RUANG

Suntikan Inggeris klasik dalam kediaman moden

Suntikan Inggeris klasik dalam kediaman moden

PENERAPAN gaya ala Inggeris dengan padanan klasik menjadi taruhan utama pada ruang tamu.


SUNTIKAN elemen ala Inggeris barangkali sudah biasa didengari terutama bagi pemuja hiasan dekorasi yang inginkan kediaman mereka kelihatan eksklusif dengan sentuhan ala vintaj.

Namun, olahan idea dan kreativiti pemilik rumah dalam menggubah kediaman mereka menjadi titik penting agar hasil yang diperoleh kelihatan menarik dan berbeza dengan individu lain.

Minat dan cita rasa pada sentuhan ala Inggeris tidak semestinya perlu menggunakan unsur rona putih sebagai latar utama dan dihiasi de­ngan corak bunga mawar merah pada setiap perabot bagi menonjolkan sisi signifikan konsep dari Barat itu.

Berbeza pula pendapat bagi pemilik kediaman, Mohd. Amiruddin Mohd. Amin, 34, serta isterinya, Fara­diella Mohd. Kusin, 34, penerapan konsep Inggeris yang menghiasi kediaman milik mereka itu menyelitkan sedikit unsur campuran dalam mendapatkan hasil yang lebih memukau.

Terletak di Seksyen 5, Bandar Bukit Mahkota, Bangi, Selangor, gabungan dua konsep iaitu Inggeris dan Perancis yang digabungkan te­lah berjaya memberi sisi berbeza terhadap dekorasi kediaman jenis teres dua tingkat milik pasangan suami isteri itu.


RUANG tamu kedua yang terletak di tingkas atas kediaman menjadi lapangan untuk seisi keluarga bersantai.


Perincian perabot

Sebaik sahaja daun pintu dibuka, paparan rona alam menyelubungi keseluruhan ruang tamu sebagai latar apabila Mohd. Amiruddin dan Faradiella memilih warna coklat lembut sebagai sentuhan utama mereka.

Menurut pasangan suami isteri itu, mereka sepakat untuk memilih rona lembut sebagai subjek utama pada latar ruang tamu dengan memilih warna tanah.

“Apabila membicarakan konsep ala Inggeris, tidak semestinya warna putih perlu menyelubungi keseluruhan ruang bagi memaparkan sisi konsep tersebut,” ujar Faradiella yang bertugas sebagai pensyarah di Universiti Putra Malaysia itu.

Bagaimanapun, untuk menampakkan sisi konsep ala Inggeris itu, pemilihan perabot berona putih sudah cukup menggambarkan istilah yang cuba disampaikan itu.

Menariknya, hampir 40 peratus perabot yang digunakan di kediaman mereka dibawa dari England sewaktu mereka tinggal di sana selama tiga tahun sebelum pulang ke tanah air kira-kira enam tahun lalu.

Reka bentuk dan perincian pera­bot yang digunakan sudah cukup menonjolkan konsep ala Inggeris, namun tidak dipaparkan secara terus apabila pasangan suami isteri itu menggunakan konsep suai padan untuk mempamerkan sisi kontemporari.

Melihat pada ruang dinding yang dibiarkan polos, suami isteri itu sengaja membiarkan ia kosong agar ­ruang kelihatan lebih luas dan kemas.

Aplikasi kertas dinding dengan rona senada yang juga dibeli dari England sudah cukup menutup ­ruang kosong pada muka dinding agar tidak kelihatan terlalu bosan.

Pemilihan rona pada sofa juga diberikan perhatian apabila pemiliknya memilih untuk menggunakan sofa berlatarkan rona ungu dan kelabu dalam balutan fabrik baldu bagi memberikan pantulan pada wajah ruang tamu.

Tidak lengkap sesebuah kediaman itu tanpa diselitkan sedikit sentuhan unsur alam, pemilihan gubahan bunga plastik berona ungu terang dipilih bagi mendapatkan imej kontras pada ruang tamu.


PERHIASAN kecil diabadikan sebagai kenang-kenangan sewaktu berada di luar negara.


Cita rasa klasik

Menjengah ke ruang dapur, cita rasa yang cuba ditonjolkan pada ruang tersebut cukup berbeza apabila pemiliknya memilih untuk menerapkan sentuhan moden.

Tambahan lantai platform daripada unsur kayu menjadi tarikan pada ruang dapur sekali gus menjadi medan pemisah antara bahagian dapur dengan ruang makan.

Perincian kabinet berona putih dan coklat lembut menjadikan suasana dalam dapur kelihatan cerah meskipun ruang tersebut tidak menggunakan pencahayaan yang terang.

Gubahan pada meja makan tidak kurang menarik apabila gabungan warna hitam dan putih menjadi motif utama bagi membangkitkan cita rasa klasik.

“Meja ini juga dibawa dari England bersama enam set kerusi de­ngan warna senada, namun kesemua kerusi itu telah dijual kepada pembeli dalam talian,” ujar Mohd. Amiruddin yang merupakan seorang jurutera.

Ternyata, gabungan unsur klasik dan moden yang diterapkan pada ­ruang makan itu berjaya dan ditambah dengan dekorasi ringkas bagi membangkitkan suasana.

Menjengah ruang pada tingkat dua kediaman lima bilik itu, terdapat ruang tamu mini terletak di sudut tangga yang menjadi gelanggang untuk seisi keluarga bersantai.

Pemilihan warna ungu dengan tona berbeza menjadi tarikan dalam melatari ‘wajah’ dalam kamar beradu pasangan suami isteri yang telah membina mahligai selama lapan tahun itu.

Melihatkan pada rekaan katil yang digunakan, motif kerawang yang ditonjolkan begitu cantik dengan mengetengahkan corak ala barat.

Hamparan cadar kain cadar dan langsir yang turut menggunakan rona senada memberikan keseimbangan pada ruang kamar yang turut dihiasi dengan cetakan kertas dinding bermotifkan warna emas.

Rencana Utama!»

Jual lebih 300 pinggan mi sotong sehari

Trak makanan digunakan untuk mengangkut barangan dari rumah ke restoran dan menghantar tempahan makanan kepada pelanggan.

Stailo!»

Elemen fesyen dalam bidang hiasan dalaman

Delicado (tiga dari kanan) ketika melancarkan koleksi Baia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Varia!»

Peka perubahan sikap anak-anak elak dibuli

KAUNSELING perlu dilakukan untuk memulihkan semangat mangsa buli agar mereka lebih berkeyakinan. – Gambar hiasan

Process time in ms: 62