HORIZON

Menjejaki kemasyhuran empayar Nabatea

Menjejaki kemasyhuran empayar Nabatea


Salah satu makam besar yang terdapat di Madain Saleh.


SEBELUM pesawat syarikat penerbangan Saudi Arabian berlepas dari Riyadh ke Madinah di Arab Saudi, semua penumpang diwajibkan untuk berdoa.

“Tuan-tuan dan puan-puan, sila berdoa agar perjalanan kita selamat dan tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,” ujar seorang atendan menerusi interkom.

Ketika penumpang lain sedang mengaminkan doa, saya memilih untuk meninjau ke luar tingkap kecil pesawat bagi melihat hamparan padang pasir yang tidak berpenghujung.

Kali ini, saya dan kawan-kawan mengembara ke Madain Saleh iaitu sebuah bandar padang pasir yang tersembunyi di Arab Saudi.

Kebanyakan pengembara lebih mengenali empayar Nabatea di sebelah Petra, Jordan. Begitupun, masih ramai yang belum mengetahui keunikan bandar kedua terbesar bagi empayar Nabatea itu.

Suatu ketika dahulu, bandar yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu memainkan peranan penting dalam perdagangan rempah-ratus kerana kedudukannya yang strategik.

Kini, hanya tinggal makam-makam lama yang kian dimamah usia dan cuaca ekstrem padang pasir di bandar itu.

Dari Madinah, kami memandu selama empat jam ke bandar al-Ula yang terletak 1,043 kilometer (km) di sebelah barat laut Riyadh.

Setibanya di lokasi itu, kami terus berehat di hotel Saudi Arabia Hijaz yang terletak tidak jauh dari pusat bandar al-Ula.

Keesokan harinya, selepas sarapan, kami dibawa bertemu dengan Ahmed iaitu jurupandu yang akan membawa rombongan kami ke Madain Saleh.

Memiliki susuk tubuh tinggi, berjanggut dan mengenakan jubah serta serban, Ahmed sangat petah berbahasa Inggeris kerana dia pernah menetap di New Zealand.

Dari hotel, kami menempuh perjalanan sejauh 40km menggunakan van menuju ke Madain Saleh.

Sepanjang laluan, Ahmed tidak henti-henti bercerita mengenai kekayaan dan kemakmuran yang pernah dikecapi oleh empayar Nabatea.

Ceritanya, kemakmuran yang diperoleh itu hasil daripada kemampuan masyarakat tersebut mencari dan menyimpan sumber air di kawasan padang pasir.

Empayar Nabatea juga memonopoli laluan perdagangan utama di padang pasir dari barat daya Madain Saleh sehingga ke utara pelabuhan Mediterranean.

Kerajaan itu memperoleh hasil daripada kutipan cukai terhadap unta yang membawa kemenyan, resin dan rempah-ratus yang berhenti di pos-pos di situ untuk meminum air serta beristirehat.

Begitupun, pada tahun 106, empayar Nabatea telah dirampas oleh orang-orang Rom dan Laut Merah mengambil alih laluan perdagangan darat.

Keadaan itu menyebabkan Madain Saleh yang sebelum ini menjadi pusat perdagangan terkemuka mula merosot sebelum akhirnya ditutup.

Terletak jauh di tengah-tengah padang pasir, Madain Saleh ketika ini sangat sunyi. Sebahagian besar daripada bandar itu telah ditimbus oleh lapisan pasir.

Kini, yang tinggal hanya perkuburan luas yang menempatkan 131 makam besar. Dari jauh, kami dapat melihat susunan nombor-nombor pada makam-makam itu.

Begitupun, selepas diamati dengan lebih dekat, ia merupakan satu bentuk kesenian Nabatea yang disingkapkan menerusi ukiran helang terbang, sphinx, griffin berbulu dan tulisan-tulisan rumit.

Berharga


MAKAM-MAKAM yang terdapat di Madain Saleh semakin usang dimamah usia dan cuaca ekstrem padang pasir.


Kami berhenti di depan sebuah kedai makan yang tertera tulisan bermaksud Hany Tansy dan berakhir dengan tarikh, April tahun 31, diukir oleh Hoor.

Masyarakat Nabatea juga meninggalkan karya-karya penulisan yang banyak, sekali gus menjadikan Madain Saleh sangat berharga.

Ahmed memberitahu, bahasa yang digunakan oleh masyarakat Nabatea adalah Aram, Semitik purba dan bahasa lama Asia Barat.

Bahasa Aram digunakan secara meluas dalam perniagaan dan komunikasi perdagangan. Orang Nabatea juga dikesan menggunakan bahasa Arab awal.

Dalam banyak-banyak makam di situ, Qasr al-Farid merupakan salah satu kubur yang memiliki reka bentuk menarik.

Di tengah-tengah monumen itu terdapat sebuah pintu kecil yang membolehkan pengunjung masuk ke dalamnya. Di dalam makam itu terdapat mayat-mayat yang disusun dengan rapi pada dinding.

Makam Qasr al-Farid jelas menggambarkan kegigihan masyarakat Nabatea membina makam menerusi proses memotong bongkah batu besar.

Berbeza dengan Petra, Madain Saleh sangat sunyi kerana tiada kedai atau gerai yang menjual makanan atau barang cenderamata.

Hal ini kerana kebanyakan masyarakat Muslim tidak berkunjung ke situ kerana mereka percaya kerajaan Nabatea telah dilaknat oleh Allah SWT kerana menolak agama Islam.

Kedatangan pelancong luar yang bukan beragama Islam ke Madain Saleh juga sangat kurang kerana Arab Saudi cukup terkenal dengan kesukaran untuk mendapatkan visa pelawat.

Bagaimanapun, iklim padang pasir yang kering di Arab Saudi berjaya memelihara Madain Saleh daripada kerosakan. Ia berbeza dengan Petra yang kian diancam hakisan.

Kami mengembara dari satu makam ke satu makam dengan bebas. Kami masuk, lihat dan sentuh batu-batu lama di situ.

Selepas beberapa jam menjelajah, kami menaiki semula van sebelum bergerak ke arah timur laut menuju Jabal Ithlib.

Jabal Ithlib adalah sebuah batu besar yang dipercayai digunakan dalam upacara keagamaan iaitu menyembah tuhan gunung.

Ahmed juga menunjukkan kepada kami satu terusan yang pernah mengalir ke dalam tangki. Ia merupakan contoh kepada keupayaan empayar Nabatea memanipulasi air hujan dan air bawah tanah.

Selepas itu, kami bergerak ke tenggara Jabel Ithlib untuk mendaki Gunung Ethleb. Aktiviti mendaki menjadi sukar kerana kami mengenakan pakaian labuh yang menutup kepala sehingga jari kaki.

Dari atas gunung itu, kami dapat melihat dataran yang menggambarkan kesusahan peniaga dan unta pada zaman dahulu yang membawa resin menuju ke Madain Saleh.

Ketulan resin itu diperoleh daripada pokok kemenyan atau boswellia sacra yang sangat bernilai. Hasil daripada penjualan resin, masyarakat Nabatea mampu mencapai kekayaan setanding orang Rom, Greece, Mesir dan Israel.

Apabila mentari mula terbenam di ufuk barat, kami memandu pulang ke arah pinggir kota lama yang dipenuhi makam itu.

Ketika ini, kami dapat melihat keindahan makam-makan di Madain Saleh yang berwarna keemasan akibat sinar mentari senja sebelum ia bertukar gelap.

Rencana Utama!»

Orang-Orang Drum Theatre pilihan juri

AKSI pasukan Orang-Orang Drum Theatre berjaya memukau barisan juri sehingga dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Stailo!»

Perlahankan bisnes sempena Ramadan

Bidang fesyen mula diceburi oleh Sharifah Shawati pada awal tahun 2016.

Varia!»

Jasa Jalan Persekutuan

JALAN PERSEKUTUAN dibina pada tahun 1880 menjadi tulang belakang sebagai jalan alternatif. sistem rangkaian jalan raya di negara ini sebelum terbinanya lebuh raya.

Process time in ms: 31