RENCANA UTAMA

Nasihat ibu dijadikan sebagai pedoman hidup

Nasihat ibu dijadikan sebagai pedoman hidup

NUR DHABITAH (kiri) menunjukkan koleksi pingat yang dimenangi dalam acara terjun sambil saksikan oleh ibunya, Fazidah.


“MAMA merupakan peminat nombor satu saya. Dia sentiasa meniupkan semangat positif untuk saya berjaya dalam sukan terjun.

“Mama juga adalah salah seorang individu yang bertanggungjawab mengubah haluan saya daripada sukan renang ke terjun,” ujar penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri, 18, mengenai ibunya, Fazidah Jaafar.

Nur Dhabitah merupakan atlet negara yang telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Antara pencapaian terbaiknya ialah memenangi pingat gangsa pada Sukan Komanwel 2014 dalam acara terjun 10 meter platform seirama bersama Pandelela Rinong.

Gadis kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, dia aktif dalam sukan renang pada awal pembabitan.

Begitupun, disebabkan susuk tubuh Nur Dhabitah terlalu kecil, ibunya menukar kepada sukan terjun.

Jelasnya, langkah yang diambil ibunya itu sangat tepat. Buktinya, dia berjaya mewakili negara ke temasya sukan terbesar dunia iaitu Sukan Olimpik di Rio de Jeneiro, Brazil pada Ogos tahun lalu.

Meskipun sibuk dengan tugas harian di pejabat Kementerian Pendidikan, Putrajaya, wanita berusia 57 tahun itu tidak pernah terlepas untuk mengikuti perkembangan Nur Dhabitah.

Katanya, sejak awal pembabitan dalam arena terjun, ibu akan berusaha menghadirkan diri ke kolam terjun di Cheras, Kuala Lumpur untuk melihatnya berlatih.

Malah, ibunya juga sanggup berhabis wang membeli tiket penerbangan dan tempat penginapan di luar negara untuk melihat dia beraksi pada kejohanan di peringkat antarabangsa.

Terbaru, ibunya telah berhabis sebanyak RM5,000 untuk menyaksikan Nur Dhabitah beraksi pada Kejohanan Terjun Siri Dunia di Beijing, China.

“Setiap kali berlangsung kejohanan besar, ibu pasti akan hadir untuk melihat saya beraksi.

“Jika saya tahu ibu datang, perasaan saya bertambah gementar.

“Ini kerana saya bimbang tidak dapat melakukan aksi terbaik dalam setiap terjunan. Perasaan ini sebenarnya bagus kerana saya pasti akan cuba melakukan yang terbaik,” katanya.

Latihan

Sejak empat tahun lalu, bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu terpaksa berkelana ke China untuk mendapat latihan terbaik.

Walaupun terpaksa tinggal berjauhan dari tanah air, Nur Dhabitah tidak sesekali melupakan setiap pesanan dan nasihat yang pernah diberikan oleh ibunya.

Katanya, setiap kali berbual, ibunya sentiasa mengingatkan Nur Dhabitah supaya menjaga diri di tempat orang dan berlatih bersungguh-sungguh.

“Kebanyakan masa saya dihabiskan untuk menjalani latihan. Namun, saya tetap akan mencari masa untuk berkomunikasi bersama ibu melalui aplikasi WhatsApp.

“Selalunya, ibu bertanya mengenai jadual latihan saya.

“Dia juga mengambil berat terhadap tahap kesihatan terutamanya ketika saya mengalami kecederaan,” katanya yang pernah mengalami kecederaan kaki dan bahu sebelum ini.

Dia memberitahu, kebanyakan masa cutinya di tanah air dimanfaatkan untuk membantu ibu di rumah dan keluar membeli-belah.

“Kebanyakan masa cuti saya dihabiskan bersama mama. Selepas mama balik kerja, saya akan membantunya mengemas rumah dan memasak.

“Kalau hari minggu, kami akan keluar bersama ke pasar raya untuk membeli-belah. Biasanya, mama akan memilih dan membeli baju untuk saya,” katanya sambil ketawa.

Sebagai anak bongsu daripada empat adik-beradik, Nur Dhabitah mengakui bahawa dia merupakan seorang yang sangat manja terutamanya bersama ibu.

Kenyataan itu kian terserlah apabila Nur Dhabitah memberitahu, dia masih lagi tidur bersama ibunya apabila di rumah.

“Kalau saya balik rumah, saya akan tidur bersama mama di atas katil. Ayah pula akan tidur di bawah. Biasanya, sebelum tidur saya akan meluahkan perasaan atau berkongsi cerita-cerita menarik bersama ibu.

“Saya tidak malu untuk tidur bersama ibu kerana sejak berusia 13 tahun, saya sudah tinggal berjauhan dari rumah,” katanya.

Nasihat


SAYED MUNAWAR memeluk ibunya, Shawiah sewaktu meraikan sambutan Hari Ibu pada Ahad lalu.


Berbeza pula kisahnya dengan Sayed Munawar Sayed Mohd. Mustar, 43, yang menjadikan nasihat dan dorongan ibunya sebagai pemangkin untuk mencapai kejayaan.

Anak keempat daripada enam adik-beradik itu memaklumkan, hasil didikan dan nasihat yang diberikan oleh ibunya, Shawiah Mat Yaacob, 79, membantunya menjadi seorang insan berguna.

“Saya mengaku bahawa saya tidak terlalu rapat dengan ibu kerana sejak sekolah menengah lagi, saya banyak menghabiskan masa di asrama berbanding di rumah.

“Namun, setiap kata-kata nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan oleh ibu sentiasa tersemat dalam diri. Ibu selalu berpesan jangan nakal-nakal dan sentiasa fokus pada pelajaran ,” katanya.

Sayed Munawar merupakan pengacara televisyen sambilan di Radio Televisyen Malaysia dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku.

Dia memberitahu, sebagai seorang guru, ibunya sentiasa menaruh harapan untuk melihat dia dan adik-beradik lain mencapai kejayaan dalam pelajaran.

Bagi tidak menghampakan harapan ibu, dia sentiasa berusaha mencapai keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan

“Ibu pernah mengajar di sekolah yang sama ketika saya berusia tujuh tahun. Namun, ibu tidak pernah mengajar saya.

“Mempunyai ibu yang bertugas sebagai seorang guru merupakan satu pengalaman yang sangat unik.

“Selain perlu mencapai keputusan cemerlang, saya juga sering diganggu oleh pelajar-pelajar nakal,” imbaunya.

Ceritanya, ketika kanak-kanak, dia merupakan seorang yang nakal. Dia sentiasa mencari jalan untuk menyakat ibunya.

Sayed Munawar memberitahu, satu ketika, dia mengambil tindakan menyembunyikan diri di rumah selepas pulang bermain bola pada waktu senja.

“Sehingga sekarang, saya masih tidak dapat melupakan raut wajah ibu yang cemas dan resah apabila kehilangan anak.

“Ibu keluar mencari saya di padang, namun saya tidak kelihatan. Selepas melihat keresahan ibu, saya munculkan diri dan terus memeluknya,” kenang Sayed Munawar.

Memendam rasa

Menurut bapa kepada tiga orang cahaya mata itu, ibu lebih banyak memendam rasa terhadap kenakalan dan kesalahannya.

Katanya, sejak kecil, dia sering merosakkan barang-barang rumah terutamanya milik ibu.

“Bila saya tolong ibu angkat pasu bunga, ia pecah. Ketika saya tolong bawa ibu ke pekan dengan kereta, stereng tercabut dan ekzos boleh terkeluar.

“Namun, mujurlah ibu tidak cepat marah atau memukul saya. Sebaliknya, dia hanya mengeluh,” ceritanya sambil mengukir senyuman.

Walaupun sibuk dengan tugas harian di ibu negara, Sayed Munawar tidak pernah lupa untuk pulang ke kampung bagi melawat ibunya di Bota, Perak.

Katanya, setiap kali pulang ke kampung, ibu tidak pernah lupa untuk menyediakan sajian kegemarannya iaitu daging masak taucu dan daging masak kicap.

“Ibu memang seorang yang suka memasak. Kalau ada tetamu, dia adalah orang yang bertanggungjawab untuk menguruskan makanan.

“Semua hidangan daripada air tangan ibu sedap belaka. Kalau ibu hidang daging masak taucu, saya boleh tambah nasi sebanyak tiga kali,” katanya.

Mengulas mengenai sambutan Hari Ibu, Syed Munawar memberitahu, dia dan adik-beradik tidak pernah ketinggalan untuk meraikannya.

Ujar, mereka akan pulang ke kampung beramai-ramai untuk membawa ibu keluar makan ikan bakar di Teluk Batik.

“Saya tahu, dengan membawa ibu keluar makan tidak dapat membalas pengorbanannya melahirkan dan membesarkan kami selama ini.

“Namun, saya berasa cukup puas apabila dapat melihat dia mengukir senyuman ketika kami meraikan Hari Ibu,” katanya.

Rencana Utama!»

Agenda berbuka, bertarawih di masjid

ORANG ramai boleh merasai pengalaman berbuka puasa bersama pelancong di Masjid Putra, Putrajaya.

Varia!»

CJ Wow Shop penuhi keperluan pengguna

Yang HYUN (tiga dari kanan) bersama barisan penaja menunjukkan hadiah utama selepas melancarkan kempen jualan Serikan Ramadan dan Raya Bersama Wow di Seputeh, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Process time in ms: 47