GENK

Pertemuan bekas pelajar Sekolah Sang Nila Utama selepas 46 tahun

Pertemuan bekas pelajar Sekolah Sang Nila Utama selepas 46 tahun


Majlis Sua Kembali Sahabat Selamanya berjaya menemukan semula 15 orang bekas pelajar SMSNU termasuk Mohammad (duduk kanan sekali), Norhayati (duduk empat dari kanan) dan Ismail (duduk kiri sekali).


Menjadi pelajar di sekolah terbaik merupakan impian setiap orang. Sebut sahaja nama sekolah, pasti ramai yang teruja dan terfikir bagaimana mereka boleh terpilih menjadi pelajar di sekolah tersebut.

Sekolah Menengah Sang Nila Utama (SMSNU) mungkin terkenal di Singapura, namun ia agak asing bagi rakyat di negara ini.

SMSNU merupakan sekolah aliran Melayu sastera pertama yang terletak di Telok Blangah, Singapura yang ditubuhkan sekitar tahun 1961.

Nama Sang Nila Utama diambil sempena nama Raja Palembang yang dipercayai mula-mula mewujudkan Singapura.

Pada awal pembukaannya, ia disambut gembira oleh masyarakat Melayu yang merupakan kaum minoriti di republik berkenaan. Penubuhannya berjaya mencapai objektif perjuangan nasionalis Melayu pada ketika itu.

Sekolah tersohor itu menawarkan dua peringkat pendidikan iaitu menengah rendah dan menengah atas atau lebih dikenali sebagai prauniversiti.

Bagaimanapun, ketika itu bukan mudah untuk menjadi pelajar di SMSNU kerana pemilihannya yang ketat. Ia merupakan antara sekolah tersohor di Singapura sekitar tahun 1970-an.

Institusi pendidikan itu turut menyediakan asas persediaan kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Sekitar tahun 1970-an, SMSNU mula menerima pelajar dari Malaysia dan Brunei. Kebanyakan mereka merupakan pelajar tajaan negara masing-masing yang dihantar belajar ke luar negara.

Baru-baru ini, Majlis Sua Kembali Bekas Pelajar Sesi 1970-1971 telah diadakan di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya.

Kemeriahan itu dapat dirasai kerana ada antara mereka menitiskan air mata kegembiraan kerana terlalu gembira dapat bertemu semula selepas 46 tahun meninggalkan alam persekolahan.

Berjaya


BEKAS pelajar SMSNU seronok berkongsi perjalanan hidup mereka pada Majlis Sua Kembali Sahabat Pre-U Sekolah Menengah Sang Nila Utama Singapura di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya baru-baru ini.


Detik itu sungguh menyentuh perasaan dan menggamit setiap memori yang pernah dilalui bersama.

Perkara menarik pada perjumpaan itu ialah mereka yang hadir berasal dari Brunei, Malaysia dan Singapura.

Walaupun lokasi pertemuan itu diadakan di Malaysia, mereka sanggup ‘terbang’ ke negara ini untuk merealisasikan pertemuan tersebut.

Mengumpulkan semula bekas pelajar dari tiga buah negara selepas 46 tahun meninggalkan zaman persekolahan bukanlah satu perkara mudah. Namun, kerja keras ahli jawatankuasa Persatuan Bekas Pelajar SMSNU telah berjaya menghimpunkan semula 15 alumni prauniversiti SMSNU sesi 1970 dan 1971.

Menurut Ahli Jawatankuasa Persatuan Bekas Pelajar SMSNU, Prof. Mohammad Yusoff, 65, pertemuan tersebut berjaya mengumpulkan semula bekas pelajar dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei.

“Bukan mudah untuk menghimpunkan mereka semula kerana ia melibatkan lokasi yang jauh. Saya gembira apabila mendapat tahu majoriti daripada mereka berjaya dalam kehidupan masing-masing. Ia menunjukkan SMSNU adalah antara platform terbaik untuk melahirkan insan cemerlang,” katanya.

Mohammad menambah, walaupun SMSNU merupakan sekolah aliran Melayu pertama di Singapura pada ketika itu tetapi pelajarnya sangat kompetitif baik dalam bidang akademik mahupun aktiviti luar.

“Saya rasa bangga kerana pernah menjadi salah seorang pelajar di sekolah tersebut kerana kebanyakan mereka yang lahir dari SMSNU kini menjadi insan yang berjaya,” katanya.

Walaupun hanya dua tahun menjadi pelajar prauniversiti di SMSNU, pelbagai pengalaman dipelajari selain berjaya ‘menyelongkar’ keistimewaan diri sendiri.

“Pada zaman persekolahan, saya aktif menyertai kelab debat dan kelab interaksi. Penglibatan tersebut akhirnya membuahkan hasil serta mendorong saya untuk berjaya pada hari ini,” cerita bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia itu lagi.

Setiap perkara yang beliau lakukan ketika bergelar pelajar SMSNU banyak memberi impak kepada siapa dirinya pada hari ini. Kini, beliau merupakan seorang ahli akademik dalam bidang komunikasi.

Bekas pelajar SMSNU dari Brunei, Datuk Dr. Ismail Duraman, 63, berkata, beliau mengaku agak sukar baginya untuk menerima suasana baharu ketika mula-mula menjejakkan kaki di sekolah SMSNU sekitar tahun 1970.

“Peringkat awal berlaku kejutan budaya kerana sukar mengadaptasi budaya dan suasana baharu. Gaya hidup di Singapura jauh lebih moden berbanding di Brunei yang agak tradisional.

“Corak pergaulan di Singapura juga berbeza daripada di Brunei kerana ia lebih bebas berbanding di negara sendiri,” tuturnya.

Beliau turut berkongsi pengalaman sukar menjadi rakyat Brunei yang kurang fasih berbahasa Inggeris dan cuba bergaul dengan pelajar dari Singapura yang begitu mahir dalam bahasa tersebut.

“Saya tidak menganggap kelemahan berbahasa Inggeris sebagai satu kegagalan tetapi ia merupakan peluang kepada saya untuk berusaha gigih bagi memastikan tahap penguasaan saya dalam bahasa itu setaraf dengan pelajar lain,” ujarnya.

Ismail turut mengambil kelas malam, membaca akhbar bahasa Inggeris dan membiasakan diri bertutur dalam bahasa berkenaan dengan rakan sekelas.

Walaupun pada awalnya beliau perlu bekerja keras untuk meningkatkan tahap keupayaan diri, namun usahanya itu berbaloi. Beliau pernah menyandang jawatan sebagai Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam beberapa tahun lalu.

“Ia secara tidak langsung membuktikan bahawa usaha keras akan membuahkan hasil,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi bekas pelajar SMSNU yang berasal dari Singapura, Norhayati Atan, 64, berkata, mengikuti kelas di SMSNU adalah satu cabaran besar buat dirinya.

“Berasal dari Singapura bukanlah jalan pintas untuk saya berjaya memasuki sekolah berkenaan.

“Secara asasnya, walaupun berasal dari Singapura, namun cabaran saya sama seperti Ismail, iaitu bahasa Inggeris,” katanya.

Buku


KENANGAN... Majoriti bekas pelajar SMSNU kini menjawat jawatan tinggi.


Kurang fasih bertutur bahasa Inggeris bukan halangan kepadanya untuk bergelar sebagai seorang akauntan. Dia menjadikan kekurangan tersebut sebagai cabaran untuk meningkatkan keupayaan diri.

Norhayati menambah, melanjutkan pelajaran di SMSNU merupakan satu peluang yang tidak boleh disia-siakan. Ia menjadi ruang kepadanya untuk mengenali pelajar-pelajar dari negara lain.

Situasi tersebut berjaya membantu Norhayati mengikis persepsi negatif pelajar-pelajar dari negara lain.

“Tidak mudah untuk membiasakan diri dengan persekitaran baharu, apatah lagi ada pelajar-pelajar berasal dari negara lain kerana perbezaan gaya hidup seperti penampilan dan bahasa.

“Namun, lama-kelamaan saya semakin selesa dan ia merupakan peluang untuk seorang rakyat Singapura mempelajari budaya baharu,” jelasnya.

Kini, selepas hampir 46 tahun, mereka semua berjaya membuktikan ilmu yang dituntut ketika di SMSNU sangat berguna. Hampir kesemua yang hadir pada majlis tersebut berjaya mencapai cita-cita yang mereka impikan, sekali gus dapat mengharumkan nama negara sendiri ke serata dunia.

Apa yang menyedihkan, pada tahun 1981, kelas prauniversiti di SMSNU terpaksa ditutup atas keputusan pihak Kementerian Pendidikan.

Ia dilakukan secara berperingkat-peringkat. Pada awal tahun 1979, SMSNU tidak menerima pelajar prauniversiti dan SMSNU ditutup sepenuhnya pada tahun 1987.

Menurut Mohammad, hal itu sangat menyedihkan kerana legasi pelajar prauniversiti SMSNU terhenti di situ.

Mohammad kini dalam perancangan untuk menerbitkan sebuah buku mengenai SMSNU yang meliputi sejarah sekolah, bibliografi bekas pelajar, perkongsian pengalaman dan banyak lagi.

“Buku itu telah lama saya rancang sejak beberapa tahun yang lalu, namun kerana kekangan waktu, ia sukar diterbitkan.’’

Namun berkat kerjasama guru sekolah SMSNU, Wan Hussein Zohri dan sahabat sekolah yang lain, buku ini dijangka siap dalam masa setahun lagi di bawah sumbangan modal insan daripada tiga buah negara iaitu Brunei, Malaysia dan Singapura,’’ jelasnya.

SMSNU telah melahirkan ramai pemimpin, birokrat, usahawan dan pendidik tersohor negara masing masing.

“Walaupun SMSNU sudah tiada tetapi saya tetap ingin menceritakan kewujudan institusi pendidikan tersohor itu,” tuturnya.

Mohammad Yusoff berharap dengan kerjasama rakan-rakan lain, penerbitan buku itu dapat direalisasikan secepat mungkin bagi mengelakkan nama SMSNU terkubur begitu sahaja.

Process time in ms: 3640