GENK

Mahasiswa UiTM jayakan festival layang-layang

Mahasiswa UiTM jayakan festival layang-layang

Persatuan pelayang PDRM antara persatuan yang memeriahkan acara ini.


DI bawah sinaran mentari kelihatan kelibat dua orang lelaki yang menutup sebahagian muka dengan sehelai kain dan berkaca mata hitam, bertungkus lumus menarik tali yang diikat pada layang-layang masing-masing.

Tidak seperti bermain layang-layang biasa, layang-layang yang dinaikkan ke udara itu bersaiz besar dan bentuknya seperti sotong kurita.

Sebaik sahaja layang-layang gergasi itu terbang, pengunjung Taman Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur itu tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar dan merakam video.

“Ini kali pertama saya melihat layang-layang bersaiz besar terbang di hadapan mata.

“Ia memberi satu pemandangan luar biasa apabila melihat banyak layang-layang bersaiz besar berlegar-legar di ruang udara,” jelas Nur Aziah Azmi, 23.

Tambahnya, dia begitu kagum melihat aksi pelayang mengawal layang-layang bersaiz besar itu.

Pengunjung lain turut teruja menyaksikan keunikan dan aksi layang-layang tersebut.

Program yang dikenali sebagai Whoosh Kite Fest’17 itu dianjurkan oleh pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Majlis, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam di taman tersebut baru-baru ini.

Pengarah program, Izhan Zulhazree Asmadi berkata, penganjuran program tersebut merupakan satu teras projek yang wajib dijayakan oleh pelajar-pelajar tahun akhir bagi menyempurnakan pengajian.

Percambahan idea


Ahli-ahli persatuan pelayang mengabdikan gambar kenangan.


Menurutnya, pihaknya menerusi aktiviti percambahan idea telah memilih program berkenaan yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

“Setelah berbincang dan mencapai kata sepakat kami memilih untuk menganjurkan program ini. Whoosh Kite Fest’17 merupakan projek tahun akhir yang telah dirancang sejak tahun 2015.

“Festival ini adalah inisiatif kami untuk menaikkan permainan layang-layang di kawasan bandar.

“Bahkan, festival layang-layang ini mendedahkan anak muda pada zaman era teknologi ini tentang keunikan layang-layang yang ada di setiap negeri,” jelasnya.

Tambahnya, penganjuran program ini juga bermatlamatkan untuk memperkenalkan persatuan-persatuan pelayang di Malaysia dan ia turut disokong oleh persatuan pelayang antarabangsa.

Dalam pada itu, Izhan berkata, untuk menjayakan program tersebut bukanlah sesuatu yang mudah dan jumlah mahasiswa yang terlibat bagi memastikan ia berjalan dengan lancar adalah seramai 19 orang..

“Kerjasama antara satu sama lain amat diperlukan untuk menjayakan program ini. Antara cabaran yang kami hadapi adalah untuk mencari lokasi yang sesuai untuk menganjurkannya.

“Selain itu, perkara lain yang kami belajar adalah kaedah yang boleh digunakan dalam mengumpul dana untuk menjayakan program ini. Pensyarah dan juga penasihat program banyak memberi tunjuk ajar kepada kami untuk menjayakan program ini,” jelasnya.

Tambahnya, dia berasa bersyukur kerana rakan-rakannya berjaya melaksanakan tugas masing-masing seperti yang diamanahkan.

Pelbagai aktiviti diatur sepanjang program itu berlangsung seperti persembahan khas layang-layang daripada Persatuan Pelayang Malaysia dan Persatuan Pelayang Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tarikan


Layang-layang gergasi menjadi tarikan utama kepada para pengunjung.


Selain itu, pertandingan layang-layang paling kreatif, bengkel layang-layang, aktiviti mewarna untuk kanak-kanak, seni contengan yang dinamakan Mural Kite turut diadakan.

Sebanyak 14 orang wakil daripada Persatuan Pelayang Malaysia yang telah dibawakan khas bagi membantu persembahan layang-layang dan turut membantu dari segi tenaga sebagai juri profesional untuk menilai pertandingan layang-layang.

Pelbagai layang-layang unik yang jarang ditemui oleh anak-anak muda zaman teknologi kini telah menjadi tarikan pada hari tersebut.

Pihak Persatuan Pelayang PDRM turut tidak ketinggalan menayangkan keunikan layang-layang yang mereka miliki.

Layang-layang tiga dimensi (3D) dan dua dimensi (2D) turut menjadi tarikan utama pengunjung.

Izhan Zulhazree berkata, sempena program itu satu acara larian amal iaitu Charity Kite Run juga telah diadakan pada sebelah pagi.

“Sebahagian daripada kutipan larian tersebut kami sumbangkan kepada Kiwanis iaitu pusat jagaan kanak-kanak Sindrom Down,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hanis Hafisha Affendi, 23, yang terlibat dalam menjayakan program tersebut berkata, menguruskan dan menjayakan sesuatu program bukanlah sesuatu yang mudah.

“Jika di kelas kami belajar teori, namun apabila diwajibkan untuk menjayakan satu program atau acara, saya dan rakan-rakan dapat belajar secara praktikal.

“Ia sedikit sebanyak memberi pengalaman dan pendedahan kepada kami sebelum menempuh alam pekerjaan,” jelasnya.

Tambahnya, pelbagai cabaran mereka hadapi dari sebelum dan sewaktu program tersebut berlangsung.

Antaranya, mempromosikan acara tersebut agar orang ramai datang memeriahkannya.

“Kami menggunakan medium media sosial bagi memaklumkan kepada orang ramai tentang festival ini.

“Apa yang saya belajar daripada penganjuran program ini adalah kerja berpasukan amat penting bagi menjayakannya,” jelasnya.

Rencana Utama!»

Orang-Orang Drum Theatre pilihan juri

AKSI pasukan Orang-Orang Drum Theatre berjaya memukau barisan juri sehingga dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Stailo!»

Perlahankan bisnes sempena Ramadan

Bidang fesyen mula diceburi oleh Sharifah Shawati pada awal tahun 2016.

Varia!»

Jasa Jalan Persekutuan

JALAN PERSEKUTUAN dibina pada tahun 1880 menjadi tulang belakang sebagai jalan alternatif. sistem rangkaian jalan raya di negara ini sebelum terbinanya lebuh raya.

Process time in ms: 16