Vu, turut terganggu dengan wajah baharu Ho Chi Minh itu.

“Bangunan-bangunan lama ini mempunyai nilai sejarah tinggi. Disebabkan itu kita harus memeliharanya bukan menggantikannya dengan bangunan pencakar langit,” katanya.

Penduduk turut berpendapat pemusnahan warisan seni bina Perancis itu menjadikan bandar raya itu tidak jauh berbeza daripada megapolis Asia yang lain.

“Sekitar dekad 60-an dan 70-an, warisan Perancis masih boleh dilihat di sini namun ia kini berubah seperti di Amerika Syarikat. Restoran makanan segera, McDonald’s boleh dilihat di setiap penjuru jalan.

“Tanpa bangunan bersejarah ini, laluan tersebut tidak mempunyai apa-apa nilai,” kata Hiep Nguyen yang merupakan penulis beberapa buku mengenai sejarah seni bina.

Kebanyakan pembangunan semula ini berlaku di pusat bandar bagi memberi laluan terhadap pembinaan ruang kediaman kediaman dan pejabat berikutan populasi penduduknya yang semakin bertambah.

Bagaimanapun kata Nguyen, ia bukan punca utama menyebabkan realiti tersebut.

“Punca utama ialah wang dan pihak-pihak yang berminat membangunkannya,” katanya yang kini menetap di Sydney, Australia.

Para pelabur kaya telah membeli tanah-tanah di bandar raya itu dan menjadikannya sebagai zon pembinaan yang luas tanpa mempedulikan nilai sejarah yang ada.

Antara pembangunan bangunan bersejarah yang mencetuskan kemarahan penduduk ialah di pelabuhan Ba Shon yang menempatkan kompleks tentera Perancis di tebing Sungai Saigon.

Kawasan itu kini dibangunkan dengan bangunan pencakar langit oleh Kumpulan Vincom, milik lelaki terkaya di negara itu, Pham Nhat Vuong atau popular dengan gelaran Donald Trump Vietnam.

Berdasarkan senarai pihak berkuasa, terdapat lebih 1,000 bangunan yang dibina oleh Perancis ketika menjajah negara itu antara 1887 dan 1954 yang masih kekal pada hari ini termasuk ikon pelancongan popular seperti Rumah Opera, Pejabat Pos dan Gereja Notre Dame.

Butik mewah

Beberapa bangunan bersejarah di Rue Catinat yang pernah dikunjungi Greene juga masih terpelihara namun laluan dikenali sebagai Dong Khoi itu kini dibarisi butik-butik mewah berikutan permintaan tinggi terhadapnya.

Ketika ini, belum ada mana-mana pihak yang melakukan kajian jumlah bangunan bersejarah yang telah dimusnahkan.

Bagaimanapun, menurut pengarah bersama agensi pembangunan bandar dan polisi (Paddi), Fanny Quertamp, sebanyak 50 buah vila tradisional Perancis di salah sebuah daerah di bandar raya itu telah musnah sejak tahun 1993.

Kadar kemusnahan yang tinggi itu mendorong beberapa pihak luar tampil melakukan tindakan.

Bekas pembangun permainan video dan peminat pemuliharaan bangunan bersejarah, Daniel Caiune telah membangunkan aplikasi mudah alih dikenali sebagai Heritage Go untuk kegunaan orang ramai.

Menerusi aplikasi tersebut, mereka berpeluang melihat imej asal sesebuah bangunan bersejarah dengan hanya mengacukan telefon pintar ke arah bangunan tersebut.

“Ini akan membuatkan orang ramai lebih sedar nilai dan sejarahnya,” katanya yang turut membangunkan sebuah laman web Heritage Observatory bagi menyimpan senarai bangunan-bangunan era kolonial di Vietnam.

Pihak berkuasa juga dilaporkan giat merangka pelan untuk mengklasifikasikan bangunan-bangunan tersebut sebelum diasingkan untuk tujuan perlindungan, namun mengakui ia bukan tugas mudah dan memerlukan tempoh beberapa tahun untuk dilaksanakan.

“Tekanan untuk pembangunan sangat tinggi,” kata Timbalan Ketua Pengarah Pusat Penyelidikan Seni Bina di Jabatan Perancangan Bandar Ho Chi Minh, Tuan Anh Nguyen.

Katanya, ramai pemaju yang membeli tanah-tanah di pusat bandar hanya melihat aspek keuntungan semata-mata.

Kemusnahan di Ho Chi Minh sukar dipulihkan biarpun pemaju telah membina sebuah replika perkampungan Perancis pada zaman pertengahan di lokasi pelancongan utama di Danang yang menjadi tumpuan pengunjung.

Seorang arkitek tempatan, Ngo Viet Nam Son memberitahu, bandar raya itu bakal kehilangan jutaan pelancong yang hadir semata-mata mahu melihat keunikan dan keindahan sejarah era kolonial.

“Ia ibarat kehilangan seekor ayam yang memberi kita telur emas,” katanya. – AFP

Rencana Utama!»

Agenda berbuka, bertarawih di masjid

ORANG ramai boleh merasai pengalaman berbuka puasa bersama pelancong di Masjid Putra, Putrajaya.

Varia!»

CJ Wow Shop penuhi keperluan pengguna

Yang HYUN (tiga dari kanan) bersama barisan penaja menunjukkan hadiah utama selepas melancarkan kempen jualan Serikan Ramadan dan Raya Bersama Wow di Seputeh, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Process time in ms: 31