KESIHATAN

Hilang kulit akibat alahan ubat

Hilang kulit akibat alahan ubat


SHAW diletakkan dalam keadaan koma dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan trakeotomi selama lima minggu.


TANPA mengesyaki apa-apa, Khaliah Shaw, 26, mengambil ubat yang diberikan doktor untuk merawat gangguan bipolar atau masalah mental yang dihidapinya.

Pelajar jurusan kesihatan awam daripada Kolej Universiti Georgia itu dikenal pasti menghidap gangguan bipolar dan diberi ubat lamotrigine pada Disember 2013.

Pengambilan ubat itu dalam tempoh sebulan menyebabkan Shaw mengalami ruam pada bahagian muka, manakala kulit bibirnya pula menggelupas.

Bimbang kesan sampingan yang dialaminya itu menjadi lebih serius, Shaw dirujuk kepada seorang doktor di sebuah hospital di Oconee County, namun hanya didapati mengalami selesema pada awalnya.

Bagaimanapun, dua hari kemudian, Shaw mengalami kesakitan yang teramat sangat apabila bahagian kulit pada muka, leher, dada dan belakang badan menggelupas teruk, manakala bibirnya pula melepuh.

Kuku hilang

Keadaan itu menyebabkan kulitnya berparut dan dia mula hilang daya penglihatan.

Bercerita lanjut, Shaw yang berasal dari Atlanta, Amerika Syarikat (AS) memberitahu, dia segera mendapatkan rawatan di hospital sama, namun tiada doktor dapat mengagak masalah sebenar di sebalik simptomnya.

“Mereka hanya mengasingkan saya kerana bimbang ia mungkin penyakit berjangkit berbahaya,” ujarnya seperti dipetik portal Mail Online.

Selepas simptom wanita itu semakin teruk, dia segera dikejarkan ke Pusat Perubatan Georgia di Macon, AS. Di situ, seorang pakar kulit mendapati Shaw menghidap sindrom Stevens-Johnson (SJS).

SJS ialah penyakit ganjil yang bermula dengan simptom seperti selesema.

“Tidak hairanlah saya didiagnosis menghidap selesema sewaktu mula-mula mendapatkan rawatan, walhal ia merupakan tindak balas terhadap ubat lamotrigine berkenaan,” katanya.

Keadaan Shaw semakin tenat apabila kulitnya yang menggelupas mula gugur sehingga meninggalkan luka terbuka besar di badannya.

Hal itu menyebabkan dia diletakkan dalam keadaan koma untuk mengurangkan rasa sakit sebelum dihantar ke Unit Kebakaran Hospital Grady Memorial di Atlanta.

Lima minggu selepas bangun dari koma, Shaw memberitahu, dia tidak dapat melihat dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan trakeotomi.

“Kesemua rambut saya gugur sehingga berkepala botak dan kuku saya juga luruh akibat penyakit ini. Lebih menyedihkan, saya turut diberitahu bahawa 90 peratus kulit saya hilang,” ceritanya.

Meskipun demikian, Shaw masih bernasib baik kerana mula mendapat penglihatannya semula dan dia menerima rawatan daripada pakar mata bagi mengelakkan kerosakan jangka masa panjang.

“Saya terkejut melihat keadaan diri ini buat pertama kali selepas menderita sakit lebih sebulan,” ujarnya yang dirawat selama lebih dua bulan di hospital tersebut.


KULIT muka dan badan Shaw menggelupas teruk sehingga meninggalkan parut kekal.


Kaca mata hitam

Shaw kini mendapatkan rawatan doktor pakar dan ahli terapi setiap minggu.

“Buat masa ini, saya perlu memakai kaca mata hitam di dalam dan luar rumah kerana cahaya terang boleh menyakitkan saya.

“Rambut saya juga sudah mulai tumbuh tetapi saya trauma untuk mengambil apa-apa ubat bagi gangguan bipolar yang dihidapi,” katanya.

Menurut portal Mayo Clinic, SJS boleh mengakibatkan kerosakan tisu yang teruk selain menyebabkan kebutaan. Ia juga boleh menyebabkan kematian jika tidak segera dirawat.

Selalunya sindrom itu terjadi akibat alahan atau tindak balas ubat steroid antikeradangan seperti lamotrigine, phenytoin dan carbamazepine.

“Ubat gout allopurinol, ubat tahan sakit seperti acetaminophen, ibuprofen dan naproxen sodium serta antibiotik tertentu juga boleh menyebabkan SJS,” kata portal itu.

Stailo!»

Angkat seni fesyen di rantau Asean

Khampee LAKSANOSURANG (dua dari kanan) dari Thailand ketengahkan rekaan pakaian menggunakan elemen batik selatan Thailand.

Process time in ms: 62