VARIA

Jadilah hamba Allah yang berilmu, beriman

Jadilah hamba Allah yang berilmu, beriman


Tidak sedikit mereka yang mengaku Islam tetapi terjebak dalam najis dadah. – Gambar hiasan


SYABAS Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas peningkatan tangkapan kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan wang berjumlah besar sepanjang tahun ini.

Majoriti yang diberkas ialah orang Melayu. Sungguh memalukan kerana kita umat Islam sepatutnya berdakwah melalui akhlak yang menjadi contoh teladan kepada orang bukan Islam.

Nampaknya orang Melayu hanya pandai bercakap mengenai Islam sebagai agama yang Allah redai, tetapi gagal menterjemahkannya dalam kehidupan.

Sebab itulah sering diungkapkan bahawa dalam banyak hal, ada bangsa lain yang mempunyai akhlak dan integriti lebih baik walaupun mereka tidak beragama Islam.

Mengapakah kita jadi begini walhal kita dididik dengan ilmu agama sejak kecil? Sebelum masuk alam persekolahan, kita didedahkan dengan ilmu fardu ain dan kaedah membaca al-Quran.

Di sekolah kita belajar mata pelajaran agama, di samping mengikuti kelas tambahan fardu ain di sekolah agama.

Setelah dewasa kita terus didedahkan dengan pelbagai ilmu agama melalui ceramah di tempat kerja, di surau dan masjid, di radio dan televisyen.

Kini, hampir setiap orang dihubungkan melalui WhatsApp yang juga sarat dengan mesej dakwah. Semua orang berebut mencari pahala dengan memanjangkan sebanyak mungkin mesej dakwah yang dihantar oleh orang lain.

Malu pada manusia

Namun kes ragut, anak luar nikah, dadah, pecah amanah dan rasuah yang melibatkan orang Melayu terus meningkat.

Terbaharu, kita dikejutkan pula dengan tindakan SPRM menangkap empat orang pegawai Pusat Pungutan Zakat Pulau Pinang. Kita terkejut kerana ‘orang agama’ juga sudah jadi pagar yang makan padi.

Nyatalah bahawa penerapan ilmu agama sahaja tidak mencukupi untuk menjamin akhlak dan integriti. Rupa-rupanya mereka ini sekadar berilmu tetapi tidak beriman. Adakah mereka ini tidak mendirikan solat lima waktu yang mencegah kemungkaran? Jika mereka menunaikan solat, mengapakah masih terjerumus ke lembah kemungkaran?

Jawapannya ialah mereka berilmu, tetapi tidak beriman. Mereka hanya malu dan takut kepada manusia, tetapi tidak malu dan takut kepada Allah. Jika ditanya apakah rukun iman, mereka akan menyenaraikan dengan tepat enam komponennya.

Tetapi itu sekadar ilmu yang hanya melekat di bibir, tetapi tidak di hati. Apabila iman tidak melekat di hati, maka nafsulah yang beraja dan semakin mudahlah hati tunduk kepada hasutan syaitan.

Iman adalah milik Allah yang dianugerahkan hanya kepada hamba-hamba yang terpilih. Siapakah yang layak menerima? Mereka yang mengenalinya, lalu taat dan takut kepada-Nya sehingga berasa gementar hati mereka.


MEREKA yang terlibat dengan kes rasuah berprofil tinggi sebahagian besarnya terdiri daripada orang Islam.


Dalam surah al-’Anfal, ayat 2, Allah berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.”

Mereka membaca al-Quran bukan sekadar membetulkan tajwid, tetapi cuba memahami, menghayati dan mengamalkan ajarannya.

Tidak lama lagi akan tibalah Ramadan dan akan sibuklah sebilangan umat Islam bertadarus al-Quran.

Cinta dunia

Masing-masing akan berlumba untuk khatam al-Quran dengan sekadar membaca versi bahasa Arab. Alangkah baiknya mereka yang tidak memahami bahasa Arab turut membaca dan mendalami maksud ayat-ayat yang dibaca.

Janganlah hanya sekadar mengejar pahala bagaikan pekerja yang hala tujunya mencari upah lumayan daripada majikan.

Ingatlah bahawa Allah ialah Tuhan yang memiliki segala di langit dan bumi, termasuk diri kita serta segala yang kita miliki.

Kita adalah hamba-hamba-Nya dan berperangailah seperti hamba-hamba yang taat melakukan segala suruhan tanpa mengharapkan balasan.

Dalam surah al-Baqarah, ayat 2 hingga 3 menjelaskan: “Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya ; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara ghaib dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”

Kesimpulannya, masalah utama umat Melayu pada hari ini yang mengaku beragama Islam ialah:

* Ramai yang tidak kenal Allah dan tidak menjadi hamba-Nya dalam erti kata hamba

* Membaca al-Quran sekadar untuk mencari pahala bukan petunjuk-Nya

* Tidak berserah diri kepada Allah, tetapi berserah kepada pelbagai Taghut termasuk duit

* Terlalu cinta kepada dunia

Lalu ramai juga yang sekadar mengaku Islam, tetapi tidak beriman apatah lagi ehsan iaitu merasai diri sentiasa diawasi Tuhan.

Rencana Utama!»

Agenda berbuka, bertarawih di masjid

ORANG ramai boleh merasai pengalaman berbuka puasa bersama pelancong di Masjid Putra, Putrajaya.

Varia!»

CJ Wow Shop penuhi keperluan pengguna

Yang HYUN (tiga dari kanan) bersama barisan penaja menunjukkan hadiah utama selepas melancarkan kempen jualan Serikan Ramadan dan Raya Bersama Wow di Seputeh, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Process time in ms: 47