GENK

Minta tolong biarlah berseni

Minta tolong biarlah berseni


Pinjaman material seperti wang jika tidak dilunaskan boleh menjejaskan hubungan baik yang telah terjalin sekian lama. – Gambar hiasan


Mendapat panggilan atau pesanan WhatsApp daripada sahabat handai untuk meminta sesuatu pertolongan adalah perkara lumrah.

Jenis pertolongan yang paling popular ialah meminjam wang.

Dalam hidup ini, hampir segalanya memerlukan wang. Justeru, apabila menghadapi kesempitan wang maka ada yang terpaksa menebalkan muka meminta pertolongan rakan.

Mungkin ada rakan yang kita minta pertolongan itu adalah mereka yang sudah agak lama tidak dihubungi. Mencari kawan yang benar-benar boleh membantu ketika kita ditimpa kesusahan bukanlah perkara yang mudah.

Baru-baru ini penulis dihubungi seorang sahabat junior yang berhadapan masalah kewangan kerana gaji di tempat kerja baharunya belum masuk.

Rupa-rupanya penulis merupakan orang kelima yang dihubungi. Empat kawannya yang dihubungi sebelum itu menerusi media sosial dan panggilan telefon tidak memberi sebarang respons.

Agak mencabar juga mencari kawan yang setia ketika susah dan senang. Daripada ratusan kenalan yang direkodkan nombor telefon mereka dalam direktori telefon pintar, agaknya berapa ramaikah yang betul-betul ingin menolong kita ketika susah?

Hakikat sebenar persahabatan sejati ialah sahabat yang boleh membantu pada saat kita dalam kesusahan.

Tidak guna mempunyai ramai rakan sepermainan atau teman lepak jika mereka menjadi insan pertama yang menghilangkan diri ketika kita dalam kesusahan. Pencarian sahabat yang boleh berjalan seiringan dalam keadaan ‘hujan dan panas’ tidak mustahil ada tetapi agak sedikit bilangannya.

Begitupun, jika dilihat secara positif, sudah tentu kita tidak memandang serong terhadap rakan yang culas menghulurkan bantuan pada saat kita memerlukannya.

Dalam keadaan tertentu kita harus rasional berhadapan dengan kawan yang tidak sudi menolong.

Andaikan pertolongan yang diharap dalam bentuk material iaitu melibatkan wang atau kenderaan, kita tidak boleh cepat menghukum seseorang itu sebagai kedekut hanya kerana permintaan tersebut tidak dapat dipenuhi.

Mungkin juga rakan tersebut tidak mempunyai wang mencukupi untuk menampung perbelanjaan diri sendiri pada ketika itu.

Kadangkala kita terlalu berharap orang di sekeliling akan memahami kesempitan yang sedang dihadapi.

Namun jika direnung sejenak, adakah kita sendiri mampu bersikap empati terhadap orang lain?

Kepercayaan

Sikap sebegini sebenarnya lebih menjurus kepada situasi menang-kalah iaitu kita sahaja yang betul manakala orang lain salah. Andai situasi menang-menang merupakan pilihan kita, pastinya tiada tanggapan negatif akan dilemparkan terhadap sahabat tanpa membuat usul periksa.

Pertolongan dalam bentuk material tidak mudah untuk dihulurkan melainkan apabila kita telah masak dengan perangai rakan kita.

Kalau ada sejarah lampau seperti liat membayar hutang dan tidak cermat mengendalikan kereta atau motosikal, itu adalah silap sendiri kerana mempersia-siakan kepercayaan orang lain.

Dalam urusan pinjaman, asasnya ialah janji. Sebagaimana isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang hangat diperkatakan sejak beberapa tahun lalu, ia timbul bukan kerana pihak PTPTN tidak boleh bertolak ansur dengan para peminjam.

Hakikatnya, sikap penerima pinjaman itu sendiri yang langsung tidak mempedulikan terma perjanjian yang telah dimeterai akhirnya menyebabkan kesusahan pada kemudian hari.

Selain itu, peminjam juga sering menangguhkan pembayaran semula pinjaman serta enggan berunding dengan pihak PTPTN.

Sikap keterlaluan terhadap pinjaman pendidikan ini hanya akan berakhir apabila dikenakan tindakan agresif seperti larangan keluar negara oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia.

Kejadian dihalang melancong ke luar negara memang benar-benar mengubah sikap liat peminjam PTPTN. Itu pun selepas timbul perasaan malu kerana impian melancong ke seberang laut musnah gara-gara kesilapan diri sendiri yang ego tidak mahu menjelaskan hutang.

Oleh itu, dalam soal meminta pertolongan kita wajib memahami seninya. Jika kita hanya menunjukkan kesungguhan sebelum bantuan dihulurkan dan kemudian mengabaikan amanah serta janji tersebut, itu tandanya kita masih belum matang dalam pergaulan sesama manusia.

Process time in ms: 31