RENCANA UTAMA

Teknologi digital ubah peta dunia muzik

Teknologi digital ubah peta dunia muzik


KEMUNCULAN band indie di negara ini sudah dianggap sebagai satu fenomena. Gambar hiasan


TEKNOLOGI digital didakwa berjaya mengubah peta dunia muzik, bukan sahaja di negara-negara maju tetapi di Malaysia.

Pada zaman masyarakat dididik dengan penggunaan internet dan teknologi digital, kemajuan itu bersifat seperti pisau dua mata yang boleh memberikan kesan positif atau negatif kepada industri tersebut.

Kedua-dua kesan di atas adalah bergantung kepada pendekatan berbeza yang diambil oleh pemain-pemain dalam industri itu.

Menjadi satu kesilapan besar bagi pemain-pemain industri muzik yang cuba mengekalkan pendekatan atau strategi pengurusan industri muzik masa lalu untuk terus menerajui industri itu pada era digital.

Dalam era digital ini, industri muzik juga terdedah kepada perkembangan dunia tanpa sempadan.

Genre muzik

Disebabkan oleh faktor inilah, industri muzik pada era digital mempunyai akses dan jaringan yang jauh lebih luas berbanding dengan zaman terdahulu, sekali gus menyebabkan lebih banyak genre muzik dapat diterokai oleh masyarakat setempat.

Pada era 1990-an dan sebelumnya, akses kepada irama-irama dan alat muzik amat terhad serta sangat terbatas.

Masyarakat hanya didedahkan dengan muzik daripada saluran utama seperti televisyen, radio dan kedai muzik.

Bermula pada era milenium, masyarakat sudah mula dapat mengakses muzik melalui ruang digital walaupun daripada sebuah negara yang jauh.

Akibatnya, muncul banyak ahli muzik baharu yang mengetengahkan genre muzik terkini yang memiliki kekayaan bunyi.

Mereka ini mengeksplorasi banyak alat muzik baharu dan memiliki karya-karya yang luar biasa.

Generasi muda yang kreatif dalam bidang muzik kini tidak lagi hanya mengekalkan genre muzik yang lama tetapi menghasilkan karya yang lebih segar dan moden.

Teknologi digital juga menjadikan pemain-pemain dalam industri ini lebih mudah merakam muzik yang mereka hasilkan.

Kaedah dan proses rakaman menjadi lebih mudah serta murah dengan adanya teknologi digital.

Ini telah menjadikan proses membuat rakaman lebih mudah dan sesiapa sahaja boleh melakukan rakaman atau demo pita kaset bagi karya-karya mereka walaupun dari rumah.

Dengan berkembangnya teknologi digital juga, karya-karya muzik itu lebih mudah untuk disebar ke seluruh dunia.

Aplikasi-aplikasi seperti MySpace telah dijadikan platform untuk menyebarkan hasil karya ahli muzik zaman digital ini.

Perkembangan ini disokong juga dengan kemunculan aplikasi-aplikasi lain seperti YouTube dan Instagram.

Hasil perkembangan positif ini telah menyebabkan berlakunya revolusi dalam industri muzik di Malaysia dan kemuncaknya apabila muncul label rakaman bersifat alternatif ataupun dikatakan aliran alternatif.

Kumpulan-kumpulan ahli muzik muda inilah yang kemudian terlibat dalam produksi atau mempromosikan karya-karya muzik alternatif yang dikenali sebagai muzik independent atau indie.

Namun, teknologi digital juga tidak kurang membawa kesan buruk pada industri muzik jika perkembangan ini tidak diurus secara bijak.

Penyalinan fail melalui komputer dengan mudah menyebabkan sesebuah lagu atau karya muzik itu berpindah tangan serta disebarkan dengan begitu cepat dan dalam skala yang besar.

Akibatnya, karya muzik semakin sukar dilindungi. Penyebaran karya itu secara haram semakin menjadi-jadi, seolah-olah perkataan hak cipta terpelihara itu hanya menjadi pemanis bibir.

Perkembangan ini telah menjadikan masyarakat kini tidak lagi membeli cakera padat, banyak kedai muzik yang bersifat tradisional gulung tikar dan ramai pengkarya muzik tidak mendapat royalti daripada lagu yang dimainkan oleh peminat mereka.

Masalah

Pada satu sudut lain pula, terdapat juga masalah penerbitan yang melanda industri muzik kini yang berteraskan teknologi digital.

Walaupun platform digital seperti internet memudahkan seorang ahli muzik untuk menerbitkan karyanya, kemudahan seperti itu juga telah menarik semua lapisan masyarakat, baik yang memiliki karya muzik yang bagus mahupun tidak untuk menyebar karya mereka di internet.

Akibatnya, terdapat begitu banyak karya di internet sehingga menyebabkan karya-karya yang baik terkubur.

Oleh itu, ahli-ahli muzik yang mempunyai karya yang berkualiti memerlukan strategi yang berkesan agar karya itu dapat menembusi pasaran.

Process time in ms: 31