PESONA

Jururawat wanita, lelaki saling melengkapi

Jururawat wanita, lelaki saling melengkapi

Sebahagian daripada jururawat lelaki yang bertugas di Hospital Pakar KPJ Damansara, Petaling Jaya, Selangor.


DUNIA pekerjaan dan pengambilan graduan daripada institusi pengajian tinggi yang tidak menentu telah menyebabkan pasaran kerja bagi sesetengah sektor menjadi kritikal.

Bagaimanapun, Azizi Adnan, 23, yakin dia mempunyai prospek yang cerah dalam bidang yang diceburinya.

“Jika ditanya kenapa saya memilih kerjaya ini, jawapannya adalah sama seperti graduan yang memilih bidang kejuruteraan sebagai kerjaya mereka. Ia adalah untuk mencari sumber rezeki yang halal dan menjamin masa depan.

“Namun, setiap individu mempunyai alasan yang tersendiri. Bagi saya, bidang kejururawatan menjanjikan masa depan yang baik tidak kira apa juga yang berlaku pada ekonomi negara,” kongsinya ketika ditemui Kosmo! di Hospital Pakar KPJ Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Menurut Azizi, jangka hayat rakyat Malaysia semakin panjang. Setiap orang ingin hidup lebih lama dan berusaha menjaga kesihatan melalui pelbagai cara serta melakukan kaedah rawatan yang betul.

Oleh itu, keperluan terhadap khidmat jururawat menjadikan ia sebagai aliran pekerjaan yang realistik.

Tambah anak kelahiran Negeri Sembilan itu, salah satu faktor mengapa dia memilih bidang kejururawatan adalah kerana bapanya juga merupakan seorang pegawai kesihatan.

“Sewaktu kecil dahulu, ayah sering membawa saya pergi merawat pesakitnya. Malah, suasana di klinik dan hospital juga sudah menjadi perkara biasa bagi saya.

“Sejak itu, timbul minat dalam diri saya terhadap kerjaya ini. Ayah juga selalu memberikan dorongan kepada saya dan memberitahu, pekerjaan ini boleh dilakukan oleh golongan lelaki,” katanya yang memilih untuk melanjutkan pendidikan peringkat diploma di sebuah kolej kejururawatan, Management Science University (MSU), Shah Alam, Selangor.

Secara tradisinya, bidang jururawat dianggap sebagai kerjaya khusus buat kaum Hawa.

Pembantu


PADA umumnya, jururawat wanita mempunyai lebih banyak sifat prihatin dan penyayang. – Gambar hiasan


Jururawat juga dilihat sebagai pembantu kepada doktor dan ahli penjagaan kesihatan profesional yang lain.

Masyarakat umumnya akan melihat seorang jururawat lelaki dari sudut negatif. Apabila lelaki memasuki kerjaya itu, sesetengah pihak akan beranggapan bahawa mereka kurang syarat kelayakan untuk menjadi doktor seterusnya terpaksa memilih kerjaya yang hanya dimiliki kaum wanita.

Seorang lagi jururawat lelaki, Adi Abadi Azahar, 28, dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur menganggap, kaum lelaki berasa tercabar untuk menceburi bidang kejururawatan kerana takut kehilangan ciri-ciri ‘kelelakian’ mereka.

Rata-rata orang juga melabel kaum Adam yang menceburi bidang kemahiran itu sebagai tidak sensitif terhadap emosi seperti seorang jururawat wanita.

Malah, ada juga yang beranggapan bahawa jururawat hanya bekerja untuk doktor dan tidak mempunyai banyak peluang untuk membina kerjaya mereka sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

“Situasi sebenar adalah sebaliknya. Saya mengenali seorang wanita yang bertugas sebagai jururawat. Dia memberitahu bahawa dia lebih senang bertugas bersama jururawat lelaki.

“Wanita itu berkata, jururawat lelaki bertindak lebih baik dalam keadaan kecemasan di wad ICU (Unit Jagaan Rapi) kerana mereka cenderung mengambil tindakan yang praktikal dan emosi mereka tidak mudah terganggu atau putus asa semasa menjalankan tugas,” katanya yang juga mempunyai pengalaman bertugas sebagai jururawat selama tujuh tahun di Hospital Pakar KPJ Damansara.

Adi Abadi memberitahu, selain minat, kesabaran antara kriteria penting yang perlu ada jika seseorang itu mahu menceburi bidang kejururawatan.

“Tugas sebagai jururawat sememangnya mencabar, bukan sekadar menjaga dan memberi ubat kepada pesakit, namun banyak lagi yang perlu dipelajari serta difahami,” tuturnya.

Ujarnya lagi, kerjaya jururawat juga menuntut dia berkhidmat tidak menentu masa, namun ia tidak pernah melemahkan semangatnya. Ini kerana dia mempunyai cara tersendiri untuk mengimbangi masa antara kerjaya dan urusan peribadi.

“Sepanjang bekerja di sini, pengalaman berhadapan dengan pelbagai kerenah pesakit tidak akan dilupakan, malah menjadi pencetus untuk terus berkhidmat dengan baik dan meningkatkan kualiti kerja.

“Pasti ada pesakit yang marah dan melepaskan kata-kata yang tidak menyenangkan. Bagi menghadapi situasi itu, saya banyak mengambil langkah berdiam diri dan membiarkan pesakit tersebut meluahkan apa yang dirasainya sehingga mereka berasa tenang.

“Langkah seterusnya, barulah jalan penyelesaian akan diambil setelah mengenal pasti masalah yang dihadapi,” katanya.

Tulang belakang


Tanggal 12 Mei pada setiap tahun merupakan hari istimewa bagi semua jururawat di seluruh dunia. – Gambar hiasan


Dalam pada itu, Ketua Pegawai Jururawat, Hospital Pakar KPJ Damansara, Jaliah Mat Jani berkata, jururawat ibarat tulang belakang bagi seorang doktor.

Malah, ketiadaan jururawat juga tidak mungkin wujudnya sesebuah hospital atau klinik.

Katanya, tugas jururawat adalah membantu memudahkan urusan terutamanya dalam aspek penjagaan, menyediakan laporan dan ubat-ubatan pesakit.

“Bagi saya, jururawat yang cemerlang perlu meletakkan dirinya dalam situasi pesakit pada setiap masa. Keikhlasan itu pasti tergambar ketika mereka memberikan perkhidmatan kepada pesakit,” katanya yang berkhidmat selama 28 tahun dalam bidang kejururawatan.

Mengulas lanjut mengenai pembabitan lelaki dalam bidang berkenaan, Jaliah memberitahu, tiada perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam kerjaya itu kerana mereka saling melengkapi antara satu sama lain.

“Begitupun, saya melihat jururawat lelaki sebagai satu aset. Mereka mampu melaksanakan tugas yang mungkin sukar dilakukan oleh jururawat wanita.

“Adakalanya, pesakit lelaki enggan baring di atas katil dan cuba meninggalkan wad.

“Oleh itu, kehadiran jururawat lelaki yang mempunyai ketangkasan dan kekuatan sedikit sebanyak mampu mengawal pesakit seperti itu,” ujarnya.

Tambahnya, biarpun tugas jururawat tidak sehebat kerjaya lain yang kelihatan bergaya sepanjang masa, sekurang-kurang pekerjaan seperti itu memudahkan mereka untuk mendapat pahala.

Process time in ms: 32